Malaysia: Penganjur Batal Seminar Perpaduan Islam Selepas Ancaman Bom

Ali Nufael & Nat Shu
2019.07.12
Kuala Lumpur, Malaysia
190712-MY-Religion-Shia1000.jpg Umat Islam Malaysia menunaikan solat semasa hari pertama Aidilfitri, yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan di Masjid Negara di Kuala Lumpur, 5 Jun 2019.
(AP)

Satu seminar mengenai mesej yang berhasrat untuk mempromosi perpaduan dalam dunia Islam telah dibatalkan selepas penganjur memaklumkan pihak berkuasa mengenai ugutan bom yang disiarkan bersama-sama komen kebencian oleh pengikut sebuah kumpulan yang menentang golongan minoriti Syiah di Malaysia.

Seminar itu, yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, adalah mengenai Mesej Amman, satu kenyataan yang dikeluarkan di ibu kota Jordan oleh Raja Abdullah II bin Al-Hussein semasa satu khutbah dalam bulan Ramadan pada November 2004.

Mesej Abdullah itu menggariskan keperluan untuk menegaskan semula nilai-nilai teras Islam iaitu toleransi dan saling menghormati serta mengiktiraf pelbagai fahaman dalam Islam, termasuk dua pecahan mazhab terbesarnya iaitu Syiah dan Sunnah Wal Jamaah.

“Pembatalan itu dibuat susulan komen yang diterima oleh penganjur di laman Facebook Gerakan Banteras Syiah,” kata Asmawati Ahmad, jurucakap Polis Diraja Malaysia, kepada BeritaBenar.

Asmawati menegaskan bahawa penganjur sendiri yang membatalkan seminar itu tanpa sebarang nasihat daripada polis.

Pembatalan itu berlaku selepas hantaran di laman Facebook, dikenali sebagai Ggerakan Banteras Syiah, menghimpunkan komen berbaur kebencian yang dikongsi beratus-ratus kali.

Pada 6 Julai, seorang pengikut telah memuat naik satu poster mengenai seminar itu, yang dijangka dihadiri Mujahid Yusof Rawa, Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia. Satu komen di laman media itu menulis: “Kita patut bom tempat ini.”

Seorang pegawai kerajaan, yang tidak ingin dikenali, berkata Malaysia harus berwaspada dengan pergerakan militansi yang boleh mencetuskan konflik lebih besar dengan melaga-lagakan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah.

“Ancaman sedemikian tidak harus dipandang ringan meskipun ia datang daripada seorang individu,” sumber itu memberitahu BeritaBenar.

Islam adalah agama rasmi di Malaysia, di mana kira-kira 60 peratus daripada 33 juta rakyat mengikuti ajaran mazhab Sunnah Wal Jamaah. Amalan mazhab lain dalam Islam dilarang oleh kerajaan, terutama usaha untuk menarik rakyat Malaysia dalam kalangan umat Islam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah menjadi penganut baru.

Menarik pengikut

Laman Facebook Gerakan Banteras Syiah telah menghimpunkan lebih 17,000 pengikut dan mendapat 18,000 tanda suka, manakala satu lagi laman yang dikenali sebagai Gerakan Anti-Syiah Malaysia telah menarik 133,000 pengikut dengan kebanyakan anggotanya membincangkan isu mengenai cara kerajaan menangani aduan berkaitan agama Islam mereka.

Ahmad El-Muhammady, seorang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, bersetuju bahawa pembatalan seminar itu adalah perlu kerana, katanya, “ia mungkin akan memuncak kepada keganasan.”

“Terdapat kumpulan yang melihat forum itu sebagai platform untuk menyebarkan (ajaran) Syiah di Malaysia,” kata Ahmad kepada South China Morning Post. “Bagi mereka, seminar (ini) adalah satu tindakan provokatif kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Antara penganjur seminar itu, Institut Pengajian Lanjutan Islam Antarabangsa (IAIS), pada Rabu membuat laporan polis mengenai ancaman bom itu, kata Asmawati kepada pemberita.

Masih tidak jelas sama ada sebarang tangkapan telah dibuat.

Polis berkata mereka sedang menyiasat kes kemungkinan berlaku pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda. Sesiapa yang ditahan kerana terlibat juga mungkin berdepan pertuduhan “melakukan ugutan jenayah” yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, kata polis.

IAIS memuat naik satu pengumuman memohon maaf dalam laman sesawangnya mengenai pembatalan seminar itu, yang mempunyai tajuk kecil: “Mesej Amman sebagai sebuah Platform Damai.”

“Kami dengan rasa kesal ingin memaklumkan anda bahawa ‘Seminar Mesej Amman’ yang dijadualkan pada 13 Julai 2019 telah dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.”

Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah, kedua-duanya percaya bahawa tuhan adalah satu dan lima perkara dalam rukun Islam namun tidak sependapat dalam pelbagai isu serta amalan agama. Terdapat kira-kira 40,000 pengikut Syiah yang mengamalkan ajaran mereka secara senyap-senyap di Malaysia, kata ulamak agama.

Menerusi Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2018 yang dikeluarkan bulan lepas, Amerika Syarikat berkata gabungan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad, yang berkuasa selepas memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018, “menunjukkan bahawa ia akan terus menguatkuasakan satu fatwa pada 1996 yang mengisytiharkan bahawa ajaran Syiah adalah ‘menyimpang.’”

Bagaimanapun, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, tiada laporan bahawa pihak berkuasa Malaysia menahan umat Islam pengikut Syiah kerana menyambut Ashura, menurut laporan itu.

“Media melaporkan, bagaimanapun, pihak berkuasa agama di Kuala Lumpur dan Negeri Selangor meningkatkan pemantauan terhadap individu pengikut Syiah  bagi mencegah perhimpunan Ashura dan penyebaran risalah yang mengutuk ‘amalan-amalan yang menyimpang,” tambahnya.

Semasa kontroversi berhubung pembatalan seminar itu berlaku, Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu pemberita pada Khamis bahawa ancaman yang menyebabkan seminar itu dibatalkan “bukanlah cara yang betul untuk bertindak,” lapor agensi berita rasmi Bernama yang memetik kenyataan beliau.

Bagaimanapun perdana menteri itu juga berkata : “Jika mereka ingin mengalu-alukan penganut Buddha atau Syiah atau apa sahaja, itu adalah hak mereka, asalkan mereka tidak cuba menyebarkan ajaran mereka dalam kalangan umat Islam Malaysia, yang kesemuanya adalah pengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.