Pendidikan wanita diharamkan: Pelarian Afghanistan sangsi lawatan Taliban ke Malaysia

Pertemuan Kementerian Pendidikan dengan delegasi Taliban mungkin beri kesan minimum atau berisiko menghalalkan penindasan, kata pakar.
Iman Muttaqin Yusof
2024.12.26
Kuala Lumpur
Pendidikan wanita diharamkan: Pelarian Afghanistan sangsi lawatan Taliban ke Malaysia Pelarian Afghanistan, Nisa, 19 (bukan nama sebenar) bercakap dengan BenarNews dalam temu bual di Taman KLCC, Kuala Lumpur, 10 Disember 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kedatangan delegasi pentadbiran kerajaan Taliban yang dikatakan ingin mencontohi sekolah perempuan di Malaysia dalam usaha mencapai standard pendidikan antarabangsa pada bulan lalu dipersoal oleh sekumpulan pelarian wanita Afghanistan yang diharamkan daripada meneruskan pengajian di negara asal.

Seorang gadis Afghanistan yang hanya mahu dikenali sebagai Nisa atas faktor keselamatan dan berusia 19 tahun semasa ditemui BenarNews bersama beberapa rakan senegaranya melahirkan rasa sangsi dengan kedatangan delegasi Taliban ke Kuala Lumpur pada November lalu itu.

“Jika Taliban mengambil berat tentang pendidikan, mereka tidak akan menutup sekolah pada awalnya.

“Mereka [Taliban] memberitahu bahawa pendidikan kami [perempuan] ‘bertentangan dengan Islam," kata Nisa [bukan nama sebenar] dengan penuh kekecewaan apabila menceritakan pengalaman semasa berusia 16 tahun ketika pemerintah Taliban melarang remaja perempuan pergi ke sekolah menengah.

Menurut beliau pada awalnya, Taliban mendakwa penutupan sekolah untuk pelajar perempuan merupakan langkah sementara, namum minggu bertukar bulan dan kini bertahun telah berlalu dan larangan itu tetap dikekalkan.

“Semua kawan saya di sana [Afghanistan] sudah hilang harapan. Saya berasa hairan bagaimana aktiviti pembelajaran boleh bercanggah dengan ajaran Islam? Sedangkan Al-Quran sendiri menggalakkan supaya mencari ilmu,” kata Nisa sambil menambah yang kehilangan peluang pendidikan merupakan sesuatu merugikan dan bersifat sangat peribadi kepadanya.

Beliau melarikan diri bersama kakak sulungnya awal tahun dan kini tinggal di sekitar ibunegara Kuala Lumpur serta bekerja 12 jam sehari di sebuah restoran dengan menerima gaji kira-kira RM50 (AS$10) bagi menampung kehidupan harian dan pengajiannya.

"Walaupun keputusan meninggalkan Afghanistan amat sukar dan perit untuk ditanggung kerana terpaksa meninggalkan keluarga serta demi keselamatan diri, saya kini dapat menikmati kebebasan sebenar.

“Di Afghanistan, wanita masih dilarang berjalan-jalan di taman. Kami dilayan seolah-olah tidak wujud,” kata Nisa dengan perasaan penuh kekecewaan,.

Setelah hampir setahun berada di Malaysia, beliau berkata dapat menikmati satu kebebasan apabila berpeluang melawat taman di sekitar Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur sambil menghirup udara segar dengan pemandangan hijau di taman tersebut,

Ini kerana, keseronokan seperti itu tidak wujud buat golongan wanita sepertinya di Kabul.

000_326P8QV.jpg

Pelajar perempuan meninggalkan sekolah mereka berikutan perintah penutupan sekolah menengah perempuan oleh kerajaan Taliban selepas beberapa jam dibuka semula sehingga mencetuskan kekeliruan dan kesedihan kepada pelajar, di Kabul, 23 Mac 2022. [Ahmad Sahel Arman/AFP]

Rejim Taliban yang menguasai semula Afghanistan pada 2021 telah mengenakan sekatan ketat, termasuk larangan pendidikan di peringkat menengah dan universiti bagi pelajar perempuan, demikian menurut banyak kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya berkata Afghanistan kekal sebagai satu-satunya negara di dunia yang melarang pelajar perempuan mendapatkan pendidikan selepas darjah enam hingga menyebabkan kira-kira 1.4 juta kumpulan itu tidak dapat pergi ke sekolah.

