Malaysia perkenal garis panduan penapisan filem lebih ketat, lindungi sensitiviti agama
2024.05.20
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia mengeluarkan garis panduan baharu untuk penapisan filem baharu pada Rabu, bertujuan untuk memastikan filem yang ditayangkan di negara itu tidak mengganggu ketenteraman awam, mempunyai kandungan yang bertentangan ajaran Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan atau memaparkan perspektif sosiobudaya yang dianggap 'taboo' oleh pelbagai kumpulan agama.
Garis panduan itu menerima kritikan daripada golongan pembuat filem kerana dikatakan melanggar prinsip kebebasan bersuara walaupun menteri dalam negeri mendakwa bahawa peraturan itu tidak bertujuan untuk mengusik nilai estetik sesebuah filem.
Pengkritik dari dalam dan luar negara menyatakan bahawa negara itu sudah selalu memotong kandungan wayang gambar dengan sewenang-wenangnya, seperti apa disifatkan seorang pengulas bahawa Malaysia ialah sebuah negara di mana karya filem akan berkubur
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sewaktu mengumumkan peraturan baharu itu berkata Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengambil tindakan menambah baik klasifikasi filem sedia ada berdasarkan beberapa prinsip utama.
“Melindungi kanak-kanak dan remaja daripada terdedah dengan kandungan filem yang tidak sesuai, serta meletakkan peranan untuk membimbing dan memilih filem tontotan kepada para ibu bapa, dan pada masa sama memberikan kebebasan kepada orang dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton mereka.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didapati terdapat peningkatan bagi filem-filem yang memasuki pasaran Malaysia yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan pegangan dan norma kehidupan masyarakat di negara ini seperti LGBTQ, komunisme, Islamophobia, pluralisme, bertentangan dengan akidah umat Islam dan sebagainya.
"Sudah tentunya filem-filem sebegini perlu ditapis dan sekiranya keterlaluan, keputusan untuk tidak meluluskan untuk tayangan boleh diberikan," kata Saifuddin di dalam ucapannya semasa majlis pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) di Putrajaya pada Isnin.
Malaysia merupakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan ia mempunyai sejarah mengenai tindakan mengharamkan atau menapis filem sebelum boleh ditayangkan, terutama sekali filem yang mempunyai unsur LGBTQ, kerana kepercayaan agama yang melihat sesetengah kandungan sebagai tidak bermoral atau berdosa.
Menurut laporan oleh agensi berita Bernama, buku GPPF baharu itu menyatakan bahawa "kandungan filem hendaklah tidak menyemarakkan isu perkauman, ketegangan politik dan kesalahfahaman terhadap agama".
Selain itu, ia juga menyatakan bahawa kandungan filem hendaklah tidak menyentuh gaya hidup liar, tidak berpedoman, songsang dan bertentangan dengan budaya yang boleh merosakkan nilai murni masyarakat.
Garis panduan itu bagaimanapun tidak meliputi bahan yang disebarkan melalui perkhidmatan penstriman seperti Netflix, Disney+, Hulu dan platform atas talian yang lain.
Di dalam ucapan beliau, Saifuddin berkata peraturan baharu itu, yang telah mula berkuat kuasa pada Feb tahun lepas, memperkenalkan beberapa klasifikasi filem baharu untuk tayangan bagi kanak-kanak.
Ia bertujuan untuk menjamin kreativiti dalam berkarya di mana pihak berkuasa akan dapat mengurangkan arahan pengubahan ke atas filem yang diberi klasifikasi lebih tinggi iaitu bagi kategori 16 dan 18 tahun.
"Ia juga meletakkan peranan dan tanggungjawab kepada ibu bapa dalam membimbing anak-anak untuk memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton dan memberikan kebebasan kepada penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton," kata menteri itu.
Sebelum ini, kerajaan hanya mengklasifikasikan filem di bawah Kategori U (tayangan untuk umum), P13 (untuk usia 13 tahun dan ke atas), dan P18 (18 tahun dan ke atas).
