Follow us

PM Malaysia Arah ‘Post-Mortem’ Punca Tewas PRK Tanjung Piai

Staf BeritaBenar
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-18
E-mel
Komen
Share
Penyokong berarak dengan menaiki motosikal sambil membawa bendera Pakatan Harapan di Port Dickson, Malaysia, 13 Okt 2018.
Penyokong berarak dengan menaiki motosikal sambil membawa bendera Pakatan Harapan di Port Dickson, Malaysia, 13 Okt 2018.
[AP]

Perdana Menteri Malaysia pada Isnin berkata parti gabungannya akan meneliti sebab kekalahan besar yang dialami dalam pilihan raya kecil parlimen pada hujung minggu, dengan penganalisis berkata beberapa siri kekalahan sedemikian mungkin petanda bahawa kerajaan pimpinan beliau hanya mampu bertahan selama sepenggal.

Blok pemerintah Pakatan Harapan [PH] menerima kekalahan keempat dalam pilihan raya kecil parlimen pada Sabtu apabila pembangkang memperoleh majoriti besar melebihi 15,000 undi dan merampas kerusi Tanjung Piai di negeri Johor yang terletak di selatan Malaysia. Margin yang besar itu adalah sesuatu yang mengejutkan, kata pemimpin gabungan tersebut.

“Satu post-mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pada pilihan raya kecil ini,” kata Mahathir dalam satu kenyataan sambil mengakui bahawa partinya menjangkakan kekalahan itu namun dengan majoriti hanya kira-kira 2,000 undi.

Wee Jeck Seng, calon Barisan Nasional (BN), muncul sebagai pemenang dalam pertandingan enam penjuru yang dipantau rapat oleh penganalisis.

“Majoriti yang diraih oleh pembangkang adalah sesuatu yang mengejutkan,” kata Anwar Ibrahim, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), rakan kongsi utama Pakatan, dalam satu kenyataan.

“Ia adalah satu mesej yang jelas kepada kepimpinan PH [Pakatan Harapan],” katanya. “Kami perlu belajar dari kekalahan ini dan mengambil perhatian.”

Pilihan raya kecil Tanjung Piai, yang kesembilan diadakan selepas Pakatan mengambil alih kuasa pada Mei 2018, diadakan selepas ahli parlimen Mohamed Farid, yang merupakan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), salah satu komponen gabungan pemerintah, meninggal dunia pada 1 Sept akibat komplikasi jantung.

Kekalahan besar gabungan itu pada pilihan raya kecil tersebut “adalah satu tamparan hebat akibat kekurangan dan janji-janji yang tidak ditepati parti pemerintah baharu,” kata penganalisis politik Munir Majid dalam kolum New Straits Times pada Isnin.

“Tidak bersatu dalam memegang kuasa seperti yang dilakukan pembangkang, [Pakatan] kini menunjukkan semua tanda bahawa ia bakal menjadi kerajaan yang memerintah selama sepenggal,” kata Munir.

Pada Julai,  Merdeka Center, peninjau pendapat awam bebas, berkata rating kelulusan Mahathir meningkat ke tahap tertinggi sejak September, pulih daripada paras terendah pada Mac sehingga mencecah 62 peratus.

Bagaimanapun, menurut Merdeka Center, yang menjalankan survey dari 28 Jun hingga 1 Julai, rating kelulusan bagi gabungan pemerintah telah menjunam kepada 41 peratus, lebih rendah berbanding populariti 64 peratus yang pernah dinikmati Pakatan ketika ia menumbangkan Barisan dalam kemenangan menakjubkan yang membawa Mahathir kembali berkuasa pada Mei 2018.

Sebelum kekalahan Barisan pada pilihan raya umum itu, parti utamanya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), telah mendominasi kerajaan Malaysia selama 61 tahun.

Murray Hunter, dalam ruangan pendapat bagi Asia Sentinel pada Isnin berkata kekalahan gabungan pemerintah itu di Johor “telah meninggalkan lanskap politik Malaysia dalam keadaaan tidak stabil secara keseluruhan.”

Beliau merujuk beberapa isu yang boleh menimbulkan kemarahan pengundi termasuk perbalahan terbuka dalam kalangan pemimpin Pakatan dan keraguan Mahathir untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Mahathir, ketika itu berusia 93 tahun, mengejutkan negara apabila beliau menewaskan pembangkang dan bergabung dengan Anwar, musuh ketatnya yang pernah disumbat ke dalam penjara atas pertuduhan liwat.

Sebelum pilihan raya umum 2018, beliau meraih sokongan padu apabila berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, jika Pakatan memenangi pilihan raya umum pada tahun itu.

“Mesejnya adalah cukup lantang dan jelas kepada Pakatan,” kata Hunter. “Kecuali berlaku perubahan sepenuhnya dalam hala tuju, [Pakatan] bakal berdepan kemusnahan dalam pilihan raya umum akan datang.”

Lihat Laman Penuh