Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Didapati Bersalah Terima Rasuah RM2 juta

Hakim bagaimanapun membenarkan hukuman denda dan penjara ditangguhkan sementara menunggu keputusan proses rayuan.
Ray Sherman & Hadi Azmi
2020.12.21
Kuala Lumpur
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Didapati Bersalah Terima Rasuah RM2 juta Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor hadir bagi mendengar keputusan terhadap pertuduhan rasuah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 21 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas menteri kabinet Malaysia Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin, didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM2 juta (AS$493,000) atas kesalahan yang dilakukannya empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusannya semasa menjatuhi hukuman itu berkata pihak pendakwaraya telah berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan terhadap kes melibatkan bekas menteri berusia 70 tahun yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dan bekas Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Melayu Bersatu (UMNO) itu.

“Tertuduh telah gagal untuk membuktikan keraguan dalam kes yang dibawa oleh pihak pendakwaraya. Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah bersabit pertuduhan ke atas beliau,” kata Hakim Mohamed Zaini ketika membaca keputusan kehakiman setebal 80 mukasurat.

Tengku Adnan mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman beliau dan jika gagal, beliau boleh kehilangan kerusi yang dipegangnya.

Perlembagaan Persekutuan Artikel 48(1)(e) menyatakan mana-mana Ahli Parlimen tidak akan lagi memiliki sebarang kelayakan untuk memegang kerusi jika dijatuhkan hukuman penjara selama setahun atau lebih atau denda RM2,000(AS$493.71).

Jika berlaku kekosongan, satu lagi pilihanraya kecil akan berlaku dan UMNO tidak boleh kehilangan kerusi ini kerana ia akan membawa masalah kepada parti pemerintah iaitu Perikatan Nasional yang hanya memerintah dengan majoriti tipis

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman dan denda buat Tengku Adnan bagi membolehkan proses rayuan dibuat.

Menurut pendakwaan, Tengku Adnan melakukan kesalahan rasuah tersebut di cawangan CIMB Bank Berhad di Pusat Bandar Damansara pada 14Jun, 2016 ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada masa itu.

Kertas pendakwaan menyatakan bahawa Tengku Adnan telah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dalam kapasitinya sebagai penjawat awam dengan menerima RM2 juta(AS$493,000) dari pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Chai Kin Kong.

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sekeping cek dengan jumlah tersebut telah dimasukkan oleh syarikat AKSB kedalam akaun yang dipunyai Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) di mana Tengku Adnan mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Adanya keraguan

Dalam membentangkan keputusan beliau, Hakim Mohamed Zaini berkata beliau merasa ragu dengan dakwaan UMNO yang mengatakan RM2 juta itu merupakan sumbangan politik dari Chai kepada parti itu.

“Saya rasakan ianya luarbiasa kerana resit itu kelihatan baru mengambil kira ianya diisu pada 2016 dan disimpan di dalam dompet Chai. Ini antara keraguannya,” kata Mohamed Zaini.

Hakim turut menyentuh mengenai kenyataan Tengku Adnan di Mahkamah pada 5 Mac, 2020 di mana beliau mengatakan bahawa beliau tidak akan terpengaruh untuk menerima RM2 juta sebagai rasuah kerana jumlah itu seperti duit poket sahaja buat beliau.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Tengku Adnan mempunyai aset bernilai RM782 juta (AS$193 juta)

Dalam prosiding itu pihak peguam yang mewakili Tengku Adnan cuba berhujah bahawa beliau mempunyai kekayaan sendiri dan tidak memerlukan rasuah.

Berpandukan kepada kenyataan Tengku Adnan pada Mac itu, Hakim Mohamed Zaini berkata pada pandangan beliau, RM2 juta itu masih mempunyai nilai yang signifikan walaupun buat seorang hartawan.

Kesalahan pertama

Dalam sesi mahkamah, peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan telah meminta mahkamah untuk tidak dipenjarakan dan diberikan denda kurang dari RM2,000 kerana bekas menteri itu merupakan pesalah pertama dan telah berkhidmat kepada rakyat dalam pelbagai kapasiti sepanjang berkecimpung dalam bidang politik sejak 17 tahun lalu.

Tan turut berkata Tengku Adnan mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Anak guam saya berumur 70 tahun dan menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, jantung dan paru-paru,” katanya.

“Beliau sakit. Saya tidak merekanya. Saya berdoa supaya tiada hukuman penjara dan denda dibawah RM2,000. Saya tidak risau tentang dilucutkan kelayakan tetapi saya risau tentang kesihatan beliau,” kata Tan.

Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun betah menjawab apabila Tan membangkitkan mengenai politik dengan berkata jika Tengku Adnan dijatuhkan hukuman, ia juga boleh menjatuhkan kerajaan yang sedia ada kerana ia memerintah dengan majoriti tipis.

“Jadi patutkah saya risau dengan situasi politik negara?” kata Mohamed Zaini.

Ketua Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang mahukan hukuman sebagai pengajaran berkata penjara harus diberikan sekali.

“Si tertuduh sendiri yang sebelum ini berkata bahawa RM2 juta cumalah duit poket buat beliau jadi macamana mereka kata denda harus kurang dari RM2,000?

“Ahli Parlimen datang dan pergi…pilihanraya boleh diadakan untuk melantik Ahli Parlimen baru,” kata Julia yang turut mengusulkan supaya hukuman penjara dan denda tidak kurang dari RM2 juta dikenakan terhadap Tengku Adnan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Mohamed Zaini membuat keputusan yang antaranya penambahan enam bulan penjara jika Tengku Adnan gagal membayar denda.

Bekas menteri itu tidak menunjukkan sebarang emosi ketika di dalam kandang saksi semasa hukuman dibacakan. Bagaimanapun ada sedikit kekecohan berlaku melibatkan isteri beliau Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini.

Enny yang sampai hanya selepas keputusan dibacakan, menyatakan bahawa beliau sepatutnya dipanggil sebagai saksi kerana beliau mempunyai bukti.

Keputusan kehakiman keatas Tengku Adnan hadir kurang dari 24 jam selepas beliau mengadakan resepsi perkahwinan anak lelakinya Tengku Muhammed Tengku Adnan dengan Oceane Cyril Alagia secara pandu lalu di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Ahad.

Lebih 10,000 orang hadir ke majlis tersebut di mana mereka mengucapkan tahniah secara pandu lalu kepada pengantin dan mengambil pek makanan yang dibungkus di khemah khas sebelum beredar.

Konsep perkahwinan pandu lalu anak Tengku Adnan turut menghiasi media antarabangsa seperti yang dilaporkan media Singapura Straits Times dan BBC di Britain.

Majlis makan malam mewah turut diadakan lewat Ahad di Pusat Konvensional Antarabangsa Putrajaya yang turut dihadiri rakan-rakan politik berprofil tinggi dari Barisan Nasional dengan majlis itu disiarkan secara langsung melalui aplikasi YouTube.

Peguam Tengku Adnan, Tan berkata beliau akan memfailkan rayuan tidak lama lagi.

“Saya sudah menerima arahan dari anak guam untuk memfailkan notis rayuan jadi kita akan buat hari ini (Isnin) atau esok," katanya kepada pemberita selepas perosiding di mahkamah.

Sebelum ini pada 7 Disember, Tengku Adnan dilepaskan tanpa dibebaskan atas satu kes yang berbeza melibatkan rasuah RM1 juta (AS$246,852) selepas pendakwaraya mengugurkan pertuduhan terhadap beliau dengan alasan adanya bukti baru.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.