Pelajar Malaysia Disebat Meninggal Dunia Selepas Kakinya Dipotong

Hata Wahari
2017.04.26
Kuala Lumpur
170426-MY-beating-620.jpg Sultan Johor mengucapkan takziah atas kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dalam laman media sosial baginda, 26 April, 2017.
[Ihsan Pejabat Akhbar Sultan Johor]

Kes seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia pada Rabu selepas kakinya dipotong akibat gangren setelah didakwa disebat seorang pembantu warden di sebuah sekolah agama, kini disiasat sebagai kes pembunuhan, kata Ketua Polis Malaysia.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi meninggal dunia pada 2:05 petang Rabu (waktu tempatan) ketika doktor di Hospital Sultan Ismail di Johor bersedia untuk memotong tangan kanannya pula selepas mereka berbuat demikian dengan kedua-dua kakinya dalam usaha menyelamatkan nyawa pelajar berkenaan, menurut laporan.

Kes bekenaan telah membangkitkan kemarahan dan mengejutkan semua lapisan masyarakat rakyat Malaysia termasuk ahli politik dan pemimpin lain yang meminta pihak berkuasa untuk menyiasat dan menghukum pelaku yang didakwa terlibat dalam kes itu.

"Kes ini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitter beliau pada Rabu sambil menambah kata:  "Polis sedang menunggu laporan penuh perubatan bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dengan segera."

Mohamad Thaqif didakwa disebat dengan hos getah oleh seorang pembantu warden di sekolah agama "Tahfiz", dan susulan itu,lelaki berkenaan ditangkap pada 22 April lalu.

Imej menunjukkan kaki pelajar itu yang lebam dan kehitaman telah tersebar di laman sosial media. Pelajar itu yang suka bermain bola sepak, dimasukkan ke sebuah hospital di Johor pada 19 April dan telah menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya pada Jumaat lalu.

Suspek, 29, yang pernah disabitkan dengan kesalahan mencuri, didakwa menggunakan hos getah untuk menyebat pelajar itu dan beberapa lagi rakannya sebagai hukuman di sekolah agama yang terletak di daerah Kota Tinggi Johor.

Dia telah menjalani hukuman penjara selama 30 bulan atas kesalahan mencuri dan bekerja di sekolah agama persendirian itu sejak setahun lalu, menurut polis.

Pada Rabu, sebuah mahkamah daerah telah melanjutkan tempoh tahanan reman suspek hingga Sabtu ini, selepas tempoh reman empat hari terdahulu, iaitu semasa dia ditangkap pada hujung minggu, tamat.

Sebelum ini, polis menyiasat kejadian berkenaan mengikut Seksyen 31 Akta Perlindungan Kanak-kanak.

Jenazah Mohamad Thaqif telah dibawa pulang ke kampung keluarganya pada lewat malam  Rabu selepas menjalani bedah siasat di hospital itu. Anggota keluarganya belum memutuskan sama ada mereka mahu mengebumikannya pada lewat Rabu atau Khamis, menurut laporan.

Di Malaysia, sekolah agama persendirian tidak dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan, yang mempunyai garis panduan yang ketat dalam memberi hukuman terhadap pelajar.

Hafiz Abdul, seorang rakyat Malaysia berkata, kerajaan perlu meningkatkan pemantauan terhadap sekolah-sekolah agama yang dikendalikan secara persendirian.

"Sekolah-sekolah tahfiz ini perlu ditadbir urus dengan baik. Kini sekolah berkenaan menjadi tempat di mana ibu bapa meletakkan anak-anak mereka di tangan kakitangan yang meragukan atau guru yang tidak dipantau dengan baik,”kata Hafiz kepada BeritaBenar.

Ucapan takziah negara

Sementara itu, Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) terkejut dengan kematian pelajar berkenaan.

"Saya sedih menerima berita pemergian adik Mohamad Thaqif Amin di Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu. Takziah buat keluarga arwah, "kata Najib dalam laman Facebook beliau pada Rabu.

"Saya mahu siasatan kes ini dipercepatkan agar kita tahu punca kematian dan untuk diambil tindakan undang-undang jika terdapat kesalahan," kata beliau.

Wan Azizah, isteri bekas ketua pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim, turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohamad Thaqif.

“Mohon dikurniakan ketabahan dan kesabaran…Insya-Allah sudah ada tempat untuknya di syurga,” kata beliau.

Rakyat  juga menyampaikan mesej simpati yang sama manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menyiarkan gambar pelajar itu di laman media sosial rasmi baginda.

"Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh," titah baginda dalam catatan yang dimuat naik di laman media sosial Facebook dan Instagram baginda.

Warga lain turut mengambil pendekatan serupa dengan memuat naik simpati dan ucapan mereka di media sosial.

“Saya juga ibu bapa dan ini adalah sesuatu yang sangat mengguris perasaan.  Tiada ibu bapa yang perlu mengebumikan anak mereka,” kata Michelle Teh yang menulis di laman Facebook beliau. “Dia menderita dengan teruk dan kini pemergiannya menunjukkan Tuhan tidak mahu dia lebih menderita. Semoga tenang di sana.”

Kalangan masyarakat turut melahirkan kemarahan mereka terhadap kejadian sebatan itu.

"Sudah tentu semua orang akan merasakan kehilangan yang amat menyakitkan terhadap kanak-kanak ini, yang mempunyai masa depan yang cerah dan kehidupannya telah dirampas bukan kerana kesalahannya sendiri. Amat sedih. Semoga tenang di sana,” kata Chow Ship Kuan dalam laman Facebook beliau.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.