Rasuah: Mahkamah Malaysia jatuhi hukuman penjara tujuh tahun, sebat terhadap bekas menteri
2023.11.09
Kuala Lumpur
Sebuah mahkamah Malaysia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas bekas menteri termuda negara itu kerana menyeleweng wang sebuah parti politik lebih RM1 juta (AS$200,000).
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 30, turut didenda sebanyak RM10 juta (AS$2 juta) selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesemua empat pertuduhan jenayah terhadapnya.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman sebanyak dua sebatan ke atas ahli politik yang sangat dikenali itu, menjadikannya ahli politik pertama dikenakan hukuman tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azhar Abdul Hamid semasa menyampaikan keputusannya berkata Syed Saddiq didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Pembelaan oleh tertuduh telah gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan dalam kesemua empat pertuduhan," kata beliau.
Ketua pasukan pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudiannya memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang berat ke atas Syed Saddiq bagi memberikan pengajaran.
Selepas meneliti hujah daripada kedua belah pihak, Hakim Azhar menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan satu sebatan ke atas Syed Saddiq bagi pertuduhan bersubahat dalam perbuatan pecah amanah jenayah.
Bagi pertuduhan menyalahgunakan aset, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan satu sebatan ke atas ahli politik itu, manakala bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram, Syed Saddiq dikenakan hukuman dua tahun penjara dan denda sebanyak RM5 juta (AS$1 juta) bagi setiap kesalahan.
Wan Shaharuddin memberitahu BenarNews bahawa Syed Saddiq merupakan ahli politik pertama yang berdepan hukuman sebatan.
Hakim Azhar bagaimanapun membenarkan keputusan dan hukuman terhadap Syed Saddiq ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.
Letak jawatan
Beberapa jam selepas mahkamah membuat keputusan, Syed Saddiq dalam satu sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diasaskannya bersama beberapa lagi individu dua tahun lalu, dengan berkata beliau tidak lagi layak memimpin parti berkenaan.
"Untuk menjadi presiden MUDA, pemimpin tersebut mesti merupakan seorang yang 'whiter than white' (lebih putih daripada putih). Pokoknya, saya tidak lagi layak memegang jawatan tersebut," kata beliau kepada media pada petang Khamis. Syed Saddiq bagaimanapun masih kekal sebagai seorang Ahli Parlimen.
Syed Saddiq yang memakai kot berwarna hitam dan ditemani ibu bapanya di dalam mahkamah pada pagi Khamis dilihat cuba menahan diri daripada menangis ketika keputusan dibacakan oleh hakim.
Ahli Parlimen Muar itu memberitahu satu sidang media yang diadakan di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bahawa beliau tetap menghormati mahkamah dan sistem kehakiman Malaysia walaupun selepas dijatuhkan hukuman.
"Pada akhirnya, sistem kehakiman dan mahkamah yang akan menentukan nasib saya dan ia juga merupakan platform terbaik untuk membersihkan nama saya," kata Syed Saddiq.
Pengasas bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memeluk ibunya Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz selepas keputusan bersalah terhadapnya, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 9 November 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pasukan pembelaan yang diketuai peguam Gobind Singh Deo telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada jam 2.30 petang hari yang sama.
Pada 2021, Syed Saddiq didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyalahgunakan aset, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan wang milik parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Syed Saddiq sebelum ini memberitahu media bahawa pertuduhan ke atasnya adalah bermotifkan politik kerana enggan menyatakan sokongan kepada presiden BERSATU Muhyiddin Yassin, yang merupakan perdana menteri pada ketika itu.
Untuk rekod, Syed Saddiq meninggalkan parti BERSATU pimpinan Muhyiddin pada 2021 disebabkan perbedaan politik.
Muhyiddin merupakan perdana menteri Malaysia yang ke-lapan. Beliau memegang jawatan itu bermula 1 Mac 2020 sebelum meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021 kerana kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.
Seramai 29 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan, termasuk Syed Saddiq, memberikan keterangan di mahkamah ketika perbicaraan itu yang bermula pada 21 Jun 2022.
Syed Saddiq menyertai arena politik arus perdana pada 2018 apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Pada usia 25 tahun, beliau menjadi menteri termuda dalam sejarah Malaysia selepas dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan ketika era kerajaan Pakatan Harapan daripada 2018 hingga 2020.
Syed Saddiq yang terkenal dengan kebolehan berdebat dan memperjuangkan nasib belia merupakan seorang yang amat lantang bersuara mengenai isu membabitkan keadilan sosial, pendidikan dan peluang pekerjaan untuk orang muda.
Tindakan seterusnya
Peguam Gobind Singh yang mewakili Syed Saddiq berkata mereka akan terus memperjuangkan kes tersebut.
"Sekarang kita akan membawa kes ini ke peringkat seterusnya, iaitu Mahkamah Rayuan. Syed Saddiq telah diberikan penangguhan hukuman, bermakna sabitan bersalah dan hukumannya adalah ditangguhkan.
"Beliau akan meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen dalam jaminan sementara proses rayuan," tambah peguam itu yang juga Ahli Parlimen parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi kawasan Damansara.
Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata langkah Syed Saddiq meletakkan jawatan daripada mengetuai MUDA menunjukkan keyakinan terhadap rayuannya di Mahkamah Rayuan.
"Tetapi keputusan mahkamah itu bukan sahaja memberikan impak kepada MUDA tetapi juga kepada Syed Saddiq kerana kedua-dua mereka adalah berkait rapat," kata beliau kepada BenarNews.
Penganalisis itu berkata MUDA selalu dikaitkan secara rapat dengan idea diperjuangkan Syed Saddiq seperti melawan rasuah, dan membuatkan keputusan bersalah menjadi satu bentuk kemunduran kerana ahli politik tersebut telah menjadi inspirasi kepada ramai generasi muda.