Presiden MUDA diperintah bela diri kes pecah amanah, pengubahan wang haram RM1 juta

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa melakukan jenayah tersebut semasa menerajui sayap pemuda parti Bersatu empat tahun lepas.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2022.10.28
Kuala Lumpur
Presiden MUDA diperintah bela diri kes pecah amanah, pengubahan wang haram RM1 juta Penyandang kerusi Parlimen Muar dan Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 28 Oktober 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memerintahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), supaya membela dirinya atas empat pertuduhan jenayah termasuk pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana lebih RM1 juta (AS$211,752).

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid setelah pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kes prima facie ke atas beliau.

Syed Saddiq yang didakwa dengan empat pertuduhan jenayah berkaitan dana itu dikatakan melakukan kesalahan tersebut ketika beliau menyandang jawatan sebagai ketua Armada (sayap pemuda) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018.

“Setelah meneliti hujahan pihak pendakwaan, mahkamah berpuas hati dengan bukti yang dibentangkan. Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan adanya kes prima facie. Maka dengan itu, tertuduh diminta membela diri atas kesemua pertuduhan,” kata Azhar.

Akur dengan keputusan mahkamah itu, pasukan peguam bela Syed Saddiq memberitahu hakim bahawa ahli politik berkenaan akan memberikan keterangan bersumpah di mahkamah. Mereka juga akan turut memanggil 14 saksi lain bagi tujuan pembelaan.

“Secara amnya, hakim mahu mendengar penjelasan dan juga pembelaan dari Syed Saddiq. Keputusan sudah pun dibuat pada hari ini bahawa Syed Saddiq akan memberi keterangan bersumpah. Itulah prosedurnya dan mahkamah sudahpun menetapkan tarikh bagi sesi pembelaan,” kata ketua pasukan peguambelanya, Gobind Singh Deo kepada pemberita selepas keputusan tersebut diumumkan mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 hari perbicaraan bermula Februari tahun hadapan untuk Syed Saddiq membela diri. Tarikh itu ditetapkan setelah mengambil kira tarikh Pilihan Raya yang akan berlangsung pada pertengahan November ini.

Belum bersalah

Syed Saddiq yang hadir berpakaian sut biru dan ditemani ahli keluarga serta rakan-rakan dari Parti MUDA berkata keputusan mahkamah itu adalah peluang bagi beliau untuk membersihkan nama.

“Saya belum didapati bersalah. Ini masa untuk saya memberitahu cerita dari pihak saya supaya keadilan dapat ditegakkan. Saya memasuki politik untuk membersihkan politik yang korup, walau apa pun ugutan atau sogokan, ia tidak akan melemahkan semangat dan prinsip untuk melawan dan membela nasib orang ramai,” katanya kepada pemberita.

Menurut Syed Saddiq, yang merupakan Ahli Parlimen Muar, beliau juga akan merujuk kepada parti berkaitan soal kerusi pilihan raya, termasuk mengenai pencalonan dirinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

“Saya fikir, ianya bergantung kepada orang Muar tetapi yang utamanya, saya akan bawa perkara ini kepada parti. Ini kerana saya adalah orang parti dan berpegang pada prinsip,” katanya lagi.

Sementara itu, pengguna media sosial meminta supaya Syed Saddiq tidak bertanding pada PRU kali ini sehingga kes beliau betul-betul selesai.

Pengguna Twitter, Fuad meminta Syed Saddiq untuk melepaskan jawatan beliau sebagai presiden MUDA sementara menunggu kes selesai.

“Sila berundur dan buka ruang kepada rakan-rakan lain di dalam MUDA. Mesti ada yang lain dan berbakat untuk bawa MUDA sementara anda membuktikan diri di mahkamah,” katanya.

Manakala pengguna Twitter Areness pula meminta Syed Saddiq untuk menjauhkan diri dari PRU ke 15.

“Jika anda punya maruah, jauhkan diri dari PRU-15. Jangan disebabkan anda, Pakatan Harapan turut terpalit. Selesaikan dulu perbicaraan dan berjuang pada peluang yang akan datang,” katanya.

Pada 22 Julai 2021, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan pertuduhan pecah amanah melibatkan dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000(AS$25,410) untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebulan selepas itu, beliau didakwa pula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000(AS$21,175). Syed Saddiq telah meminta supaya kesemua ke empat-empat pertuduhan dibicarakan bersama.

Perbicaraan terhadap kesemua pertuduhan bermula pada 21 Jun dan pihak pendakwaan menutup kes itu pada 27 September lalu setelah memanggil 30 orang saksi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.