Follow us

India Dakwa 55 Jemaah Tabligh Malaysia Salahguna Visa Lawatan

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-06
E-mel
Komen
Share
Seorang lelaki Islam adalah antara 29 orang yang ditahan pihak berkuasa India, mahu menaiki ambulans sebelum dibawa ke penjara dari pusat kuarantin di Prayagraj, India, 21 April 2020.
Seorang lelaki Islam adalah antara 29 orang yang ditahan pihak berkuasa India, mahu menaiki ambulans sebelum dibawa ke penjara dari pusat kuarantin di Prayagraj, India, 21 April 2020.
[AP]

India telah mendakwa seramai 55 rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di New Delhi, pada Mac lalu di mahkamah negara itu dengan pertuduhan menyalahgunakan visa lawatan, demikian menurut Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia pada Rabu.

Kamarudin Jaffar berkata, mereka adalah antara 190 rakyat Malaysia yang masih berada di pusat-pusat kuarantin dan tahanan sementara yang disediakan oleh negara itu, selepas terkandas akibat sekatan perjalanan, pergantungan penerbangan dan penutupan pintu masuk dan sempadan negara tersebut akibt penularan pandemik COVID-19.

"Isu Jemaah Tabligh rakyat Malaysia di India, seramai 190 orang, masing-masing seramai 158 orang di New Delhi, 23 orang di Chennai dan sembilan orang di Mumbai, masih berada di pusat-pusat kuarantin dan tahanan sementara yang disediakan.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 55 orang telah dikenakan tuduhan menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa India. Kementerian melalui pejabat Perwakilan Malaysia di India sedang menyelaraskan usaha menyediakan khidmat guaman kepada semua rakyat Malaysia yang dituduh di mahkamah, " kata Kamarudin pada sidang media khas di Wisma Putra pada Rabu.

Beliau menambah bantuan kemanusiaan termasuk bekalan makanan, ubatan dan barangan keperluan harian kepada kesemua mereka juga dihulurkan kepada kesemua mereka.

"Kerajaan Malaysia sedang mengusahakan membawa keluar jemaah tabligh yang masih berada di pusat-pusat kuarantin dan usaha ini penting bagi membolehkan urusan membawa pulang ke Malaysia berjalan lancar,” tambah beliau.

Pada 13 Mac lalu, Jemaah Tabligh iaitu pertubuhan Muslim di India telah menganjurkan satu perhimpunan di New Delhi yang dihadiri ribuan peserta termasuk dari negara-negara Asia seperti Malaysia dan Indonesia, iaitu beberapa hari sebelum Ketua Menteri Delhi melarang sebarang perhimpunan lebih 50 orang bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, menurut laporan akhbar tempatan India Today.

Beratus-ratus orang enggan meninggalkan bangunan markas pertubuhan itu dan terkandas di dalamnya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu di seluruh negara tersebut termasuk menggantung pengangkutan awam dan menyekat pergerakan yang tidak penting.

Susulan perintah berkurung itu, kira-kira 190 jemaah tabligh rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa India untuk dikuarantin, termasuk sekumpulan mereka yang cuba menaiki pesawat penerbangan ihsan kerajaan Malaysia untuk membawa rakyatnya yang terkandas oleh pihak imigresen.

Di Malaysia, Pertubuhan Jemaah Tabligh menjadi tumpuan berhubung jangkitan COVID-19 selepas satu himpunan besar-besaran yang diadakan di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir Februari menjadi punca kepada ratusan jangkitan di lebih enam buah negara.

Markas Jemaah Tabligh Malaysia terletak di Masjid Sri Petaling dan telah menganjurkan pelbagai program yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.

Kira-kira 1,500 warga asing dari 12 negara menghadiri perhimpunan itu dengan kebanyakan mereka didapati dijangkiti virus COVID-19 termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam, menurut laporan.

Statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kluster jangkitan COVID-19 yang berkait dengan himpunan tabligh di Sri Petaling adalah seramai 2,311 orang.

Sementara itu, di Indonesia, pihak berkuasa republik itu menghadapi kesukaran mengesan ahli Jemaah Tabligh yang menyertai satu perhimpunan besar di sana pada Mac lalu yang telah mencetuskan beberapa kluster jangkitan COVID-19.

Menurut Wiku Adisasmito, seorang pegawai kanan dalam pasukan petugas Covid-19 Indonesia, kerajaan berdepan dengan kesukaran menjejaki ahli tabligh itu, kerana kebanyakan mereka tidak melapurkan sejarah perjalanan dan sudah berada di seluruh negara itu.

"Lokasi mereka yang berada di merata tempat membuatkan siasatan menjadi sukar. Indonesia juga adalah negara yang keempat paling ramai penduduk di dunia," kata Wiku kepada BeritaBenar pada Selasa.

Perhimpunan di Sulawesi Selatan, Indonesia pada pertengahan Mac dibatalkan pada saat akhir dan telah dipersalahkan keatas lebih 100 jangkitan di Indonesia.

Dianggarkan kira-kira 18,000 peserta termasuk 465 dari 10 negara lain telah tiba di Gowa, Sulawesi Selatan untuk perhimpunan itu sebelum pihak berkuasa Indonesia memaksa penganjur membatalkan program yang dijadualkan bermula pada 18 Mac atas kekhuatiran boleh menambah penularan jangkitan virus tersebut.

Sementara itu, Menteri Kanan Keselamatan Malaysia, Ismail Sabri Yaakob terus menegaskan bahawa pintu masuk negara kekal tutup bagi mereka yang bukan warganegara walaupun kerajaan sudah melonggarkan pergerakan dalam negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula Isnin.

“Kita masih lagi dengan polisi kita iaitu warga asing masih tidak dibenarkan masuk ke negara kita," kata beliau.

Lihat Laman Penuh