Kebakaran Tahfiz: Dua Remaja Mengaku Tidak Bersalah Bunuh 23 Penghuni
2018.01.30
Kuala Lumpur
Dua remaja pada Selasa mengaku tidak bersalah membunuh 21 orang pelajar dan dua orang guru sebuah sekolah tahfiz di tengah ibu kota Kuala Lumpur dalam satu kebakaran yang menggemparkan negara pada September lalu.
Kedua-dua remaja yang berusia 16 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua 23 pertuduhan dibacakan satu persatu oleh penterjemah mahkamah di hadapan Hakim Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kedua-dua tertuduh tidak boleh dinamakan oleh media kerana berada di bawah umur 18 tahun.
Kedua mereka dituduh membunuh 23 penghuni asrama Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat di antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.
Di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kedua-duanya berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 melindungi kanak-kanak atau remaja yang berusia bawah 18 tahun daripada dikenakan hukuman mati walaupun disabitkan dengan kesalahana membunuh dan sebaliknya digantikan dengan penahanan di penjara selama yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ketika prosiding pada Selasa, Hakim Azman Abdullah mengingatkan wartawan supaya tidak mendedahkan identiti dan latarbelakang kedua-dua tertuduh memandangkan ia adalah kes juvana.
“Adalah satu kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak untuk menyiarkan nama kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah,” kata Hakim Azman.
Pihak pendakwa diwakili Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala dua tertuduh diwakili oleh peguam Michelle Ng dari Tetuan Gobind Singh Deo.
Semasa prosiding, Nurakmal Farhan memfailkan bantahan awal kepada mahkamah memohon melarang serta tidak membenarkan peguam dari Tetuan Gobind Singh daripada mewakili dua tertuduh tersebut.
“Mana-mana peguam atau pengamal undang-undang sepatutnya dikecualikan atau dilarang daripada mewakili kedua tertuduh atas dasar firma mereka telahpun mewakili dua tertuduh lain untuk satu kes di Mahkamah Majistret dan dua tertuduh tersebut juga akan menjadi saksi utama bagi kes ini,” katanya.
Farhan berkata, atas sebab sedemikian, pihak pembelaan telahpun memiliki maklumat tentang bukti-bukti yang boleh digunakan dalam kes ini.
Peguam Michelle Ng dalam maklumbalas kepada mahkamah pula memohon satu tarikh baru untuk membenarkan pihak pembela menerima maklumat lanjut daripada firma guaman mereka memandangkan mereka tidak mendapat sebarang maklumat berkenaan hal itu.
Mahkamah menetapkan 19 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bersama empat suspek remaja lain atas kesalahan berkaitan dadah pada 27 September 2017.
Kedua-dua suspek yang melibatkan kes pembunuhan mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan dadah. Tiga lagi mengaku tidak bersalah, sementara suspek lain mengaku bersalah atas tuduhan dadah yang sama.
Mereka yang berusia di antara 11 hingga 18 tahun tinggal berhampiran dengan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dikatakan "salah faham" dengan pelajar-pelajar sekolah itu, kata polis.
“Enam daripada suspek itu didapati positif dengan ganja dan kami percaya mereka berada dalam pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh Ishar Singh sebelum ini.
"Dengan tangkapan ini, kami percaya kami telah menyelesaikan kes berkenaan," tambahnya agi
Kebakaran itu telah mendorong kepada penyiasatan terhadap sekolah tahfiz di seluruh negara selepas media massa Malaysia melaporkan bahawa lebih daripada 200 kejadian kebakaran telah dilaporkan di sekolah agama swasta di Malaysia dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Akhbar The Star melaporkan terdapat 519 buah sekolah tahfiz swasta yang didaftarkan di seluruh negara setakat April lalu, tetapi banyak lagi yang dipercayai tidak berdaftar. Lebih 200 kebakaran membabitkan sekolah agama dikatakan telah direkodkan di seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat kesimpulan bahawa perbuatan khianat adalah penyebab kepada berlakunya kebakaran itu. Jabatan itu berkata anggota bomba telah menemui dua silinder gas memasak yang diletakkan di pintu asrama sekolah dan menghalang mangsa daripada melarikan diri.
Ketika kebakaran melanda asrama, saksi-saksi berkata mereka dikejutkan dengan tangisan dan jeritan minta tolong. Pegawai bomba berkata mereka menemui kesemua mayat bertimbun antara satu sama lain, yang menunjukkan bahawa mangsa cuba melarikan diri, tetapi terperangkap akibat tingkap berjeriji besi.