Malaysia Tahan Empat Warga Asing Dalam Serbuan Anti-Keganasan

Ray Sherman & Zam Yusa
2019.02.15
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu, Malaysia
190215-MY-terrorism-620.jpg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semasa bercakap kepada media di Kuala Lumpur, 22 April, 2018.
AP

Enam individu yang dipercayai pengganas, termasuk empat daripada mereka warga asing ditahan dalam beberapa siri serbuan anti-keganasan di Selangor, Johor dan Sabah sejak dua bulan lepas, kata Ketua Polis Negara pada Jumaat.

Mohamad Fuzi Harun berkata, empat warga asing yang ditahan itu adalah dari Singapura, Bangladesh, Filipina dan seorang lagi dari Asia Selatan, tetapi tidak menyebut dari negara mana.

“Tangkapan pertama dibuat terhadap seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun dari Singapura pada 19 Disember lepas,” kata Fuzi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Bukit Aman di Kuala Lumpur pada Jumaat yang pegawai Singapura mengenalpastinya  sebagai Mohamed Kazali Salleh.

Fuzi berkata ahli perniagaan itu dipercayai aktif berhubung dengan Akel Zainal, seorang rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan IS di Syria sejak 2014, dengan membantu menyalurkan dana, serta merekrut beberapa individu melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor.

“Tangkapan keatas suspek adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura [ISD], dan beliau telah diserahkan kepada ISD pada 7 Januari lalu,” tambah beliau.

Akel yang nama sebenarnya ialah Wan Mohd Aquil Wan Zainal, bekas pemain drum kumpulan rock tempatan sekitar tahun 90-an adalah antara empat rakyat Malaysia yang dipercayai mengambil alih peranan utama merekrut anggota baru, selepas kematian Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada April 2017.

Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan berkata, Kazali yang bekerja di Johor Bahru sejak beberapa dekad lalu telah berkenalan dan memberi bantuan kewangan kepada Akel untuk perjalanannya ke Syria. Pembiayaan itu berterusan walaupun Akel sudah berada di Syria.

Semakin lama Kazali menjadi semakin radikal, dan dia melihat para pejuang IS sebagai pejuang 'di jalan yang benar' kerana mempertahankan umat Islam di Syria dan seluruh dunia, demikian menurut kenyataan kementerian itu.

Atas desakan Akel, Kazali mengangkat sumpah bai’ah (perjanjian taat setia) kepada pemimpin IS Abu Bakr Al-Baghdadi, yang dimaklumkannya kepada Akel melalui media sosial.

Dia juga bersetuju untuk mengikuti Akel ke Syria apabila diajak beberapa kali tetapi tidak jadi berbuat demikian kerana tidak bersedia untuk meninggalkan kehidupannya di Malaysia, kata MHA.

Pegawai Singapura juga berkata mereka turut menahan Hazim Syahmi Mahfoot, yang berkawan rapat dengan Kazali pada Mei 2018 dan dipercayai terpengaruh untuk menyertai IS.

Fuzi juga berkata, lelaki kedua seorang warga Bangladesh berusia 31 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci ditahan di Selangor pada 19 Disember lepas yang polis percaya beliau terlibat dalam kegiatan merekut individu di Malaysia menyertai kumpulan pengganas.

“Tangkapan ketiga dibuat di Sepang, juga di Selangor pada 10 Januari lepas, dimana melibatkan dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia 38 tahun dan bekerja sebagai pekerja ladang di sebuah negara luar,” tambah beliau.

Katanya, kedua-dua mereka dihantar pulang selepas terlibat dalam memberi sokongan kepada kumpulan pengganas di Syria dan seorang daripadanya telah menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi, seorang lagi rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di negara itu.

Anggota Abu Sayyaf

Fuzi juga memberitahu, siri operasi itu juga menahan seorang buruh binaan warga Filipina, berusia 21 tahun, di Kota Kinabalu pada 19 Januari lalu.

“Lelaki itu yang dipercayai anggota kumpulan militan Abu Sayyaf, mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api itu telah menyusup masuk ke Malaysia sejak Mac 2018 secara tidak sah.

“Suspek juga dipercayai mempunyai hubungan dengan Furuji Indama, seorang pemimpin ASG di selatan Filipina,” kata Ketua Polis Negara itu sambil menambah tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan anggota ASG yang ditahan sejak 2017 adalah seramai 39 orang.

Beliau memberitahu, tangkapan kelima dibuat pada 28 Januari lepas terdapat seorang tukang rumah, berusia 26 tahun dan berasal dari sebuah negara di Asia Selatan, di Puchong, Selangor.

“Suspek telah memberi perlindungan kepada seorang individu dari negara Asia Selatan yang telah disenaraikan dalam ‘Red Notice Interpol’ kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan,” tambah beliau.

Malaysia telah menahan 85 orang yang dipercayai terlibat dalam keganasan sepanjang 2018, dengan 44 daripada mereka terdiri daripada warga asing manakala 41 orang pula rakyat tempatan, kata Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar pada Khamis.

“Jumlah penangkapan IS di Sabah pada tahun 2018 ialah seramai 29 orang dengan dua negeri lagi mempunyai bilangan penangkapan yang signifikan iaitu Johor (15) dan Selangor (14),” katanya semasa dihubungi.

Jumlah tangkapan itu merosot daripada 106 pada 2017 dan 119 pada 2016.

Lai Yew Meng, penganalisis keselamatan serantau di Universiti Malaysia Sabah berkata kemerosotan itu mungkin berlaku hasil usaha yang berkesan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam memerangi gerakan militan.

Beliau merujuk kepada perintah berkurung senja-ke-fajar di sempadan maritim ESSCOM [Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah] bersama-sama dengan promosi program anti-keganasan sedia ada.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.