Sebelas Anggota Tentera Terlibat IS

Oleh Hata Wahari
2015.08.21
150821-MY-IS620 Seorang daripada 10 warga tempatan termasuk dua wanita yang ditahan Polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS) serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria. 21 Ogos 2015.
Ehsan Polis Diraja Malaysia.

Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan seramai 11 anggota tentera telah ditahan kerana terlibat dalam kumpulan militan Negara Islam (IS) sejak dua tahun lepas.

Menterinya Hishammuddin Hussein berkata, jumlah itu termasuk penangkapan terbaru melibatkan lima anggota tentera daripada 10 individu yang ditahan Polis di enam lokasi di Semenanjung Malaysia pada Rabu lalu.

Difahamkan penangkapan terbaru itu melibatkan empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau juga tidak menolak kemungkinan anggota tentera yang terlibat menjadi sasaran kumpulan IS atas dasar kepakaran yang dimiliki.

Sambil menambah, hasil siasatan penuh mengenai penglibatan anggota pasukan keselamatan negara itu diperlukan sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap mereka yang terlibat.

“Lima anggota tentera yang ditahan itu, telah digantung tugas serta merta… Ini bermakna setakat hari ini, 11 anggota tentera telah ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan IS," kata Menteri Pertahanan itu pada Jumaat.

Hishammuddin bagaimanapun, enggan mengulas butiran lanjut mengenai kesemua anggota tentera yang ditahan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Bahagian Counter Terrorism Polis Cawangan Khas Bukit Aman untuk menjalankan siasatan terhadap mereka.

“Butiran selanjutnya saya kena tunggu persetujuan daripada pegawai yang menyiasat, kita tidak mahu maklumat yang didedahkan akan menjejaskan siasatan lain yang mungkin sedang berjalan sekarang,” katanya sambil menambah mereka terdiri daripada anggota berpangkat rendah.

Perkara serius

Beliau mengakui penglibatan anggota tentera dalam kumpulan militan itu adalah satu perkara serius, namun katanya ia tidak seserius negara-negara lain, sambil merujuk kepada anggota tentera Syria dan Iraq yang berpaling tadah dan berjuang bersama kumpulan militan sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada senjata dan kawasan jatuh ke tangan IS.

Pada Khamis, Polis Malaysia telah menahan 10 warga tempatan termasuk dua wanita kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan militan IS serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, kesemua 10 individu yang ditahan itu terdiri daripada enam orang anggota pasukan keselamatan, dua orang kakitangan kerajaan, seorang  guru tadika dan seorang bekas  pereka bentuk dalaman yang kesemuanya berusia antara 24 dan 42 tahun.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai seorang lagi anggota pasukan keselamatan yang ditahan itu tidak diketahui.

Pada 5 April lepas, dua anggota tentera antara 17 individu yang ditahan polis berhubung cubaan melakukan serangan keganasan di ibu negara Malaysia itu.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara yang ditahan ialah bekas anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia dan bekas tahanan ISA, anggota tentera, dua pelajar, seorang pengawal keselamatan dan dua juruwayar.

Menteri itu berkata, antara mereka ada yang pernah terlibat dalam cubaan merompak senjata api dari Balai Polis Guar Chempedak, Kedah, serta mereka yang baru sahaja pulang dari Syria selepas menyertai kumpulan militan IS.

Sementara itu, pada Jun tahun lepas, Polis menahan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan seorang anggota TLDM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan.

Khalid dalam kenyataan media mengenai penahanan itu berkata, anggota Rela berumur 46 tahun ditahan di Kuala Kangsar, Perak dan anggota TLDM berusia 29 tahun itu ditahan di Sandakan, Sabah.

Hishammuddin berkata, ATM mengambil langkah proaktif menghalang gerakan dari luar negara itu daripada merebak ke Malaysia.


“Ini merupakan satu fenomena yang berada dalam kawalan rapi oleh Kementerian Pertahanan yang sentiasa menjalinkan kerjasama rapat dengan agensi-agensi risikan di seluruh dunia.

“Saya bimbang jika tidak ambil tindakan tegas, tidak kira warna kulit, kedudukan dan jawatan, perkara ini akan menjadi lebih padah dan menular dalam masyarakat kita,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kebanyakan individu yang terlibat dengan kumpulan ekstremis atau militan terdiri daripada golongan yang tidak mendalami pengajian tentang agama Islam.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, kelompok berkenaan hanya memahami serta mempelajari tentang Islam dalam kerangka yang sempit.

“Ada yang berguru dengan guru yang cenderung kepada ajaran songsang atau terpesong daripada ajaran Islam sebenar. Kalau mereka belajar agama Islam sebenar, Islam tidak ajar mereka melakukan keganasan atau aktiviti ekstremis," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.