Follow us

Pengganas Malaysia Tidak Kesal Dengan Masa Lampaunya

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Johor, Malaysia
2019-02-07
E-mel
Komen
Share
Taufik Abdul Halim menjawab pertanyaan semasa ditemu bual di Johor, Malaysia, 27 Jan, 2019.
Taufik Abdul Halim menjawab pertanyaan semasa ditemu bual di Johor, Malaysia, 27 Jan, 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Pihak berkuasa menggambarkannya sebagai pakar bom - dan dia mengakui melakukan pengeboman pertama oleh pengganas asing di Indonesia.

Taufik Abdul Halim tidak menunjukkan rasa kesal ketika mengimbau semula bagaimana dia cuba melancarkan bom di sebuah pusat beli belah, Atrium Plaza, di Jakarta kira-kira 18 tahun lalu.

Namun, bom itu yang disembunyikan di dalam sebuah kotak Dunkin’ Donuts, meletup lebih awal. Ia menghancurkan sebahagian daripada kaki kanan Taufik manakala serpihan yang berterbangan telah mencederakan enam orang lagi.

"Saya tidak kesal dengan apa yang berlaku," kata Taufik kepada BeritaBenar semasa ditemu bual selama dua jam baru-baru ini.

Dalam temu bual itu, dia bercakap tentang masa lampau, kesengsaraan yang harus ditempuhi oleh seorang daripada dua anak perempuannya sebagai anak pengganas yang disabit kesalahan dan apa yang menyebabkan dia sanggup melancarkan serangan di negara asing.

"Dalam Islam, memang kita dilarang mengapa-apakan wanita, anak kecil dan semua itu, tetapi apabila kami melakukan serangan dan mereka terbunuh, apa yang boleh kami buat? Bukan itu yang kami mahukan tetapi sudah terkena,"katanya. "Mereka terjejas dengan serangan kami bukan kerana kami sengaja mahu melakukannya."

Taufik, yang pulang ke Malaysia pada 2014 selepas menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Indonesia, mendakwa dia tidak pernah berpeluang menghasilkan bom.

'Ia sememangnya keputusan saya’

Darah militan turut mengalir dalam tubuh beberapa saudara mara Taufik: abang iparnya Zulkifli bin Hir (alias ‘Marwan’) terbunuh pada 2015 dalam satu serbuan di selatan Filipina sehingga menyebabkan kematian 44 polis komando.

Marwan disyaki mengetuai kumpulan pengganas, Kumpulan Mujahidin Malaysia, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 2007 ketika ia menawarkan ganjaran AS$5 juta untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya. Washington menuduh Marwan terlibat dalam beberapa serangan bom di Filipina.

Adik Marwan, Rahmat Abdhir, pula dipenjarakan di Amerika Syarikat pada 2008 kerana membiayai kegiatan keganasan, menurut laporan berita. Sepupu Marwan, Mohamad Nazir Lep, ahli kumpulan militan, Jemaah Islamiyah dan al-Qaeda, juga merupakan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang masih ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo.

Tetapi Taufik, 43, berkata dia tidak pernah dipengaruhi oleh Marwan, berbeza dengan dakwaan polis Indonesia.

"Ia sememangnya keputusan saya sejak awal lagi. Mereka buat hal mereka, saya buat hal saya,"katanya.

"Seperti ketika saya mahu pergi ke Maluku, saya beritahu dia (Marwan) saya mahu pergi. Dia tidak minta saya pergi ke sana. Ia tidak ada kena mengena dengannya atau orang lain. Dia tahu saya akan pergi tetapi adik beradik atau ibu bapa saya tidak tahu yang saya mahu ke sana," kata Taufik, yang merujuk kepada wilayah Indonesia itu.

Pihak berkuasa Indonesia berkata Taufik telah meletakkan bom itu di dalam sebuah kotak donat, dan membawanya ke pusat beli belah Atrium apabila ia meletup sebelum masa yang ditetapkan.

Bom itu sepatutnya diletupkan di dalam sebuah gereja di kawasan pusat beli belah itu, kata Taufik, semasa dia memberikan maklumat terperinci tentang pengeboman itu, yang tidak dilaporkan sebelum ini.

"Terdapat beberapa orang dalam kumpulan kami," katanya. "Misi awal kami bukanlah melancarkan serangan (di pusat beli belah itu) tetapi untuk membunuh beberapa orang yang menjadi pemimpin dan ejen provokasi dalam konflik antara puak di Maluku."

Taufik merujuk kepada pertempuran maut yang berlaku antara orang Islam dan Kristian di wilayah Indonesia itu, termasuk di beberapa daerah dalam ibu kota Ambon pada akhir 1990-an.

Menurutnya maklumat tentang sasaran awal pengeboman itu telah dihebahkan "jadi, kami terpaksa melakukan sesuatu, dan rancangan itu perlu diubah." Ahli kumpulannya perlu menghantar bom di tiga tempat sasaran termasuk sebuah gereja, katanya, tetapi ahli yang ditugaskan membawa bom itu kemudiannya ketakutan.

"Oleh itu, saya memutuskan untuk membawa bom itu sendiri," katanya. "Tetapi, ia meletup sebelum sempat tiba di tempat sasaran.”

"Kalau ikutkan saya, memang saya mahu larikan diri, tetapi saya sedar, kaki saya sudah tak ada," katanya.

