Menteri: Malaysia Ambil Pendirian Berhati-hati Sebelum Iktiraf Pemerintahan Taliban

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-09-01
Share
Menteri: Malaysia Ambil Pendirian Berhati-hati Sebelum Iktiraf Pemerintahan Taliban Sekumpulan lelaki Taliban membuat rondaan di landasan sehari selepas tentara Amerika Syarikat meninggalkan negara itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan, 31 Ogos, 2021.
[Reuters]

Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dalam menyatakan pendirian rasminya mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan yang kini berada dibawah pentadbiran Taliban, kata Menteri Luarnya pada Rabu, sedikit berbeza dengan pendirian parti gabungan – PAS yang secara terangan mengucapkan tahniah kepada Taliban setelah berjaya menakluki kembali Kabul baru-baru ini.

Saifuddin yang baharu dilantik sebagai Menteri Luar Negeri di dalam Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media pertamanya pada Rabu berkata Putrajaya sedang memantau perkembangan terkini di Afghanistan dari pelbagai sumber sebelum boleh menyatakan pendirian kerajaan kerana melibatkan pelbagai faktor dalam hubungan diplomatik.

“Kita mengambil langkah untuk tidak terburu-buru dan sangat berhati-hati dalam hal ini… Kita akan mengumumkan pendirian kita tetapi buat masa sekarang, dan setakat hari ini, kita masih menilai situasi di Afghanistan,” kata Saifuddin semasa ditanya mengenai pengiktirafan ke atas Emiriah Islam Afghanistan yang dibentuk Taliban menggantikan Republik Islam Afghanistan.

Taliban menawan Kabul selepas Kerajaan Afghanistan pimpinan Presiden Mohamad Ashraf Ghani tumbang apabila beliau melarikan diri ke luar negara dan membolehkan pemberontak Taliban merampas ibu negara itu.

Para pejuang Islam memasuki Kabul tanpa tentangan bersenjata selepas Amerika Syarikat (AS) menarik balik pasukan tenteranya yang merupakan sebahagian daripada gabungan antarabangsa yang membantu menyokong kerajaan Afghanistan.

Ditanya tentang pendapatnya sama ada Taliban sudah berubah setelah kehilangan kuasa dalam peperangan Afghanistan yang diterajui AS sejak 2001, Saifuddin berkata ianya tidak sesuai bagi beliau untuk memberikan komen berkaitan kerajaan negara lain.

“Dalam polisi dasar luar negara, kita tidak menghakimi kerajaan negara luar tetapi kita mengikuti secara dekat semua perkara yang berlaku di Kabul terutamanya dan Afghanistan secara keseluruhannya,” kata Saifuddin yang pernah menjadi Menteri Luar semasa Putrajaya ditadbir kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir Mohamad selama 22 bulan sejak Mei 2018.

Menteri itu kemudiannya menyertai gabungan baharu Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin Yassin dan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dengan hanya berkhidmat selama 17 bulan sebelum kembali menjawat semula jawatan Menteri Luar dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Kenyataan bertentangan

Kenyataan berhati-hati Menteri Luar Negara Malaysia berhubung Taliban itu bagaimanapun bertentangan dengan Presiden Parti Islam Se-Malaysia Hadi Awang dan anaknya Muhammad Khalil, Ketua Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS yang dilihat memberi sokongan kepada pemerintahan Taliban.

Abdul Hadi berkata Taliban sekarang sudah berubah dan lebih matang, dan berjaya mencipta sejarah di Afghanistan dengan mengalahkan tentera Amerika Syarikat yang akhirnya terpaksa berundur.

“Media barat dan media tempatan telah bertindak menguar-uarkan aspek negatif Taliban pada peringkat awal kemunculannya.

“Tetapi dalam perkembangan terkini menunjukkan mereka lebih matang dan bijak dalam mengendalikan musuh dan telah mengadakan beberapa rundingan dengan pihak diplomat dari Amerika Syarikat sehingga akhirnya mereka berjaya mengambil semula ibukota Afghanistan, Kabul dengan aman,” kata Abdul Hadi di halaman kolumnis dalam suratkhabar lidah partinya Harakah pada 25 Ogos lalu.

Penulisan yang turut dikongsi di laman media sosial Facebook walaubagaimanapun mengandungi ejaan yang berlainan bagi Taliban, dengan ianya ditulis sebagai ‘T4L1BAN’ dalam usaha untuk mengelak daripada disekat laman media sosial Facebook atas kandungan yang berkaitan dengan kumpulan militan bersenjata itu.

Akaun sosial media milik Muhammad Khalil pula disekat sementara kerana mengucapkan tahniah kepada Taliban kerana ‘membebaskan’ Afghanistan dari cengkaman penjajah pada 18 Ogos lepas, dengan muat naik beliau itu telah menyinggung perasaan ramai dan turut mendapat kecaman dari pengguna laman media sosial.

“Tahniah kepada rakyat Afghanistan dan kerajaan baharu Afghanistan pimpinan Taliban kerana telah berjaya mencapai kemenangan dan kembali memerdekakan tanah air mereka daripada cengkaman penjajahan serta pencerobohan tidak berperikemanusiaan.

“Kemenangan dan ‘kemerdekaan’ yang dicapai kali ini adalah hasil usaha seluruh rakyat Afghanistan dalam usaha untuk membebaskan tanah air mereka yang selama 20 tahun telah dijajah dan diceroboh dengan sewenang-wenangnya tanpa belas ihsan dan perikemanusiaan hingga hampir memusnahkan Afghanistan,” katanya melalui ciapan Twitter dan muatnaik di Facebook.

Taliban beri maklumbalas

Sementara itu, dalam maklumbalas terhadap kenyataan tahniah PAS, Taliban semasa temubual eksklusif dengan laman portal tempatan The Vibes telah mengalu-ngalukan ucapan tahniah itu dan berkata Malaysia tidak seharusnya mempunyai sebarang perasaan was-was berkaitan kerajaan baharu di Afghanistan.

“Kami mahu memberikan jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia yang mereka tidak perlu ada sikap was-was berkaitan Islamic Emirate,” kata jurucakap Taliban Abdul Qahar Balkhi seperti yang dilaporkan The Vibes.

Dalam pada itu Saifuddin dalam sidang media yang sama juga ditanya mengenai dakwaan yang dua rakyat Malaysia antara enam anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) yang ditangkap oleh Taliban pada 28 Ogos lalu seperti dilaporkan oleh akhbar United Kingdom, The Times.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara berkaitan dua rakyat Malaysia yang dikatakan ditahan di Afghanistan dan Polis DiRaja Malaysia masih menunggu maklumat pengesahan berkaitan mereka,” kata Saifuddin.

Selain itu Saifuddin turut mengesahkan bahawa terdapat dua rakyat Malaysia yang menetap di Afghanistan secara sukarela kerana bekerja dengan dua organisasi kemanusiaan antarabangsa.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan di Afghanistan.

“PDRM sudah meminta bantuan dari agensi keselamatan luar untuk mengesahkan lapporan dan dakwaan. Siasatan turut dilakukan keatas laporan tersebut yang berkaitan pejuang DAESH dari Malaysia yang sudah berada di luar negara,” katanya yang menggunakan nama lain bagi IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh