Follow us

Tiga Ditahan Bantu Kes Hina Yang di-Pertuan Agong

Zam Yusa
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-09
E-mel
Komen
Share
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V berangkat ke majlis Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Parlimen Ke -14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 17 Julai 2018.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V berangkat ke majlis Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Parlimen Ke -14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 17 Julai 2018.
AP

Polis Malaysia menahan tiga individu termasuk seorang wanita pada Selasa kerana menghina bekas Yang di- Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di dalam media sosial, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, Fuzi mengesahkan tiga individu itu ialah Eric Liew Chee Ling (pemilik akaun Facebook “Eric Liew”), 49; Azham Akhtar Abdullah (pemilik akaun Twitter @azhamakhtar), 26 dan Nur Alia Astaman (pemilik akaun Twitter @aliaastaman), 27 telah ditahan pihak berkuasa negara itu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berhubung tindakan pemilik akaun media sosial memuat naik komen-komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Ekoran itu, tiga individu ditahan pada 8 Januari 2019 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” kata Fuzi.

Bagaimanapun tidak dinyatakan adakah ketiga mereka sudah direman dan usaha BeritaBenar mendapatkan maklumat lanjut dari polis juga tidak berjaya.

Bagi kesalahan pertama, individu yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau lebih, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Fuzi turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laman media sosial dengan berhemah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk provokasi atau manipulasi berhubung isu peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi Raja Malaysia.

Pihak Istana Negara pada Ahad mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong tanpa menyatakan sebarang alasan kenapa baginda melepaskan jawatan tersebut.  Peletakan jawatan sebagai Agong merupakan kes pertama dalam sejarah 61 tahun penubuhan Malaysia.

Pengumuman peletakan jawatan Agong yang berusia 49 tahun yang juga Sultan Kelantan itu berkuatkuasa serta merta tanpa memaklumkan pengganti yang akan menaiki tahta seterusnya.

Sultan Muhammad V,  dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Disember 2016 mengikut sistem pengiliran raja bagi tempoh lima tahun.

Tangkapan bersifat menyekat

Shamini Darshni Kaliemuthu, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia menyelar tindakan pihak berkuasa atas tangkapan yang dibuat ke atas ketiga-tiga individu berkenaan.

“Pengumuman (tangkapan) tersebut merupakan satu langkah ke belakang dalam mempromosikan kebebasan bersuara dalam negara.

“Akta Hasutan sudah berkuatkuasa sekian lama dan digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara di dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas dihubungi BeritaBenar.

Manakala Syed Hassan Syed Ali, Setiausaha Agong NGO Melayu Perkasa pula menyatakan sokongan untuk tindakan yang diambil pihak polis.

“Perkasa mahu mereka ini disiasat dan didakwa segara. Biar kes ini menjadi satu pengajaran kepada orang awam supaya jangan menghina institusi Kesultanan Melayu,” kata Syed Hassan kepada BeritaBenar.

Beliau berkata kerap menerima pelbagai imej daripada aplikasi Whatsapp yang menghina raja-raja Melayu terutamanya yang mengandungi komen yang biadap.

Beliau turut berkata mereka yang didapati bersalah, tidak kira apa bangsa atau apa warna kulitnya perlu dihukum dengan hukuman maksima termasuk penjara dan sebatan.

“Perkara ini yang dimulakan oleh sesetengah orang yang berani melawan raja-raja Melayu turut membuatkan mereka yang lain lebih berani untuk menghina Institusi Diraja Melayu.

“Dengan itu, Perkasa menggesa pihak polis supaya  bersikap lebih tegas terhadap pemimpin politik dan ahli aktivis yang mempromosikan contoh negatif kepada masyarakat.

“Perkasa turut berharap bahawa pihak Peguam Negara akan mempercepatkan pendakwaan terhadap individu terbabit sejurus siasatan selesai,” kata Syed Hassan.

Di bawah Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Tertinggi Persekutuan dan angkatan tentera.

Agong turut berperanan sebagai ketua agama Islam di negerinya dan juga di negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang hanya mempunyai Gabenor.

Sebelum tangkapan yang terbaru, pihak polis sebelum ini pernah menahan beberapa individu di bawah Akta Hasutan dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia.

Antara individu tersebut termasuk seorang doktor yang ditahan pada Februari tahun lepas kerana menghina sultan di Facebook manakala seorang wanita ditahan pada Julai, 2017.

Seorang peguam hak asasi manusia, Fadiah Nadwa Fikri, yang pernah menulis satu artikel yang dikatakan ‘menghina’ institusi raja-raja melayu pernah disoal siasat polis beberapa kali berkenaan artikel beliau dan sehingga kini, kes beliau masih dalam siasatan.

Institusi Raja di Malaysia merupakan sistem Raja Berparlimen.

Di bawah Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mestilah melindungi kedudukan istimewa bangsa Melayu dan hak Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan juga hak-hak komuniti lain di dalam negara.

Sebagai tambahan, Yang di-Pertuan Agong turut berperanan merasmikan pembukaan sidang parlimen dan turut berkuasa untuk melantik ahli kabinet serta memberikan pengampunan diraja.

Lihat Laman Penuh