Tenaganita Mahu Kerajaan Tegas Tangani Pemerdagangan Manusia

Hata Wahari & Haireez Azeem Azizi
2016.07.07
160707-my-tenaganita-620 Seorang anggota Polis DiRaja Malaysia bersenjata sedang mengawal di kem transit haram yang ditinggalkan sindiket menyeludupan manusia di dalam hutan di Bukit Wang Burma di negeri utara Malaysia, Perlis, yang bersempadan dengan Thailand, 26 Mei 2015.
AFP

Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan yang menyokong hak asasi manusia dan pekerja asing, mendesak  kerajaan Malaysia membuat perubahan dasar yang lebih serius terhadap jenayah pemerdagangan manusia, serta peka terhadap peningkatan kejadian ‘menghambakan’ pekerja asing di negara itu.

Pengarah Tenaganita Glorene Das berkata, perubahan dasar serius perlu kerana tiada siapa yang mahu menjadi mangsa pemerdagangan manusia, mangsa keganasan, serta diabaikan masyarakat.

“Jenayah pemerdagangan manusia adalah masalah utama di negara ini, kerana Malaysia tidak mempunyai sistem yang baik dalam melindungi pendatang, pelarian dan mereka yang dimanipulasi atau didera,” katanya kepada BeritaBenar semasa ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, kebimbangan ketara terhadap penyeludupan manusia yang berlaku di sempadan Malaysia – Thailand timbul kerana masih tiada sebarang tindakan konkrit yang diambil oleh kedua-dua negara yang terlibat.

Katanya, penemuan ratusan kubur-kubur mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis, pada Mei tahun lepas, menunjukkan bagaimana sindiket itu berterusan dengan rasuah yang berleluasa di kalangan pegawai penguatkuasa yang bersekongkong dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Bulan lepas, sebuah mahkamah Malaysia telah memenjarakan seorang lelaki Bangladesh selama 10 tahun selepas beliau mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menyeludup dan memperdagangkan manusia di kawasan pertemuan 106 kubur haram dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Wang Kelian itu.

“Tiada siapa yang mahu menjadi mangsa pemerdagangan manusia, pendatang tanpa izin…. dilayan seperti sampah dan hamba, tambahan pula tidak mendapat perlindungan hak asasi manusia, ” tambah Glorene.

NGO yang ditubuhkan pada Julai 1991 berkata, sepanjang tempoh itu, Tenaganita telah berjaya membongkar pelbagai kes hak asasi manusia, melibatkan pekerja asing tanpa izin, sindiket pemerdagangan manusia, dan orang pelarian yang telah memberi impak kepada dasar kerajaan untuk memberi keadilan dan melindungi hak mereka.

Pengalaman Tenaganita menyelamatkan seorang anak lelaki muda berusia 17 tahun, Rohim (bukan nama sebenar), yang datang daripada keluarga miskin dari Bangladesh pada usia 15 tahun membuktikan bahawa sindekit pemerdagangan manusia turut melibatkan kes seksual.

Katanya, persepsi umum bahawa perdagangan seks hanya melibatkan gadis dan wanita adalah salah kerana kes Rohim, membuktikan bahawa lelaki muda turut menjadi mangsa sindiket berkenaan.

“Rohim bersama sepupunya telah menaiki bot dari negaranya untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara pada 2014. Anak muda itu akhirnya jatuh ke tangan pengedar kejam yang menganggapnya sebagai komoditi dengan niat untuk menjual bahagian-bahagian badannya di pasaran gelap.

“Anak muda itu sebaliknya berjaya keluar melarikan diri daripada pengedar komoditi tersebut, tetapi malangnya, jatuh ke tangan perhambaan moden iaitu sindiket perdagangan seks untuk beberapa bulan,’’ kata beliau.

Rohim berada di dalam keadaan yang sangat tertekan serta berhadapan dengan kesukaran untuk menjalani program permulihan, setelah Tenaganita berjaya menyelamatkannya,  disebabkan penempatan ‘rumah selamat’ untuk lelaki terlalu sedikit malah beliau ditempatkan di pusat tahanan pendatang yang tidak menyediakan rawatan pemulihan.

Rohim dihantar pulang dan kini berada di kampung halamannya di Bangladesh, menurut pertubuhan itu.