Dalam pada itu, kedatangan delegasi Taliban ke Malaysia bulan lepas telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak tetapi Kementerian Pendidikan mempertahankan pertemuan tersebut.

Menterinya Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa lawatan tersebut bertujuan mempamerkan sistem pendidikan Malaysia termasuk dasar inklusif dan integrasi nilai-nilai Islam dengan pendidikan moden.

“Malaysia boleh memilih untuk memutuskan hubungan dengan Afghanistan kerana pendirian Taliban terhadap pendidikan wanita. Sama ada sekolah untuk pelajar perempuan dibuka semula atau tidak, ia mungkin tidak memberi kesan langsung kepada kita dari jauh.

“Namun jika saya dapat meyakinkan mereka [Taliban] bahawa mendidik wanita tidak bertentangan dengan Islam, sebaliknya selaras dengan nilai-nilai agama, ia akan memberi makna besar kepada wanita Afghanistan apabila mereka dapat kembali ke sekolah,” kata beliau dalam kenyataannya itu.

000_334X4XW.jpg

Sekumpulan pelajar perempuan Afghanistan ditahan daripada memasuki perkarangan sebuah universiti swasta selepas pemerintah Taliban mengharamkan pendidikan terhadap Wanita di seluruh negara itu sehingga mencetuskan kecaman daripada Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas satu lagi serangan terhadap hak asasi manusia, di Kabul, 21 Disember 2022. [Wakil Kohsar/AFP]

Legitimasi penindasan terhadap wanita

Namun, pengkritik berpendapat bahawa penglibatan Malaysia itu berisiko melegitimasi dasar penindasan yang diamalkan rejim berkenaan apabila menerima kedatangan delegasi negara itu.

Amanda Louis daripada kumpulan All Women's Action Society (AWAM) berkata kerajaan perlu bersikap telus dan mengutamakan hak wanita dalam interaksinya dengan kerajaan Taliban.

“Penglibatan dengan kerajaan Taliban mungkin dilihat sebagai membolehkan dan melegitimasi sebuah kerajaan yang telah menginstitusikan nilai-nilai patriarki selain menindas hampir separuh daripada populasinya,” kata Amanda kepada BenarNews.

Aktivis hak asasi manusia Ivy Josiah pula berkata penglibatan Malaysia dengan kerajaan Taliban menjadi isu yang sukar.

“Berinteraksi dengan kerajaan Taliban boleh dilihat sebagai mengesahkan layanan misoginis (lelaki yang benci pada wanita) dan pandangan mereka yang salah terhadap wanita,” katanya kepada BenarNews.

“Saya harap kerajaan benar-benar memberikan kritikan membina dan tidak menutup bantahan masyarakat sivil terhadap Taliban.”

Menurut rekod awam, Malaysia tidak mengiktitaf kerajaan Taliban secara rasmi tetapi negara itu berinteraksi dengan wakilnya dalam isu-isu tertentu seperti pendidikan dan perdagangan.

000_326X7CP.jpg

Sekumpulan wanita dan gadis Afghanistan mengambil bahagian dalam protes di hadapan Kementerian Pendidikan menuntut sekolah menengah dibuka semula bagi pelajar perempuan di Kabul, 26 Mac 2022. [Ahmad Sahel Arman/AFP]

“Pintu tidak ditutup”

Sementara itu, Taliban menolak dakwaan pihaknya melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Dalam kenyataan eksklusif kepada BenarNews, Irshadulhaq Sadiqi, seorang pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan Afghanistan mendakwa laporan tentang larangan pendidikan perempuan adalah keterlaluan.

“Kami, kerajaan Afghanistan, tidak pernah menyatakan bahawa pintu ditutup untuk perempuan,” katanya ketika dihubungi BenarNews.

“Perempuan boleh mendapatkan pendidikan bermula dari darjah satu hingga 12 di madrasah (sekolah).”

