Larangan atlet gimnastik wanita Terengganu sertai temasya sukan, perkecilkan kesaksamaan gender, kata aktivis

Keputusan itu adalah indikasi membimbangkan serta kemuduran dan diskriminasi terhadap kesaksamaan jantina dalam bidang sukan.
Iman Muttaqin Yusof
2023.10.09
Kuala Lumpur
Larangan atlet gimnastik wanita Terengganu sertai temasya sukan, perkecilkan kesaksamaan gender, kata aktivis Ratu gimnas Malaysia Farah Ann Abdul Hadi semasa beraksi pada pertadingan gimnastik artistik wanita Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur, 29 Ogos 2017.
[Adek Berry/AFP]

Aktivis hak asasi Malaysia pada Isnin mengecam tindakan kerajaan negeri Terengganu yang melarang atlet gimrama dan gimnastik wanita daripada mengambil bahagian dalam temasya sukan kebangsaan, sesuatu yang disifatkan kumpulan itu sebagai diskriminasi gendera yang sangat membimbangkan.

Pada 2020, Terengganu, yang ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif telah mengeluarkan garis panduan mengenai pakaian patut dan tidak patut dipakai oleh atlet dan penghibur, dengan isu larangan tersebut dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri minggu lalu.

Para pengkritik mendakwa larangan tersebut merupakan ancaman terhadap hak wanita untuk bersukan dan memperkecilkan kesaksamaan gender, sekaligus merosakkan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

"Keputusan Terengganu itu membawa indikasi yang membimbangkan mengenai diskriminasi dan merupakan satu kemunduran dalam usaha berterusan untuk kesaksamaan jantina dalam bidang sukan.

"Atlet wanita berulang kali menjadi sasaran penelitian umum, di mana pakaian dan maruah mereka sentiasa dipersoalkan," kata
kumpulan hak asasi wanita Sister in Islam dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata kumpulan itu lagi, pengawasan yang tidak wajar itu bukan sahaja merencatkan perkembangan atlet tetapi turut mengekang dan menghalang usaha mencapai sepenuh potensi.

"Persoalan yang timbul adalah: adakah wanita tidak boleh mempunyai hak autonomi untuk membuat keputusan sendiri berhubung pakaian dan perlakuan mereka? Adakah semua aspek ini dalam kehidupan mereka mesti tertakluk kepada tafsiran PAS mengenai apa yang betul dan apa yang salah?," tambah Sister in Islam lagi.

Ivy Josiah, seorang lagi aktivis wanita veteran, menentang larangan itu yang dilihatnya sebagai satu bentuk salah guna kuasa.

"Ia satu bentuk diskriminasi apabila mereka mensasarkan wanita. Ia juga menunjukkan pemikiran dan agenda mereka, dan keperluan mereka untuk mengawal wanita. Ia adalah kuasa yang berada di tangan yang salah," kata Ivy, yang merupakan bekas presiden Women's Aid Organisation, kepada BenarNews.

"Kita tidak mahu atlet sama ada lelaki atau wanita dilarang daripada terlibat dalam sukan disebabkan pakaian mereka. Pakaian mereka telah digunakan sekian lama dan tidak membawa masalah sebelum ini." tambahnya lagi.

Tidak benci

Hishamuddin Abdul Karim, exco kerajaan negeri Terengganu yang bertanggungjawab ke atas portfolio pembangunan belia, sukan dan NGO, berkata mereka tidak memandang rendah terhadap sukan gimnastik tetapi hanya berniat untuk mengaplikasikan pendekatan yang lebih mesra syariah bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran di kalangan golongan atlet.

"Kami bukan benci sukan itu tetapi untuk membiarkan atlet wanita keluar mengambil bahagian dalam keadaan begitu adalah tidak sesuai," kata beliau ketika ditanya media mengenai isu etika pakaian bagi aktiviti sukan di negeri tersebut.

"Bagi artis bukan Islam, mereka digalakkan untuk berpakaian sopan, dan mengelak daripada mengenakan pakaian yang ketat, singkat atau terdedah.

"Bagaimanapun, kami masih mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan atlet wanita daripada menyertai gimnastik atas sebab pakaian yang terdedah. Kita tak berkompromi dalam perkara ini dan mana-mana pihak perlu hormati pendirian kita," kata beliau.

Terengganu merupakan salah sebuah negeri yang diperintah parti pro-Islam PAS dan telah memperkenalkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri yang mengandungi standard pakaian bagi orang Islam serta menasihatkan supaya orang bukan Islam mengelakkan daripada berpakaian ketat, singkat atau mendedahkan tubuh. Garis panduan itu mula berkuat kuasa pada tahun lepas.

BenarNews telah menghubungi kerajaan negeri Terengganu untuk mendapatkan komen tetapi tidak mendapat maklumbalas segera.

Seorang Ahli Parlimen Malaysia, Lee Chean Chung berkata keputusan itu adalah sesuatu yang "keterlaluan, konservatif dan dibuat tanpa berfikir panjang" kerana pakaian sukan mestilah mementingkan keberkesanan dan keselesaan, dan bukannya mengikut pemahaman agama.

"Keputusan ini menyakitkan hati kesemua anak-anak yang telah berlatih bertahun-tahun serta ibu bapa mereka yang telah menggalakkan anak-anak untuk memburu impian mereka sebagai atlet.

"Bagaimana ibu bapa ini mahu menjelaskan kepada anak-anak mereka mengenai siapa yang menghalang mereka daripada bertanding. Bagaimana pula dengan masa depan dan ruang untuk orang bukan Islam di Terengganu?" kata beliau dalam satu status di Facebook pada Sabtu.

Bagaimanapun, tindakan Terengganu untuk mengekalkan larangan dan standard pakaian untuk wanita Muslim dalam gimnastik itu dipuji oleh sebuah badan bukan kerajaan.

Abu Samah Mohd Hanapiah, presiden Persatuan Kebajikan Asatizah, menyatakan bahawa tindakan itu bukan sesuatu yang mundur ke belakang tetapi merupakan tindakan yang bertujuan memperkasakan wanita.

"Kami percaya tindakan ini bukan melambangkan kemunduran bagi kemajuan sukan negara kita.

"Sebaliknya, ia akan lebih meninggikan tahap atlet wanita Terengganu di dalam bidang sukan, memastikan mereka boleh maju tanpa menjejaskan prinsip agama dan etika budaya," kata beliau dalam satu kenyataan.

"Kami menggesa supaya para pengkritik mempertimbangkan perspektif oleh mufti dan ulama berkenaan etika berpakaian untuk wanita Muslim dalam gimnastik, sebelum menyerang kerajaan negeri Terengganu mengenai keputusan ini."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.