Follow us

Pihak Berkuasa Agama Malaysia Sekat Syiah, Tahan Pengikut

Warga asing turut ditahan dalam beberapa siri serbuan terhadap pengikut Syiah di Selangor dan Johor.
Nat Shu & Ali Nufael
Johor Bahru & Kuala Lumpur
2019-09-10
E-mel
Komen
Share
Pihak berkuasa agama Malaysia mengumpul bukti semasa serbuan di pusat Syiah di Gombak, Selangor, 6 September, 2019.
Pihak berkuasa agama Malaysia mengumpul bukti semasa serbuan di pusat Syiah di Gombak, Selangor, 6 September, 2019.
[Ihsan Kamil Zuhairi Abdul Aziz]

Pihak berkuasa agama negeri di Malaysia telah membuat beberapa siri tangkapan termasuk warga asing, semasa majlis persendirian pengikut ajaran Syiah di Selangor dan Johor, dengan SUHAKAM menegaskan hak mempraktiskan mana-mana agama harus dikecapi oleh semua rakyat tanpa rasa takut.

Serbuan pertama dibuat Jabatan Agama Islam Selangor [JAIS] di Gombak pada Jumaat, dengan lebih 21 orang telah ditahan manakala serbuan kedua, lapan termasuk warga Singapura, Indonesia dan Yaman ditahan pihak berkuasa agama Johor, pada Isnin.

BeritaBenar turut difahamkan yang JAIS turut melakukan satu lagi serbuan semasa pengikut Syiah sedang mengadakan majlis tertutup Hari Asyura yang dihadiri oleh warga Pakistan di Bandar Sunway, pada Isnin, tetapi tiada maklumat lanjut mengenainya keluarkan oleh jabatan tersebut.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia yang mengulas mengenai tangkapan oleh pihak berkuasa agama kedua-dua negeri keatas pengikut Syiah pada Selasa berkata, hak mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Hak untuk mempraktiskan mana-mana agama harus dikecapi oleh semua tanpa rasa takut,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media.

Islam di Malaysia mengikuti ajaran Sunnah Wal Jama’ah dan ajaran Syiah dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar kerana menolak Ijmak Ulama, dan boleh mengancam serta menyebabkan pepecahan umaah.

Ajaran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain.

SUHAKAM juga melahirkan kebimbangan terhadap serbuan terbaru di Gombak yang didakwa turut melibatkan tangkapan terhadap kanak-kanak.

Pada Jumaat lepas, JAIS telah menahan Pengerusi Syiah Malaysia Kamil Zuhairi Abdul Aziz bersama beberapa pengikutnya di  Taman Sri Gombak, semasa sedang mengadakan perjumpaan di kalangan mereka.

“Kamil Zuhairi bersama 21 orang pengikutnya telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh JAIS yang ditandatangani oleh Azlinda Azman, timbalan pengarah pengurusan JAIS bagi pihak ketua pengarahnya pada hari tangkapan.

Kenyataan jabatan itu juga memaklumkan bahawa tangkapan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 12(C), Eknamen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi 3 ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bertentangan ajaran Sunnah

Sementara itu pihak berkuasa agama Johor dengan bantuan anggota polis telah mengadakan operasi yang dikenali sebagai 'Ops Hauzah' dan menyerbu sebuah rumah di kawasan pinggiran ibukota Johor.

"Seramai 54 orang - 31 lelaki dan 23 wanita berada dalam premis tersebut. Daripada jumlah itu, lapan lelaki termasuk empat warga tempatan, dua rakyat Singapura, masing-masing seorang warga Indonesia dan Yaman yang berusia antara 30 dan 70an ditahan,” kata sumber pihak berkuasa kepada BeritaBenar yang namanya tidak boleh disiarkan.

Sumber itu turut memberitahu kesemua lapan yang ditahan didakwa terlibat dalam perjumpaan yang melanggari enakmen agama negeri, mengengkari perintah sultan, ketua agama dan fatwa berkenaan aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Sunnah Wal Jamaah.

Baki seramai 46 orang lagi dipanggil oleh pihak berkuasa agama untuk membantu siasatan.

Kesemua mereka disiasat dibawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana melanggari perintah Sultan, mufti dan juga fatwa yang membawa kepada penalti denda 3 ribu ringgit dan satu tahun penjara.

Sekatan terbaru terhadap aktiviti tertutup Syiah oleh pihak berkuasa agama menandakan kerajaan telah menyekat aktiviti warga asing untuk mempraktiskan ajaran Syiah secara tertutup berbanding sebelum ini.

JAIS bagaimanapun mempertahankan tindakannya dan berkata ianya dibuat berdasar peruntukan undang-undang Islam sedia ada.

Pada Oktober 2016, Ketua Penolong Pengarah JAIS Mohamad Rais Rasid berkata pengecualian kepada warganegara asing dan pelancong luar diberikan kerana amalan itu merupakan mazhab mereka di negara asal masing-masing, selagi tidak menyebarkannya kepada rakyat Malaysia.

Di Malaysia, serbuan ke atas Islam Syiah merupakan perkara yang berlaku setiap tahun dimana pengikut ajaran itu akan ditangkap atas aktiviti yang berkaitan dengan 10 Muharram, hari memperingati Asyura.

Tarikh tersebut merupakan simbol masa berkabung bagi pengikut Syiah atas kematian cucu Nabi Muhammad, Hussain Ali dalam Pertempuran Karbala yang berlaku 3,000 tahun dahulu yang sekarang dikenali sebagai Iraq.

Setiap tahun ditahan

Serbuan yang dilakukan oleh JAIS dan polis keatas pengikut Syiah merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia menurut Kamil Zuhairi yang telah ditahan dan dibebaskan oleh pihak berkuasa negeri sejak beberapa tahun.

"Setiap tahun ketika menyambut Hari Asyura, saya akan ditangkap. Saya pernah ditangkap lebih dari 10 kali sejak 2010," kata Kamil Zuhairi kepada BeritaBenar pada Selasa selepas dibebaskan daripada tahanan.

Beliau juga memaklumkan terhadap antara 50,000 hingga 200,000 pengikut Syiah di Malaysia.

"Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar sebab mereka takut akan diganggu oleh pihak berkuasa jika dikenali sebagai pengikut Syiah," tambahnya.

SUHAKAM berkata, rakyat Malaysia tidak boleh mengakui yang Malaysia mempunyai pelbagai budaya jika pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil tidak menghormati dan bertolak ansur dengan amalan agama lain.

"Suhakam berharap semangat persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar kepada pembinaan masyarakat dan bukannya perasaan untuk membenci dan bersikap tidak elok terhadap mereka yang mempunyai perbedaan,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada November 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, “Kerajaan sentiasa profesional dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang dituduh terbabit dengan ajaran Syiah”

“Tindakan boleh diambil oleh Jabatan Agama Islam berasaskan akta atau Enekmen Jenayah Syariah Negeri masing-masing,” tambahnya.

Sementara itu, pada tahun 2005, “Amman Message” yang mengiktiraf kesahan pelbagai amalan agama Islam sebagai tambahan kepada dua teras yang memfokuskan kepada pemeliharaan keharmonian dalam Islam telah ditandatangani oleh lebih 200 cendekiawan Islam, ketua negara, ahli akademik dan pemimpin politik selurh dunia termasuk Perdana Menteri pada masa itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Lihat Laman Penuh