Malaysia: Universiti Australia Tukar Nama Plaza Taib Mahmud
2016.07.14
Kuching, Sarawak

Sebuah universiti di Australia yang pernah memberi penghormatan kepada gabenor Sarawak, Abdul Taib Mahmud, telah membuat keputusan untuk menukar nama plaza kampusnya berikutan tekanan daripada kumpulan aktivis alam sekitar yang mendakwa beliau telah mendapat keuntungan besar daripada pembalakan haram di Sarawak.
Jurucakap Universiti Adelaide berkata, majlis universiti berkenaan telah memutuskan pada April lepas untuk menukar nama plaza Taib Mahmud kepada plaza Alumni Colombo Plan, dan papan-tanda baru telahpun dipasang untuk menunjukkan perubahan nama tersebut.
"Majlis universiti bebas untuk membuat pertukaran nama pada bangunan atau papan tandanya," jurucakap universiti Lachlan Parker berkata melalui e-mel kepada BeritaBenar.
"Universiti mahu memberi penghormatan kepada semua graduan Colombo Plan, termasuk dua presiden Singapura, gabenor Sarawak dan ramai lagi pemimpin kerajaan dan juga ahli perniagaan Asia," katanya, merujuk kepada alumni yang telah diterima masuk sebagai pelajar melalui biasiswa Colombo Plan.
Keputusan untuk membuat pertukaran nama itu dibuat selepas kempen dua tahun oleh Bruno Manser Fund (BMF) dan Bob Brown Foundation (BBF) yang memberi tekanan kepada universiti untuk berhenti menghormati Taib, bekas ketua menteri Sarawak yang paling lama berkhidmat, serta didakwa menerima pelbagai manfaat daripada pembalakan haram dan penggondolan hutan hujan tropika di negeri berkenaan, kata BMF dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bruno Manser Fund merupakan sebuah badan bukan kerajaan [NGO ] berpangkalan di Switzerland yang berkempen terhadap pemuliharaan hutan di Sarawak dan BBF adalah sebuah kumpulan pencinta alam sekitar di Australia.
Pada November 2015, pemimpin masyarakat asli Penan dari Sarawak telah menghantar surat kepada Naib Canselor Universiti Adelaide, Warren Bebbington di mana mereka mendesak universiti berkenaan membayar balik semua wang hadiah yang diterima daripada Taib kerana wang itu diperlukan bagi pembangunan luar bandar Sarawak serta pemuliharaan hutan hujannya.
BMF dan BBF juga menggesa universiti itu, untuk membayar balik AU$400,000 (AS$ 305,000) yang diterima daripada Taib, yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Uban.’
Parker berkata, pihak universiti berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Taib lebih daripada satu dekad.
Taib, menerima Ijazah Undang-undang pada tahun 1960 dan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah pada tahun 1994 daripada universiti di selatan Australia itu, telah menjadi penyumbang utama kepada universiti berkenaan, seperti yang tertera di laman web universiti.
Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun, telah dilantik menjadi gabenor negeri itu pada tahun 2014, walaupun berdepan dengan dakwaan rasuah yang kebanyakannya datang dari luar negara.
Pada Mei, media Malaysia melaporkan bahawa sebuah jawatankuasa Senat Australia telah memulakan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram terhadap keluarga Taib ke atas hartanah dan aset bernilai berjuta-juta dolar di Australia, termasuk AU$55 juta yang diberikan kepada Hotel Hilton Adelaide, yang dimiliki oleh keluarga Taib.
Aktivis sosial Sarawak, Peter John Jaban berkata, sudah tiba masanya pihak universiti mengeluarkan nama beliau daripada plaza berkenaan.
Setiausaha Save Rivers Network Mark Bujang berkata keputusan asal universiti itu untuk menamakan plaza Taib Mahmud bagi penghormatan kepada beliau adalah "tidak sesuai" berdasarkan aduan dan dakwaan-dakwaan terhadapnya.
Pejabat Gabenor Sarawak tidak membalas permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen mengenai perkara berkenaan.