Follow us

Malaysia Tumpas Cubaan Seludup Enam Tan Sisik Tenggiling Bernilai RM78 Juta

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-04-01
E-mel
Komen
Share
Pegawai-pegawai Operasi Jabatan Kastam DiRaja Malaysia  Zon Tengah menunjukkan sebahagian daripada enam tan sisik tenggiling yang dirampas di Pelabuhan Klang, Selangor, 1 April, 2020.
Pegawai-pegawai Operasi Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Zon Tengah menunjukkan sebahagian daripada enam tan sisik tenggiling yang dirampas di Pelabuhan Klang, Selangor, 1 April, 2020.
[Ihsan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia]

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia pada Rabu mengumumkan mengenai rampasan penyeludupan lebih enam tan sisik tenggiling bernilai kira-kira AS$18 juta, terbesar di negara itu, yang disembunyikan di dalam kontena berisi kacang gajus di Pelabuhan Klang, Selangor.

Jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ibupejabatnya di Putrajaya berkata sepasukan anggota bahagian penguatkuasaan Kastam Zon Tengah telah memeriksa sebuah kontena bersaiz enam meter di pelabuhan tersebut dengan semakan K4 atau deklarasi import yang diikrar mengandungi kacang gajus.

“Sebaliknya sisik tenggiling terbabit disembunyi di sebalik guni-guni yang berisi kacang gajus bagi mengelak dikesan Jabatan Kastam,

"Kesemua dagangan larangan yang ditemui yang dianggarkan seberat lebih enam tan itu membabitkan nilai kira-kira RM$78 juta dan pengimport serta ejen kastam yang terbabit dalam kes ini juga sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," kata Jabatan Kastan DiRaja Malaysia dalam kenyataan itu.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda minima 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) (AS$23,000) sehingga tidak maksimum 20 ganda nilai suapan atau RM500,000(AS$115,000) atau penjara minima enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, seorang pegawai operasi jabatan berkenaan yang bertugas di Selangor memberitahu BeritaBenar kejayaan rampasan itu adalah hasil risikan dan maklumat orang awam yang menyatakan kontena itu mengandungi barang terlarang.

"Pada mulanya kami menyangka ia adalah barang terlarang seperti arak atau rokok tetapi rupanya ia adalah sisik tenggiling, kontena itu baru dibawa masuk ke Pelabuhan Klang pada Selasa dan kami sempat merampasnya hasil maklumat yang tepat," kata pegawai tersebut tanpa mahu namanya boleh disiarkan.

Beliau berkataa, sisik tenggiling itu dipercayai bukan untuk pasaran tempatan sebaliknya untuk pasaran negara jiran di rantau Asia Tenggara, dengan Malaysia hanya digunakan sebagai transit.

Tenggiling merupakan haiwan yang paling mendapat permintaan di dunia. Sisik dan dagingnya boleh dijual dengan harga yang tinggi kepada mereka yang percayakan khasiat memakan daging tenggiling dan penggunaan sisiknya untuk mengubati penyakit.

"Meskipun tidak terbukti secara sah mengenai kebaikan sisik ini, ia biasanya akan digunakan untuk ubat-ubatan tradisional untuk melancarkan darah, merangsang pengeluaran susu ibu dan mengurangkan bengkak,” kata Elizabeth John, jurucakap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai TRAFFIC Asia Tenggara, yang memperjuangkan isu penyeludupan hidupan liar memberitahu BeritaBenar.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia memainkan peranan penting sebagai pusat transit untuk sisik tenggiling dari Afrika sebelum dihantar ke negara lain di Asia.

Elizabeth juga memberitahu Malaysia adalah sumber untuk tenggiling Sunda bagi pasaran haram haiwan liar.

"Ada lapan spesies tenggiling di seluruh dunia iaitu empat di Afrika dan empat di Asia tetapi semua spesies haiwan terlindung itu disasarkan penyeludup untuk daging dan sisiknya,” tambah beliau.

Katanya rampasan berkenaan menunjukkan kerajaan Malaysia masih memberikan perhatian kepada penyeludupan dan tangkapan kes seperti itu walaupun negara sekarang bergelut dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata walaupun dunia sekarang berdepan dengan krisis kesihatan, penyeludup haiwan liar terus berusaha mencari jalan memastikan ‘dagangan’ mereka sampai ke destinasi seterusnya.

"Penyeludup haiwan liar sentiasa mencari cara dan strategik untuk mengelak dari dikesan termasuk dalam kes ini, dengan membuat pengisytiharan penghantaran palsu.  Mereka juga sentiasa menukar laluan dan mod pengangkutan," kata Elizabeth kepada BeritaBenar.

Tambah Elizabeth, berdasarkan kajian TRAFFIC mengenai penyeludupan berkaitan tenggiling daripada 2010 hingga 2015, mereka menemui laluan perdagangan antarabangsa yang unik digunakan penyeludup.

"Secara purata, 27 laluan baru diperkenalkan sindiket setiap tahun untuk menyeludup haiwan terlindung ini.

"Namun tindakan pantas dan cekap pihak berkuasa terutama di Malaysia, banyak rampasan dilakukan dan pada tahun 2017, iaitu sebanyak 18 tan sisik tenggiling Afrika dirampas termasuk rampasan sebanyak lapan tan di Pelabuhan Sepanggar, Sabah," katanya.

Pada tahun itu, Jabatan Kastam DiRaja Sabah merampas kira-kira 8,000 kilogram sisik tenggiling dianggar bernilai lebih RM100 juta (AS$23 juta) yang cuba diseludup keluar melalui Pelabuhan Sepanggar, menurut laporan akhbar tempatan Berita Harian.  Rampasan tersebut merupakan rampasan terbesar sisik tenggiling di Malaysia setakat ini.

Sisik tenggiling itu dipercayai cuba diseludup ke China menggunakan 226 karung guni yang diletak dalam dua kotena diikrar sebagai cengkerang haiwan.

Harian Metro sebuah lagi akbar tempatan Malaysia melaporkan yang tenggiling diburu dan dibunuh saban tahun bagi memenuhi permintaan pasaran gelap di Vietnam dan China malah kenaikan mendadak harga sisik haiwan ini yang mencecah AS$3,000 sekilogram berbanding AS$500 menyebabkan mamalia dilindungi itu turut diseludup dari Afrika selain Asia Tenggara bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Lihat Laman Penuh