Mukhriz Saman Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

S. Adie Zul
2016.05.03
Kuala Lumpur
160504-my-mukhriz-saman620 Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tersenyum semasa mendengar soalan daripada wartawan manakala anaknya, Mukhriz Mahathir turut mengikuti persidangan media itu, di Putrajaya, 8 Januari 2007.
AFP

Mukhriz Mahathir telah menfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad atas dakwaan membuat beberapa kenyataan berunsur fitnah terhadap bekas menteri besar Kedah itu, kata peguam beliau kepada BeritaBenar pada Selasa.

Peguam Haniff Khatri memberitahu bahawa saman tersebut telah difailkan di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, susulan beberapa siri kenyataan media oleh Tengku Sarifuddin yang secara keseluruhan memberi gambaran negatif terhadap anak guamnya.

"Saman telahpun difailkan dan kita akan menyerahkan writ saman kepada pihak defendan untuk tindakan lanjut sebaik sahaja mendapat dokumen berkaitan daripada  pihak mahkamah," kata Haniff ketika dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Saman itu difailkan kira-kira seminggu selepas Mukhriz memberi kata dua kepada setiausaha akhbar berkenaan untuk menarik balik kenyataan beliau, yang antara lain mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Najib Razak, bagi membuka laluan untuk menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.

Menurut penyataan tuntutan saman itu, kenyataan media yang dibuat oleh pihak defendan secara keselurahannya telah memberi gambaran  bahawa kononnya bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin telah berkomplot dalam satu kempen jahat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah, dengan Mukhriz terlibat untuk menjatuhkan Najib.

Saman itu menyebut Tengku Sariffuddin, dalam beberapa kenyataan yang disiarkan antara 15 April dan 26 April di laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri sebagai mendakwa, bahawa komplot itu seterusnya akan memberi laluan kepada Muhyiddin untuk menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri sebelum diserahkan kepada Mukhriz.

Selain itu, kenyataan Tengku Sariffuddin juga menggambarkan plaintif sebagai seorang ahli politik yang gila kuasa dan akan berbuat apa saja demi cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri; malah sanggup melakukan penipuan dan perkara bercanggah dengan sistem demokrasi, dan mengamalkan politik kotor di bawah telunjuk bapanya, Mahathir.

Dakwaan berbaur fitnah


Mukhriz, anak bongsu bekas perdana menteri dalam satu kenyataan media pada Selasa berkata, tuntutan saman itu menuntut gantirugi am, gantirugi teladan serta gantirugi berterusan daripada Tengku Sarifuddin yang membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal serta menfitnah beliau, bapanya dan Muhyiddin.

“Saya juga dengan sekeras-kerasnya menyangkal kesemua dakwaan. Tidak pernah berlaku sebarang konspirasi di antara mana-mana pihak, dengan saya (dikatakan berusaha untuk) menjatuhkan Dato' Seri Najib bagi tujuan menaikkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dengan syarat Tan Sri membimbing saya untuk mengganti beliau di jawatan tersebut kemudian," katanya dalam kenyataan itu.

Mukhriz berkata dakwaan itu tidak benar, dan sekiranya Mahathir mahu berbuat demikian, bapanya  boleh terus melantik atau membantu beliau dalam karier politik sewaktu Mahathir masih lagi memegang jawatan presiden UMNO dan perdana menteri.

"Tidak munasabah beliau (Mahathir) hanya mempunyai niat tersebut setelah bersara daripada jawatan tertinggi parti dan negara lebih 13 tahun," ujarnya lagi.

Mukhriz mendakwa semua tuduhan dan kenyataan fitnah yang dilemparkan oleh pegawai-pegawai Najib bertujuan untuk “mengaburi mata dan mengalih perhatian rakyat terhadap penyelewengan yang melibatkan Najib melalui skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan SRC International serta kemasukan berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu.”

Muhyiddin dan Mukhriz masih merupakan ahli UMNO, tetapi Mahathir telah mengumumkan keluar dari parti itu beberapa bulan lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.