190207-MY-Inside-Taufik-Leg-620.jpg

Taufik Abdul Halim memakai kaki palsu semasa ditemu bual BeritaBenar di Johor, Malaysia, 27 Jan, 2019. [Hadi Azmi/BeritaBenar]

Akibat kecederaannya yang serius, Taufik dirawat di hospital di bawah pengawasan yang ketat. Tiga bulan kemudian, pihak berkuasa mendakwanya dengan pertuduhan berhubung letupan itu dan beberapa serangan keganasan lain.

Taufik pada mulanya dijatuhi hukuman mati, tetapi kemudiannya diubah kepada penjara selama 20 tahun selepas peguamnya mengemukakan rayuan.

Taufik diawasi oleh pihak polis sejak dia dihantar pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman di negara jiran itu. Lima pegawai polis turut hadir ketika BeritaBenar menemubualnya di satu tempat yang dipilih dan disediakan oleh pihak polis.

Seramai 50 pengganas yang disabitkan kesalahan dan bersimpati dengan Negara Islam (IS) sedang diawasi polis Malaysia di seluruh negara sejak 2013, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, pengarah cawangan khas anti-kegganasan Polis DiRaja Malaysia.

"Pasukan kami sentiasa memantau Taufik untuk memastikan dia tidak kembali kepada kegiatan lamanya," kata Ayob kepada BeritaBenar sambil memberitahu bahawa polis Malaysia tidak mempunyai alasan untuk menangkap Taufik kerana dia tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah di negara kelahirannya.

Kehidupan selepas dipenjarakan


Selepas pembebasannya dari penjara pada 2014, Taufik kembali ke Malaysia dan memulakan kehidupan baru bersama-sama isterinya yang berasal dari Indonesia, yang dikahwininya ketika dipenjarakan. Dia dipercayai bekerja sebagai petani dan menjalani kehidupan dengan dua anak perempuan mereka.

Taufik adalah seorang lelaki yang bebas yang boleh melawat saudara maranya pada bila-bila masa. Tetapi, dia merungut tentang  kebebasan.

"Orang melihat kehidupan di penjara sebagai sukar, tetapi sebenarnya, hidup bebas adalah lebih sukar," katanya. "Sukarnya melalui kehidupan hari demi hari. Kini, apa yang saya fikirkan adalah tentang ibu bapa, anak-anak, isteri dan adik-beradik saya. "

Taufik, yang memakai kemeja berkolar ungu yang longgar dan kain pelikat ketika temu bual itu, berkata tidak ada seorang pun yang  bertanya tentang masa lampaunya walaupun dia sedar bahawa jiran-jiran sekampungnya tahu tentang sejarah dirinya.

"Semasa di masjid, beberapa kanak-kanak sering bertanya tentang apa yang berlaku kepada kaki saya dan bertanya sama ada ia putus akibat letupan,"kata Taufik yang berjanggut. "Jadi, dari situlah saya tahu bahawa mereka tidak mungkin tahu tentang  maklumat ini jika ia tidak diberitahu kepada mereka."

Sepanjang temu bual itu, dia menjawab soalan-soalan yang ditanya kepadanya dalam nada perlahan dan hampir tidak didengar; letupan bom pada 2001 itu nampaknya menjejaskan pendengarannya.

Dia memakai kaki palsu tetapi berjalan dengan penuh yakin semasa berjalan masuk dan keluar dari bilik temu bual itu.

Taufik berkata walaupun dia boleh berdepan dengan tanggapan orang ramai tentang dirinya dan masa lampaunya, namun, ia secara tidak langsung telah menjejaskan anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

"Suatu hari, dia pulang ke rumah sambil menangis. Dia kena ejek. Ada orang cerita pasal saya. Katanya saya itu adalah bekas banduan,"kata Taufik. "Saya memberitahunya tidak semestinya orang yang keluar penjara itu semuanya jahat."

Semasa menjawab soalan-soalan yang diutarakan kepadanya, Taufik tetap tenang. Dia tidak menyangkal apa yang telah dilakukannya malah menceritakan tentang masa remaja ketika beliau tinggal di wilayah Kashmir yang dilanda pergolakan, dan bagaimana dia akhirnya menjalani latihan pada 1994 di kem Lashkar-e-Taiba (LeT), iaitu kumpulan militan yang disokong oleh Pakistan.

Para militan melatihnya menggunakan senapang, katanya, selain dia juga dilatih di sebuah kem yang dikuasai oleh al-Qaeda di Afghanistan. Tetapi, dia menolak dakwaan pihak berkuasa bahawa dia adalah pakar bom.

"Saya tahu bahagian-bahagian bom itu dan saya tahu apa yang boleh digunakan untuk membuat bom, tetapi saya tidak pernah membuatnya," kata Taufik.

Malah, bom yang meletup di Jakarta pada 2001 juga bukan dihasilkannya. "Satu lagi kumpulan yang memasangnya dan kami hanya memastikan ia dihantar ke lokasi yang ditetapkan," katanya.

Tetapi, dia memberitahu dia boleh menerima akibat daripada hubungannya dengan pihak militan.

Semasa ditanya, jika diberi peluang, apakah dia akan mengubah apa-apa tentang masa lampaunya, Taufik melontarkan pandangan yang serius dan berkata:

"Kalau, kalau, kalau…," katanya. "Itukan berkhayal."

"Apa yang saya ada sekarang, itu yang saya perlu buat, itu sahaja.. Saya berada di bumi yang nyata,"katanya. "Sekarang ini saya berada kampung dengan kaki ada sebelah, jadi saya buat apa yang saya perlu buat, apa sahaja yang saya mampu buat."



Nani Yusof turut menyumbang kepada laporan ini dari Washington.

Lihat Laman Penuh