Tabung Harapan Malaysia Beri Peluang Rakyat Salur Dana Selesai Hutang Negara

Lex Radz
2018.05.30
Kuala Lumpur, Malaysia
180530-my-dana620.jpg Seorang pelabur mengawasi papan dagangan di galeri pasaran saham swasta di Kuala Lumpur, Malaysia, 14 Mei 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia menubuhkan Tabung Harapan yang memberi peluang kepada rakyat negaranya untuk mengumpul dana dan menghulurkan derma kepada kerajaan baru pimpinan Mahathir Mohamad untuk mengurangkan beban hutang RM1 trilion [AS251 bilion].

Perdana Menteri itu berkata, ramai rakyat Malaysia sanggup memberi derma kepada kerajaan selepas mengetahui kedudukan kewangan negara dan kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik mereka.

"Terdapat ramai rakyat Malaysia apabila tahu kedudukan kewangan negara yang buruk, mereka sanggup memberi derma kepada kerajaan.

"Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka dan mengucapkan terima kasih," kata Perdana Menteri berusia 92 tahun itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, pada Rabu.

Kerajaan baru yang diketuai Mahathir minggu lalu telah mendedahkan bahawa hutang dan liabiliti Malaysia melebihi RM1 trilion ringgit, atau 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara berkenaan, selepas mengambil kira jaminan kerajaan dan pembayaran lain.

Perdana Menteri Mahathir, yang mengetuai kemenangan pilihan raya umum dengan keputusan menakjubkan awal bulan ini, mendakwa berlaku salah tadbir ekonomi dan rasuah semasa di bawah pemerintahan bekas pemimpin yang tercemar dengan skandal dana negara 1Malaysia Development Bhd [1MDB], Najib Razak.

Pengumuman mengenai hutang negara yang berjumlah RM1 trilion itu telah mendapat perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini dengan ramai antara mereka menyatakan di laman sosial kesediaan mereka untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang berkenaan.

Sementara itu,  Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bagi menyelaraskan sumbangan secara sistematik dan telus, tabung itu akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

"Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja, dan boleh disalurkan melalui akaun Malayan Banking Berhad 56601-0626452,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas Pedana Menteri membuat pengumuan mengenai tabung berkenaan.

Menurutnya berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, telah wujud kesedaran dikalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

"Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada kerajaan bagi menangani isu tersebut," kata Guan Eng.

Sehubungan itu Lim turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Sentimen patriotik


Dalam pada itu, langkah yang diambil oleh kerajaan itu adalah sesuatu yang dilihat sebagai luar biasa sebaliknya ia datang sebagai tindak balas kepada kempen crowdfunding yang bermula baru-baru ini oleh rakyat Malaysia yang prihatin dan mahu membantu pentadbiran negara menyelesaikan hutang kerajaan yang mengejutkan itu.

Kemenangan pilihan raya oleh Pakatan Harapan telah mengilhamkan sentimen patriotik di kalangan ramai warganegara yang telah menyatakan kebanggaannya di media sosial tentang menjadi sebahagian daripada sebuah negara Malaysia yang baru bebas daripada rasuah dan politik kaum.

Baru-baru ini, Nik Shazarian Bakti, 27 telah memulakan kempen pengumpulan dana untuk membantu Malaysia menyelesaikan hutangnya itu.

Nik Shazarina dalam laman Go Get Funding yang bertajuk “Please Help Malaysia” memberi masa selama 62 hari untuk mengumpul sebanyak AS$100 ribu untuk membantu Malaysia menyelesaikan hutangnya.

Dalam catatannya di laman Go Get Funding, peguam wanita itu berkata rakyat Malaysia pada masa lalu telah memberikan barang perhiasan, wang dan barang berharga untuk membantu mengumpul dana untuk mendapatkan kemerdekaan dari Britain.

"Kali ini, kita sedang melakukannya. Kita boleh memberitahu anak-anak dan cucu kita mengenai inisiatif ini bahawa kita semua mengambil bahagian dalam usaha untuk menyelamatkan Negaraku (negara saya) Malaysia, " katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.