Follow us

Kumpulan Kedua 69 Orang Pelarian Syria Tiba Sabtu

Ahmad Najmi Nasruddin
Kuala Lumpur
2016-05-27
E-mel
Komen
Share
Kanak-kanak pelarian Syria yang tinggal di kem pelarian tidak rasmi di bandar Bar Elias, bersedia untuk menaiki bas sekolah di Lembah Bekaa, 13 Mei 2016.
Kanak-kanak pelarian Syria yang tinggal di kem pelarian tidak rasmi di bandar Bar Elias, bersedia untuk menaiki bas sekolah di Lembah Bekaa, 13 Mei 2016.
AFP

Seramai 69 orang pelarian Syria terdiri daripada 17 keluarga yang berada di sebuah kem sementara di Lubnan, dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan sebuah pesawat khas pada Sabtu, demikian menurut aktivis kemanusiaan Malaysia kepada BeritaBenar.

Kesemua mereka dari Kem Pelarian Syria di Lembah Bekka di negara jiran Syria itu, merupakan kumpulan kedua daripada 3,000 pelarian yang mahu diberikan perlindungan oleh kerajaan Malaysia.

Nor Syazly Ramely, Pengurus Projek MyCare, sebuah badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan kemanusian kepada pelarian dan mangsa perang di Timur Tengah  berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada 17 keluarga yang telahpun melepasi sesi penapisan oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia.

"Mereka adalah 69 orang mangsa peperangan di Syria yang telah dipilih oleh pihak kerajaan semasa sesi penapisan yang dibuat di Lubnan baru-baru ini," kata Nor Shazly kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nor Shazly menambah,  kerajaan Malaysia memperuntukan tempat bagi 100 pelarian bagi setiap penghantaran dengan syarat mereka perlu melalui proses penapisan sebelum boleh dibawa masuk.

Katanya, usaha kerajaan Malaysia membawa pelarian itu adalah atas dasar ihsan dan kemanusian serta membantu pelarian berkenaan membina kehidupan baru di Malaysia.

Pada 20 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kumpulan kedua membabitkan 100 pelarian Syria daripada 24 keluarga akan dibawa ke Malaysia pada 28 Mei ini.

"Lima pegawai kanan PDRM, Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri akan berlepas ke Beirut dalam masa terdekat bagi melakukan tapisan keselamatan serta kesihatan sebelum membawa masuk pelarian terbabit,” katanya seperti dilaporkan media tempatan Malaysia.

"Kita akan pastikan mereka yang dibawa masuk adalah kumpulan profesional. Sebaik tiba, mereka akan ditempatkan di penempatan sementara di Setia Alam, Shah Alam, Selangor," kata Ahmad Zahid sambil menambah kesemua mereka dari kem di Lembah Bekka, Lubnan.

Kumpulan pertama seramai lapan orang pelarian iaitu dari dua buah keluarga telah tiba di Malaysia pada Disember tahun lepas, dengan pertolongan saudara mara mereka yang menetap di Kuala Lumpur, yang  merayu kepada pihak berkuasa untuk bantuan.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahril Azfar Salleh berkata, terdapat sembilan NGO tempatan yang terlibat dalam membantu usaha membawa pelarian berkenaan dalam usaha menyokong komitmen kerajaan Malaysia terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada Oktober tahun lepas, semasa berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB di New York, Perdana Menteri Najib Razak berkata, Malaysia bersedia membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria untuk tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha meringankan krisis pelarian negara bergolak itu.

Najib berkata, negara Islam bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat Syria yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka dengan jumlah yang besar akibat perang dan mencari perlindungan di negara-negara Eropah.

‘Diperluaskan’

Syahril Azfar juga berkata, Malaysian Life Line for Syria, NGO tempatan yang menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Syria serta menguruskan kebajikan pelarian di Malaysia, juga sedang berusaha untuk memperluaskan usaha membawa masuk pelarian dari negara bergolak itu yang berada di beberapa kem di negara berkenaan dan Turki.

Katanya, layanan terhadap pelarian Syria sama seperti pelarian yang dibawa masuk dari Bosnia-Herzegovina oleh Malaysia suatu ketika dulu, dengan memberi peluang dalam pendidikan, kesihatan dan pekerjaan dalam memulakan kehidupan baru mereka.

“Kami juga berdepan dengan pelbagai isu seperti pelaksanaan program yang selari dengan peraturan PBB, serta reaksi negatif daripada masyarakat tempatan yang kurang bersetuju dengan kemasukan pelarian Syria,” tambah beliau.

Sementara itu, Eksekutif Kreatif, Emy Haznida Hazairul Sham ketika ditanya mengenai kemasukan kumpulan kedua pelarian Syria ke negara itu, mengalu-alukan kehadiran mereka dan usaha positif kerajaan dalam memberi perlindungan kepada pelarian Syria itu, yang telah berhadapan dengan pelbagai trauma peperangan.

“Tetapi kerajaan juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai syarat-syarat yang ditetapkannya terhadap pelarian Syria sebelum mereka dapat menetap di negara ini,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi.




Lihat Laman Penuh