Minggu lalu, Amerika Syarikat mengeluarkan Laporan Pemerdagangan Manusia [TIP] 2016 dengan Jabatan Negara itu meletakkan Malaysia pada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian, setahun selepas ia terjebak dalam kontroversi dengan negara Asia Tenggara itu apabila ia menaikkan kedudukannya ke tahap itu daripada tahap paling rendah, Tahap 3.

Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minima untuk membanteras pemerdagangan manusia; bagaimanapun, ia sedang melaksanakan usaha-usaha penting untuk menangani masalah tersebut, "kata Pejabat bagi Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia jabatan itu dalam laporan tahunannya mengenai keadaan pemerdagangan manusia di seluruh dunia.

Sebahagian besar daripada negara itu menjadi destinasi bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak dari negara-negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara, dengan sesetengah daripada mereka berakhir sebagai buruh paksa atau terpaksa membanting tulang di ladang kelapa sawit dan tapak pembinaan, atau sebagai pembantu rumah di rumah-rumah rakyatnya, menurut Laporan itu. Antara warga asing yang diperdagangkan itu, terdapat wanita dan sebilangan kecil kanak-kanak yang diperdagangkan untuk seks.

Kebanyakan mereka yang diperdagangkan di Malaysia adalah dalam kalangan kira-kira 2 juta pendatang tanpa izin yang terdapat di negara itu, kata Laporan berkenaan.

"Malaysia memulakan sedikit siasatan dan pendakwaan pemerdagangan manusia berbanding tahun lepas, tetapi meningkatkan sabitan daripada tiga kepada tujuh. Hukuman untuk penyeludup yang disabitkan adalah berbeza-beza, tetapi ada di antaranya yang tidak cukup ketat,"kata laporan itu, sambil menambah, antara cadangan lain ialah Malaysia perlu meningkatkan bilangan kes pendakwaan dan menghukum mereka yang terlibat dalam sindiket memperdagangkan manusia, "termasuklah pegawai yang bersubahat. "

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamid yang juga Menteri Dalam Negeri semasa mengulas mengenai laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara itu berkata, pindaan  Akta Anti – Pemerdagangan Orang dan Anti – Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) akan memberikan ruang fleksibiliti kepada Malaysia untuk memperbaiki inisiatif di dalam menangani isu pemerdagangan orang.

“Penambahbaikan aspek kebajikan di mana mangsa akan diberikan kebenaran untuk bergerak bebas dan bekerja sekiranya layak selain memberi kuasa kepada Mahkamah Sesyen dalam mengeluarkan arahan pembayaran pampasan serta gaji tertunggak kepada mangsa, yang juga pekerja tanpa izin” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya.

Beliau turut memberi jaminan yang kerajaan akan meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan terutamanya di dalam aspek perlindungan mangsa kerana peranan pertubuhan tersebut dinyatakan secara jelas di dalam pindaan ATIPSOM 2007.

Ahmad Zahid berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara – negara rakan strategik termasuk Amerika Syarikat dalam memperbaiki aspek pendakwaan untuk meningkatkan jumlah sabitan bagi jenayah akan datang.

Ahmad Zahid optimis Malaysia akan memperbaiki kedudukan pada laporan TIP 2017 dengan memberi perhatian kepada aspek membenarkan mangsa – mangsa pemerdagangan  bergerak bebas atau tinggal di luar daripada Rumah - rumah Perlindungan Kerajaan termasuk membenarkan mereka bekerja di negara ini.

Dalam pada itu, Washington Post dalam mengulas mengenai laporan TIP 2016 mengenai Malaysia berkata, walaupun sistem perlindungan mangsa akan diperbaharui, pekerja asing terus menderita di ladang-ladang kelapa sawit dan di kilang-kilang elektronik.

“Walaupun dakwaan terhadap kes pemerdagangan manusia meningkat, tetapi tiada siapa  telah dipertanggungjawabkan dan dibawa ke muka pengadilan terhadap pertemuan kubur-kubur haram di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand.

“Malaysia tidak layak untuk berada di tangga Ke-2 tahun lepas, dan ia tidak berhak untuk ditingkatkan kedudukannya serta menerima hadiah bagi sesuatu yang bukan haknya,” kata akhbar itu dalam laporannya pada Isnin lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.