Dengan pengenalan GPPF baharu, ia menyaksikan dua lagi kategori ditambah iaitu kategori P12 - untuk semua kategori umur tetapi kanak-kanak 12 tahun dan kebawah perlu dibimbing ibubapa -, dan Kategori P16 (16 tahun dan ke atas).
Menjawab kritikan yang dilemparkan terhadap LPF kerana dikatakan mengamalkan tapisan berlebihan, Saifuddin berkata para pembuat filem tidak sepatutnya melihat lembaga itu sebagai penghalang kreativiti, dan menyatakan bahawa peraturan baru yang diperkenalkan itu merupakan penambahbaikan kepada versi lama.
"Penambahbaikan GPPF baharu yang lebih jelas dan komprehensif ini dijangka berupaya untuk meminimumkan arahan pengubahan agar tidak menjejaskan nilai estetika sesebuah karya filem," kata beliau.
Tambah Saifuddin, garis panduan baharu itu dibuat selepas perbincangan diadakan bersama pemegang taruh dalam industri filem tempatan termasuk ahli akademik serta NGO, dan bukan dibuat sendiri oleh LPF yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.
BenarNews telah cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai garis panduan baharu itu daripada LPF, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
Langkah ke belakang
Edmund Yeo, seorang pengarah filem dan penulis skrip tempatan berkata, beliau tidak mempunyai rasa optimistik terhadap garis panduan baharu tersebut.
"Mengapakah ia dipanggil penambahbaikan? Adakah ia kerana garis panduan ini akan menjadi lebih ketat dan jelas mengenai topik yang langsung tidak boleh dibincang atau dipaparkan pembuat filem dalam karya mereka?," kata beliau kepada BenarNews.
"Dengan larangan yang jelas seperti ini, adakah kita akan dapat mengadakan perbincangan atau memaparkan topik yang menggalakkan wacana atau perbincangan dalam kalangan para penonton, atau mencipta kesedaran terhadap kekurangan negara melalui wayang gambar?"
Ahli akademik Gaik Cheng Khoo pula menyatakan bahawa walaupun menteri dalam negeri memberikan jaminan kepada para pembikin filem mengenai kebebasan mereka untuk berkarya, garis panduan berkenaan masih mampu menyekat kebebasan serta menarik lesen mereka.
"Daripada mengamalkan peraturan autoritarian yang mengalah kepada pemikiran konservatif, kerajaan patut menggunakan undang-undang sedia ada untuk melindungi pembuat filem daripada serangan, seperti apa yang berlaku terhadap Mentega Terbang.
"Saya tidak rasa pembuat filem di Malaysia akan dapat bergerak ke depan selagi garis panduan ini masih wujud... Malah, saya berasa kecewa kerana kerajaan ini masih belum menunjukkan sebarang tindakan progresif dalam melindungi demokrasi, golongan artis dan pembuat filem," kata Gaik, yang merupakan profesor madya bidang perfileman di Universiti Nottingham Malaysia, kepada BenarNews.
Sebelum ini, Malaysia menjadi perhatian dunia selepas ia mengambil tindakan mendakwa pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang, menjadikan mereka pembuat filem pertama di Malaysia yang dituduh dengan dakwaan jenayah.
Filem itu, yang berkisar mengenai kisah seorang gadis beragama Islam cuba meneroka kepercayaan agama lain, telah diharamkan di Malaysia.
Filem Malaysia bertajuk "Tiger Stripes" yang diberikan penghormatan di Cannes turuh menghadapi isu penapisan berlebihan di Malaysia, dengan pengarahnya Amanda Nell Eu mengkritik versi yang telah ditapis untuk tayangan tempatan sebagai sesuatu yang tidak menggambarkan karya asal dihasilkannya.
Pada tahun 2022, filem Lightyear keluaran Disney telah diharamkan di Malaysia kerana memaparkan karakter homoseksual.
Tahun lepas, seorang pengkritik filem menyifatkan Malaysia sebagai sebuah "kuburan wayang" disebabkan tapisan filem yang dilakukan oleh pihak berkuasa.