Follow us

Kematian 23 Penghuni Tahfiz, Remaja Dijatuhi Hukuman Penjara Selama Pekenan Agong

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-08-17
E-mel
Komen
Share
Peguambela Mohd Haijan Omar hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan anak guamnya yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hampir tiga tahun lalu, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 17 Ogos 2020.
Peguambela Mohd Haijan Omar hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan anak guamnya yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hampir tiga tahun lalu, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 17 Ogos 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang remaja pada Isnin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan dijatuhi hukuman penjara sehingga perkenan Yang Di-Pertuan Agong selepas pendakwaan berjaya membuktikan beliau mempunyai niat membakar dan membunuh 23 penghuni sebuah tahfiz di Kuala Lumpur, tiga tahun lepas.

Remaja yang kini berusia 19 tahun terlepas daripada hukuman gantung sampai mati, kerana semasa melakukan kesalahan itu masih berada dibawah umur, di mana mengikut Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak Malaysia, remaja atau kanak-kanak yang berusia dibawah 18 tahun dilindungi daripada dikenakan hukuman mati, walaupun disabitkan dengan kesalahan membunuh, tetapi hukuman tersebut digantikan dengan penahanan di penjara selama yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azman Abdullah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menunjukkan fakta yang cukup untuk membuktikan kesnya terhadap defendan, yang didapati dengan sengaja melakukan perbuatan khianat dengan niat membakar dan membunuh penghuni pusat tahfiz tersebut.

"Selepas mendengar keterangan semua pihak, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 23 pertuduhan tanpa sebarang keraguan munasabah, dengan ini saya mendapati tertuduh melakukan jenayah tersebut seperti mana pertuduhan dengan niat membunuh dan didapati bersalah dan disabitkan,

“Disebabkan tertuduh masih di bawah umur semasa kejadian, saya mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu terpulang kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari masa ke semasa,” kata Azman ketika membacakan keputusannya dengan remaja berkenaan kelihatan sebak sambil menangis teresak-esak selepas mendengar keputusan Hakim itu.

Azman yang mengakhiri penghakimannya dengan nada sebak berkata “Saya mendoakan roh yang meninggal (dunia) dicucuri rahmat oleh Allah SWT, menjadi ahli syurga, begitu juga ibu bapa mereka,”

Penghakiman akhir Hakim itu turut mengundang suasana sebak di kalangan mereka yang hadir berada di ruang mahkamah tersebut.

Kebakaran di bangunan tiga tingkat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, iaitu sebuah madrasah bagi pelajar lelaki belajar pengetahuan agama Islam dan menghafal Al-Quran yang terletak di Jalan Keramat, Ibunegara Kuala Lumpur, pada 14 September 2017, telah menyebabkan dua orang guru dan 21 pelajar berusia antara 6 dan 17 tahun terbunuh.

Terperangkap


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memberitahu pada masa itu kesemua mereka yang mati didapati terperangkap dalam bilik asrama akibat tingkap berjeriji dan pintu berkunci, ada mayat yang ditemui bertindih atas satu sama lain, rentung dan tidak dapat dikenali, selain menemui dua silinder gas memasak yang diletakkan di pintu asrama sekolah dan menghalang mangsa daripada melarikan diri semasa kebakaran itu berlaku.

Saksi-saksi kejadian pula berkata mereka dikejutkan dengan tangisan dan jeritan minta tolong pada awal pagi itu.

Timbalan Pendakwaraya Julia Ibrahim yang ditemui media selepas prosiding tersebut, berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan mengucapkan rasa syukur kerana kes sudah selesai.

"Alhamdulillah kes sudah selesai. Kami terima keputusan mahkamah kerana kami sudah pun buat sebaik mungkin walaupun cuma seorang saja disabitkan dan seorang lagi tidak dapat dicamkan," kata beliau di perkarangan mahkamah.

Dalam pada itu, Peguambela tertuduh Mohd Haijan Omar pula berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dalam tempoh terdekat seperti diperuntukkan undang-undang.

"Kita akan lalui proses yang adil mengikut proses undang-undang seperti mana diperuntukkan dalam kanun acara jenayah, kita akan failkan rayuan dalam tempoh 14 hari,” katanya semasa mengulas mengenai keputusan Hakim berkenaan.

Kebakaran pusat tahfiz itu telah menyebabkan kemarahan masyarkat di laman media sosial sehingga ada gesaan untuk memastikan penyeliaaan terhadap sekolah agama dengan lebih baik, yang kebanyakannya dijalankan secara persendirian dan tidak diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beberapa hari selepas kejadian itu, pihak berkuasa Malaysia mengumumkan penangkapan tujuh remaja dan mengisytiharkan bahawa kejadian yang berlaku adalah bermotifkan dendam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh pada masa itu berkata suspek mungkin melakukan perkara tersebut tanpa niat dan berkemungkinan berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian itu berlaku.

Polis kemudiannya memfailkan tuduhan membunuh terhadap remaja itu dan rakannya yang tidak boleh dinamakan kerana bawah umur selepas siasatan ke atas kes itu selesai.

Bagaimanapun, pada 28 Jan lalu, Hakim mengarahkan remaja berkenaan membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya manakala rakannya dibebaskan.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 dan didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ibu kepada dua beradik, Azkar Dariemi, lapan dan abangnya Azkar Abiedi F Zaska,11, yang terkorban dalam kejadian itu menyatakan keputusan mahkamah harus dijadikan iktibar kepada remaja-remaja lain.

Emmy Farizah Abd Aziz, 40 berkata, keluarganya menerima keputusan mahkamah dengan berlapang dada.

"Dah lama saya maafkan tertuduh kerana beliau masih budak-budak. Saya berharap keputusan mahkamah ini memberi panduan kepada semua supaya tidak mengulangi kesilapan," katanya kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh