Malaysia Cadang Bina 10 Lagi Pos Kawalan di Sempadan Sarawak-Kalimantan

Penganalisis berpendapat dengan adanya pos itu aktiviti pemerdagangan manusia dan ancaman pengganas rentas-sempadan dapat diperangi.
S. Adie Zul & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-09-22
Share
Malaysia Cadang Bina 10 Lagi Pos Kawalan di Sempadan Sarawak-Kalimantan Anggota Tentera Darat Malaysia memunggah kawat duri dari atas lori untuk dipasang di sekitar kawasan taman perumahan di Sepang, Selangor, 30 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 4.30 petang waktu tempatan ETS - 2021-09-22

Malaysia merancang membina 10 buah pos kawalan keselamatan ketenteraan yang baharu di sepanjang sempadan dengan Indonesia dan Sarawak yang terletak di timur Borneo, satu langkah yang menurut penganalisis bertujuan memerangi aktiviti pemerdagangan manusia dan ancaman pengganas rentas-sempadan.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada Rabu juga berkata pada masa yang sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiapkan pembinaan empat pos kawalan imbangan yang dirancang terlebih dahulu di sempadan Sarawak-Kalimantan, yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan.

Empat pos berkenaan ialah Pos Padang Pan di Bahagian Kuching, Pos Batu Kaya di Bahagian Sri Aman, Pos Sungai Paoh di Bahagian Serian dan Pos Tapak Megah di Bahagian Kapit.

"Angkatan Tentera Malaysia merancang membina 10 lagi pos imbangan pada tahun 2022 bagi mengimbangi pos kawalan Tentera Nasional Indonesia bagi memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Pada masa yang sama ATM turut menjalin kerjasama dengan TNI di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan menerusi Operasi Gabungan bersama-sama Tentera Darat Malaysia (TDM) di semua pos gabungan,” Hishammuddin memaklumkan Dewan Rakyat ketika menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Batang Lupar, Rohani Abdul Karim; Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dan Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumbong berkaitan kawalan di sempadan melibatkan Sarawak dan Kalimantan.

Kesemua Anggota Parlimen dari Sarawak itu menyentuh isu mengenai usaha Putrajaya dalam melindungi keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan susulan keputusan kerajaan Indonesia untuk memindahkan pusat pentadbiran negara berkenaan dari Jakarta ke Kalimantan bermula tahun 2024.

Kawalan sempadan Malaysia-Kalimantan di Borneo adalah antara cabaran keselamatan yang berlanjutan sejak sekian lama memandangkan jarak yang panjang sejauh 1,800 kilometer membabitkan kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah.

Menurut rekod, jarak sempadan antara Sarawak dengan Kalimantan Barat, Tengah dan Utara adalah sepanjang 1,100 kilometer manakala jarak sempadan Sabah dan Kalimantan Utara pula sepanjang 700 kilometer.

Sekiranya kesemua pos itu siap sepenuhnya, Sarawak akan mempunyai 14 buah pos keseluruhan di sepanjang sempadannya dengan Kalimantan.

Pada Ogos 2019, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan keputusan kerajaan republik itu untuk memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan Timur susulan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi di Jakarta – antara tertinggi di dunia, selain ancaman bencana banjir kerana berada di kawasan rendah.

Menurut Joko Widodo, proses pemindahan ibu kota itu dijangka melibatkan belanja lebih AS$30 bilion yang dijadualkan bermula pada 2024.

Ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 September, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah supaya kerajaan menangani sebarang usaha mencabar kedaulatan negara dan memperketatkan kawalan sempadan negara bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin, sebagai salah satu langkah mengekang penularan virus tersebut.

Tangani ancaman

Penganalisis keselamatan serantau, Ramli Dollah berpandangan walaupun kerjasama bilateral adalah dialu-alukan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan antarabangsa, tetapi ia perlu dibuat secara berhemah.

“Langkah kerjasama kententeraan perlu diseimbangkan dengan pendekatan bukan-ketenteraan apabila menangani ancaman bukan-kententeraan di sepanjang sempadan antarabangsa.

“Selain itu, adalah penting untuk memastikan kerjasama ketenteraan ini tidak meletakkan Malaysia dalam keadaan dilema sekiranya isu-isu yang belum diselesaikan dengan negara berjiran, dijadikan dipolemikkan oleh ahli politik.

“Langkah ini juga perlu diseimbangkan dengan penekanan kepada pembangunan, khususnya tumpuan kepada pembinaan kemudahan-kemudahan asas kepada komuniti di sepanjang sempadan seperti sekolah, klinik, jalan raya dan sebagainya,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu kepada BenarNews.

Seorang lagi penganalisis keselamatan serantau, Lai Yew Meng berkata kerjasama antara Malaysia dan negara jirannya adalah usaha yang sangat perlu bagi mengekang jenayah rentas sempadan memandangkan kedudukan sempadan yang poros.

“Cadangan pembinaan 10 pos imbangan sempadan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan adalah antara contoh kerjasama bilateral bagi menangani cabaran keselamatan rentas-sempadan seperti penyeludupan barang larangan, pemerdagangan manusia, pendatang tanpa izin, aktiviti keganasan dan sel pengganas.

“Sebagai contoh, kedudukan kawasan sempadan Malaysia-Filipina-Indonesia di wilayah laut Sulu dan Sulawesi yang secara semulajadinya poros, memerlukan kerjasama pemantauan maritim melibatkan ketiga-tiga negara untuk menangani ancaman keselamatan, antaranya aktiviti lanun dan penculikan untuk mendapatkan bayaran tebusan.

“Begitu juga kerjasama keselamatan bilateral dan trilateral seperti Malindo Corpat (Kawalan Terkoordinasi Malaysia-Indonesia) dan Malsindo Corpat (Kerjasama Malaysia-Indonesia-Singapore) telah berjaya mengekang aktiviti lanun di Selat Melaka pada awal tahun 2000,” katanya kepada BenarNews.

Beliau juga berkata, kesan yang boleh dilihat daripada langkah kerjasama tersebut nanti adalah berkemungkinan penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Pada Julai lalu, AS telah menurunkan kedudukan Malaysia kepada tahap paling rendah - Tahap 3 - dalam laporan TIP 2021 kerana menurut Setiausaha Negara AS Antony Blinken, Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum dan tindakan signifikan terhadap usaha mengekang pemerdagangan manusia.

“Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan pemerdagangan orang dan tidak melakukan usaha yang signifikan serta mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap keupayaannya dalam mengekang pemerdagangan; oleh itu Malaysia diturunkan ke Tahap 3.

"Walaupun ada kebimbangan yang berterusan bahawa rasuah memudahkan pemerdagangan manusia, kerajaan menangkap dan menyiasat, tetapi tidak mendakwa atau menghukum, pegawai yang didakwa terlibat dalam jenayah berkaitan dengan pemerdagangan manusia," kata laporan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh