Malaysia mahu Sweden ambil tindakan terhadap ahli politik bakar Al-Quran

Kementerian Dalam Negeri menganggap perbuatan Rasmus Paladun bersifat Islamofobia dan serangan terhadap agama Islam secara terang-terangan.
Noah Lee
2023.01.23
Kuala Lumpur
Malaysia mahu Sweden ambil tindakan terhadap ahli politik bakar Al-Quran Penunjuk perasaan memegang salinan Al-Quran dan melaungkan slogan membantah tindakan Rasmus Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Sweden yang membakar salinan Al-Quran, di hadapan Pejabat Konsulat Jeneral Sweden di Istanbul, Turki, 22 Januari, 2023
[Umit Bektas/Reuters]

Malaysia pada Isnin menggesa Sweden supaya mengambil tindakan terhadap seorang ahli politik ekstrim haluan kanan di negara itu yang membakar kitab Al-Quran semasa melakukan protes di Stockholm pada Sabtu lalu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut membidas kerajaan Sweden kerana tidak mengambil tindakan segera terhadap "perbuatan keji yang dilakukan secara terang-terangan terhadap kitab suci umat Islam" berkenaan.

Rasmus Paludan dari parti politik Hard Line pada Sabtu telah membakar senaskhah Al-Quran di hadapan Kedutaan Turki di Sweden, bagi menunjukkan protesnya terhadap Islam dan juga Presiden Turki Reccep Tayyip Erdogan yang dikatakan cuba mempengaruhi kebebasan bersuara di Sweden, demikian menurut laporan pelbagai agensi media antarabangsa.

"Malaysia mengecam tindakan jenayah kebencian yang mensasarkan umat Islam di seluruh dunia, serta semua bentuk hasutan bagi membakar sentimen perkauman sama ada dari segi perkataan atau perbuatan dan pandangan.

"Ketiadaan tindakan (terhadap Paludan) adalah sama seperti membangkitkan sentimen Islamofobia, dan merupakan satu bentuk provokasi dahsyat terhadap sensitiviti bukan sahaja rakyat Turki tetapi lebih dua bilion orang Islam di seluruh dunia," kata Anwar dalam kenyataan yang dimuatnaik di akaun Facebook rasminya.

Dalam pada itu, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia juga dijangka membawa isu penghinaan terhadap Islam dalam perbincangan dengan Brunei ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara jiran tersebut, yang akan bermula pada Selasa.

"Oleh kerana hal ini menyentuh kedudukan umat Islam seluruh dunia yang dilakukan ekstremis, tentunya ia akan mencetuskan keprihatinan Malaysia-Brunei. Jadi saya akan bincang dengan rakan sejawat saya Erywan Mohd Yusof pada sesi lawatan rasmi ini," kata Zambry, seperti dipetik agensi berita rasmi kerajaan Bernama pada Isnin.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan membidas perbuatan keterlaluan oleh Paludan yang disifatkan sebagai Islamofobia dengan menyerang agama Islam secara terang-terangan, sambil menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan untuk menghina.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobik Rasmus Paludan, ahli politik Sweden-Denmark yang ekstrim, yang bertindak membakar senaskah Al-Quran Karim di Stockholm, Sweden pada 21 Januari 2023.

“Tindakan kerajaan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti yang melampau ini, walaupun terdapat beberapa bantahan daripada pelbagai pihak, tidak boleh diterima sama sekali dan boleh memberi kesan yang serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia.

"Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan terkutuk ini dan mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di Sweden," kata Zambry dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Tindakan oleh Paludan itu dilaporkan dibuat di bawah pengawasan pihak berkuasa Sweden yang mengawal protes berkenaan dan turut mendapat reaksi Perdana Menteri negara itu pada Ahad, yang mengecam insiden tersebut serta menyifatkannya sebagai "amat biadab".

Kecaman pelbagai pihak

Sementara itu, kejadian penghinaan Islam oleh ahli politik Sweden itu turut menerima kecaman hebat daripada banyak kumpulan termasuk parti politik Malaysia daripada kerajaan dan pembangkang, serta pertubuhan bukan kerajaan.

Antaranya ialah Majlis Ulama parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang menuntut supaya kerajaan Sweden memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia dan masyarakat antarabangsa kerana kegagalannya menghalang kejadian pembakaran kitab suci Islam.

"Kami menegaskan bahawa tindakan melampau ini sudah tentu menyuburkan lagi emosi kebencian sesama manusia dan merobek keamanan bermasyarakat. Malah ia boleh mencetuskan tindakan provokasi dan tindak balas termasuk keganasan,” kata Dusuki Ahmad, Pengerusi Majlis Ulama UMNO, dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sayap pemuda parti pembangkang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam kenyataan berasingan pula menggesa supaya kerajaan memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai tindakan negara itu terhadap Paludan.

"Pemuda PAS menggesa kerajaan Malaysia agar memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia untuk memberikan penjelasan kerajaan Sweden berhubung tindakan Sweden terhadap Rasmus Paludan. Pemuda PAS menggesa agar Kerajaan Sweden mengenakan tindakan tegas terhadap beliau sesuai dengan kesalahan jahat yang telah beliau lakukan."

Sayap PAP itu juga menyeru supaya umat Islam di seluruh dunia termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya bersama-sama mengecam tindakan Islamofobik dan memberikan tekanan kepada Sweden supaya mengambil tindakan terhadap Paludan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, berkongsi pandangan serupa dan menyeru supaya OIC memberikan amaran keras terhadap Sweden bagi menunjukkan bahawa masyarakat Islam antarabangsa tidak berdiam diri, kata Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz kepada media.

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.