Follow us

SPRM Tahan Bekas Menteri Atas Dakwaan Rasuah Penjualan Tanah

Ali Nufael & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-14
E-mel
Komen
Share
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] mengenai isu penjualan tanah, Putrajaya, 14 Nov. 2018.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] mengenai isu penjualan tanah, Putrajaya, 14 Nov. 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] pada Rabu dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bersabit kes rasuah dan penjualan tanah yang meragukan, demikian menurut agensi anti-rasuah itu.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan telah ditahan pada 3.25 petang sejurus selepas hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang Rabu.

“Dia telah ditahan sejurus tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 3 petang,” kata sumber kepada BeritaBenar.

Menurut sumber itu, Tengku Adnan yang juga Bendahari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditahan berhubung penjualan tanah yang meragukan serta mempunyai kaitan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Beliau akan ditahan semalaman sebelum dibawa ke mahkamah tengah hari esok (Khamis) untuk didakwa,” kata sumber itu lagi.

SPRM dalam kenyataan pada petang Rabu berkata Tengku Adnan akan didakwa bersama-sama hartawan hartanah Tan Eng Boon pada jam 2.30 petang selepas mendapat izin untuk mendakwa mereka dari Pejabat Peguam Negara.

Menurut beberapa laporan akhbar tempatan sebelum ini, kes tersebut melibatkan sejumlah besar penjualan tanah yang dimiliki oleh DBKL, bernilai berbilion ringgit.

SPRM sebelum ini telah menahan bekas perdana menteri Najib Razak, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan juga bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim - yang kesemuanya pernah dan masih memegang jawatan dalam UMNO yang menerajui Barisan Nasional, gabungan parti yang pernah memerintah Malaysia sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lepas.

Turut ditahan sebelum ini, ialah bekas pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah, isteri Najib iaitu Rosmah Mansor dan bekas pegawainya, Rizal Mansor.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad sebelum ini berkata lebih ramai pemimpin UMNO akan dipanggil untuk siasatan dan didakwa di mahkamah berkaitan rasuah dan skandal 1MDB.

Bulan lalu, Tengku Adnan memberitahu pemberita bahawa beliau telah dipanggil oleh SPRM sebanyak 12 kali untuk membantu siasatan ke atas penjualan tanah DBKL sewaktu masih lagi menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Jelasnya pada masa itu, beliau tidak mencampuri urusan dalam meluluskan penjualan tanah tersebut.

Isteri Najib didakwa lagi

Dalam kes yang berlainan, isteri kepada Najib, Rosmah akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta pada Khamis, bersabit dakwaan rasuah melibatkan projek tenaga solar milik kerajaan di Sarawak.

Rosmah yang tiba di ibu pejabat SPRM pada pagi Rabu dibenarkan pulang oleh pasukan penyiasat beberapa jam selepas keterangannya diambil.

Menurut peguam Rosmah, K. Kumaraendran, selepas selesai mengambil keterangan SPRM meminta anak guamnya itu hadir ke mahkamah pada Khamis.

Ini merupakan pendakwaan kedua ke atas Rosmah.

Pada awal Oktober, Rosmah telah didakwa dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM14 juta ke dalam akaun banknya.

Manakala di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bekas ketua setiausaha kementerian pembangunan dan wilayah Mohd Arif Ab Rahman didenda RM12.6 juta ringgit selepas didapati bersalah mengambil rasuah bersama anaknya Ahmad Zukhairi.

Hakim Azura Alwi berkata pihak peguambela telah gagal untuk membuktikan keraguan dalam kes itu.

“Walaupun Ahmad Zukhairi bukan kakitangan awam, dia telah menyebut bahawa ayahnya akan dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan dia akan bertanya lanjut tentang projek solar hybrid dengan bapanya.

“Pihak peguambela juga gagal untuk memberikan penerangan yang telus ketika perbicaraan dan kenyataan daripada saksi lebih bersifat penafian,” kata Hakim Azura.

Mohd Arif dan Ahmad Zukhairi ditahan pada 5 Januari 2017. Mereka telah dipantau oleh SPRM selama tiga bulan sebelum ditahan.

Dalam satu serbuan di rumah Mohd Arif di Subang Jaya, pihak berkuasa menjumpai jongkong emas, mata wang Australia dan Eropah bernilai RM3 juta ringgit, 150 buah tas tangan mewah dan jam tangan berjenama.


Lihat Laman Penuh