Bekas Pengarah Urusan Tekun Didakwa Rasuah

Hata Wahari
2017.01.09
Kuala Lumpur
170109-my-tekun-620.jpg Seorang pelanggan sedang mengira wang kertas ringgit Malaysia yang baru diambil daripada kaunter pengurup wang di Kuala Lumpur, 22 Julai 2005.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin mendakwa seorang bekas pengarah urusan sebuah agensi kerajaan, yang memberikan kemudahan kepada golongan bumiputera, kerana menerima rasuah berjumlah RM36,000 [AS 8,050] pada 2015.

Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (CEO) Tekun Nasional, Abdul Rahim Hassan didakwa dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pengutip hutang yang sah, Pasadana Sdn. Bhd., di Mahkamah Seksyen Shah Alam

Bagi pertuduhan pertama, suspek didakwa telah meminta suapan bernilai RM36,000, iaitu 10 peratus daripada hasil kutipan 'Hutang Lapuk TEKUN Nasional' bagi November 2014 bernilai RM360,009.08 daripada pemilik syarikat itu pada 13 Januari 2015 melalui sistem pesanan ringkas, menurut kenyataan SPRM.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Rahim didakwa menerima suapan tersebut daripada pemilik syarikat berkenaan di lobi Kelab Shah Alam Selangor  pada 15 Januari 2015

Pertuduhan terhadap Abdul Rahim dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Hakim Asmadi Hussain membenarkan Abdul Rahim diikat jamin RM18,000 [AS4,020] dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan manakala mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai sebagai syarat jaminan.

Mahkamah turut menetapkan 8 Februari depan bagi pengurusan kes dengan memberi tempoh perbicaraan kes selama lima hari bermula 13 Mac depan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Adhha Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Hasnal Rezua (check spelling) Merican.

Kes kali ini bukan yang pertama membabitkan Abdul Rahim kerana pada 27 November 2015, beliau pernah didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM200,000 [AS44,670]  untuk meluluskan dua permohonan pinjaman daripada syarikat menantu dan anak saudaranya. Namun, pertuduhan itu ditarik balik semasa perbicaraan kes.

Agensi pembiayaan mudah untuk bumiputera

TEKUN Nasional merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bermatlamat untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.

Ketua Persuruhjaya SPRM, Dzulkefli  Ahmad dalam satu muat naik status di akaun Facebook rasminya  pada Khamis menegaskan badan itu akan melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap setiap individu yang terlibat dalam rasuah mulai minggu ini.

“Kedua-dua tindakan itu bukan sahaja akan melibatkan penjawat awam, tetapi juga individu lain termasuk mereka yang berada dalam syarikat milik kerajaan (GLC),” katanya.

Tangkap “jerung besar”


Sementara itu, Timbalan  Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi  memberitahu tindakan SPRM menahan dan mendakwa ramai pegawai dan bekas pegawai tinggi kerajaan membuktikan bahawa  bukan hanya pelaku rasuah kecil-kecilan yang ditahan tetapi 'jerung besar' juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Penangkapan ‘jerung’ ini perlu diteruskan dan bukannya langkah bermusim atau sementara tetapi harus dijalankan setiap masa dan kejayaan SPRM menahan jerung ini merupakan usaha untuk memberikan imej yang baik kepada negara kerana indeks amalan rasuah negara agak tinggi dalam senarai seperti yang dikeluarkan oleh badan-badan antarabangsa,” beliau berkata di dalam laman Facebooknya.

Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula mengingatkan kakitangan awam supaya tidak mengambil hak rakyat dan mengelakkan berlaku ketirisan supaya rakyat tidak hilang kepercayaan kepada kerajaan.

"Penyampaian adalah fokus kita bagi tahun ini, semua penjawat awam perlu mainkan peranan, jaga projek, keselamatan...jaga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jaga banjir.

"Begitu juga mengenai ketirisan, jangan ambil hak rakyat, kerana semua program dan bajet adalah untuk rakyat. Kalau berlaku ketirisan, rakyat akan hampa dan hilang keyakinan," katanya seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan Berita Harian pada Isnin.

Wall Street Journal dalan laporannya Jun lepas berkata, SPRM telah meminta Peguam Negara memfailkan tuduhan jenayah terhadap Perdana Menteri Malaysia itu, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan syarikat negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana negara yang sarat hutang itu telah dikaitkan dengan skandal itu sejak Wall Street Journal mendedahkan dalam laporannya pada Julai dua tahun lepas bahawa beratus-ratus juta dolar milik 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Namun, Najib menafikan perkara itu dan menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.

Minggu lepas juga, agensi pencegahan rasuah Malaysia SPRM menahan seorang ketua setiausaha [KSU] sebuah kementerian selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk menerima rasuah.

KSU berusia  59 tahun yang bergelar ‘Datuk’ itu ditahan bersama dua anak lelakinya yang berusia 29 dan 34 tahun. Agensi tersebut juga merampas wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta dari rumah KSU terlibat.

Akhbar The Star pada Rabu telah menamakan KSU berkenaan sebagai Mohd Arif Ab Rahman dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selepas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki mengesahkannya kepada akhbar berkenaan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.