Apabila ditekan tentang pelanggaran hak wanita termasuk larangan melanjutkan pengajian di universiti, Irshadulhaq menolak dakwaan itu dengan memberikan alasan bahawa ia adalah propaganda Barat dan media.

Semasa lawatan delegasi Taliban ke Malaysia, Irshadulhaq berkata mereka diperkenalkan kepada contoh sekolah perempuan di negara Asia Tenggara itu dan usaha yang dikongsi untuk menampung pelajar perempuan.

Bagaimanapun, Nisa dan pelarian Afghanistan lain yang ditemui BenarNews menolak dakwaan pegawai kerajaan Afghanistan berkenaan.

Beliau mengulangi dan mempersoal dengan berkata “Jika Taliban mengambil berat tentang pendidikan, mengapa mengharamkan pelajar perempuan untuk meneruskan pengajian pada awalnya.”

000_34M89YY.jpg

Sekumpulan pelajar perempuan sekolah rendah Afghanistan pulang ke rumah berhampiran Tasik Shuhada di Kabul, 24 Mac 2024. [Wakil Kohsar/AFP]

Mampukah diplomasi Malaysia mempengaruhi Taliban?

Tindakan Taliban seperti melarang perempuan mendapat pendidikan di sekolah dan keluar bekerja selepas menguasai semula Kabul bertentangan dengan dakwaan bahawa rejim itu sudah mempunyai keterbukaan terhadap amalan progresif, menurut Julia Roknifard, seorang penganalisis dasar luar dan keselamatan di Universiti Nottingham Malaysia.

“Saya tidak fikir lawatan seperti itu dapat membawa perubahan dalam dasar Taliban terhadap wanita,” katanya kepada BenarNews.

“Dalam beberapa hipotesis, kita boleh membayangkan bahawa mereka akan melihat sebuah negara majoriti Muslim yang berjaya meningkatkan peranan wanita dalam semua aspek kehidupan dan mendapat inspirasi meskipun secara realiti, agak sukar untuk melihat perkembangan itu berlaku.”

Bagaimanapun, penganalisis lain percaya strategi penglibatan Malaysia dengan Taliban dalam isu pendidikan dapat memberikan manfaat jangka panjang.

Nabiela Ismail, penganalisis hal ehwal luar badan pemikir Bait Al Amanah berkata pendekatan diplomasi Malaysia berpotensi untuk mempengaruhi Taliban.

“Malaysia mungkin bukan sebuah kuasa besar, tidak memiliki kehebatan diplomatik atau lantang di pentas antarabangsa, tetapi ia menjadi salah satu negara majoriti Muslim yang paling dihormati di dunia Islam,” kata Nabiela kepada BenarNews.

“Meskipun berlaku perubahan kecil, ia akan membawa harapan dan kejayaan yang besar bagi rakyat Afghanistan.”

000_33XH8B4.jpg

Menteri Dalam Negeri Taliban Sirajuddin Haqqani (kanan) bercakap dengan pemangku timbalan perdana menteri pertama Afghanistan Abdul Ghani Baradar (kiri) ketika mereka menghadiri majlis graduasi anggota keselamatan Afghanistan yang baru diambil di akademi polis di Kabul, 5 Oktober 2023. [Wakil Kohsar/AFP]

Seorang lagi pakar, Rowena Abdul Razak, pensyarah sejarah Perang Dingin di Queen Mary University of London percaya lawatan tersebut bukan langkah yang sia-sia.

“Taliban hari ini sangat berbeza daripada Taliban pada 1990-an, mereka tidak terlalu ekstrem dan berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan moden,” kata Rowena kepada BenarNews.

“Kumpulan sederhana dalam Taliban mungkin mendorong untuk mencapai jalan tengah di Afghanistan, walaupun ia mempunyai cabaran. Dalam hal ini, penglibatan [Taliban] dengan Malaysia boleh menghasilkan pengaruh positif.”

Bagaimanapun, bagi Nisa, jalan untuk maju ke hadapan masih kelam dan tidak pasti.

Dia terus mengimpikan tentang masa depan di mana pelajar perempuan Afghanistan dapat meneruskan pendidikan dan menuntut kembali hak mereka.

“Kami tidak minta banyak. Kami hanya mahu diingati dan peluang untuk belajar serta hidup dengan bermaruah.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.