Follow us

Anggota Parlimen Selatan Thai Mahu Ambil Bahagian Dalam Rundingan Damai

Mariyam Ahmad & Nani Yusof
Pattani & Narathiwat, Thailand
2019-06-28
E-mel
Komen
Share
Areepen Utarasint, yang pernah berkhidmat selama sembilan penggal sebagai anggota parlimen Thailand mewakili selatan negara itu membincangkan cara bagaimana untuk memperbaiki proses rundingan damai ketika satu sesi temuramah di pejabat beliau di wilayah Narathiwat, Thailand, 1 Jun, 2019.
Areepen Utarasint, yang pernah berkhidmat selama sembilan penggal sebagai anggota parlimen Thailand mewakili selatan negara itu membincangkan cara bagaimana untuk memperbaiki proses rundingan damai ketika satu sesi temuramah di pejabat beliau di wilayah Narathiwat, Thailand, 1 Jun, 2019.
[Nani Yusof/BeritaBenar]

Sekumpulan tiga pengubal undang-undang di Selatan Thailand berkata anggota parlimen kawasan itu patut mengambil bahagian dalam rundingan damai di antara kerajaan dan kumpulan pemberontak bersenjata kerana mereka mewakili rakyat yang paling mendapat impak dalam menamatkan pemberontakan berusia 15 tahun itu.

Areepen Utarasint, yang baru sahaja bersara selepas berkhidmat sebagai anggota parliamen mewakili, Narathiwat iaitu salah satu wilayah di Selatan Thailand selama sembilan penggal, berkata, penduduk di sana mahu rasa bahawa mereka diwakili di Bangkok. Beliau memberitahu bahawa lebih tiga perempat pengundi yang layak mengundi di rantau sempadan Selatan negara itu telah membuang undi semasa pilihanraya umum pada 24 Mac lalu.

“Sepatutnya ada ahli politik terutamanya ahli parlimen sebagai ‘pemerhati’ ketika rundingan damai. Ada 11 ahli parlimen dari Parti Prachachart, Democrat, Bhumjaithai dan Palang Pracharat [yang mewakili Selatan Thailand]. Mereka harus melibatkan diri dalam rundingan kerana mereka lebih arif berkenaan masalah yang dihadapi oleh warga tempatan,” kata Areepen kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada rundingan damai di antara kerajaan dan organisasi yang mewakili kumpulan pemberontak, MARA Patani yang sudah berusia empat tahun itu di mana Malaysia mengambil peranan sebagai fasilitator. Sehingga kini, rundingan damai itu belum menghasilkan sebarang keputusan yang ketara.

Tiga parti – Bhumjaithai, Democrat dan Palang Pracharat – menyokong Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha, manakala yang lain pula adalah sebahagian daripada gabungan parti pembangkang. Prayuth mengambil alih pemerintahan kerajaan selepas mengetuai tentera dalam rampasan kuasa pada 2014 ke atas Perdana Menteri waktu itu Yingluck Shinawatra.

Awal bulan Jun, bekas ketua tentera Thailand itu dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua dalam undian yang dilakukan di kalangan ahli parlimen dan senator.

Sukarno Matha, anggota parliamen Selatan Thailand dari parti pembangkang Prachachart menyokong usul Areepen agar ahli parlimen diberikan suara dalam proses rundingan damai.

“Sebelum ini, jawatankuasa yang diketuai oleh komander tentera selatan tidak membuka ruang untuk ahli politik tempatan,” kata Sukarno kepada BeritaBenar. “Sepatutnya anggota parlimen perlu dimasukkan sekali dalam jawatankuasa untuk memainkan peranan dalam rundingan damai.”

“Dengan pengetahuan mendalam mereka tentang rantau ini, mereka boleh memberikan buah fikiran yang pihak tentera mungkin tidak nampak,” kata Sukarno lagi.

Cadangan Areepen turut mendapat sokongan daripada peguam yang dilantik menjadi ahli parlimen Adilan Alee-ishoh, yang merupakan ahli kepada gabungan berpihak kepada Prayuth.

“Kerajaan tidak harus menyemarakkan lagi api dengan membenarkan keganasan dilakukan oleh pihak pemberontak dan seterusnya memberikan mereka ruang mengembangkan jumlah sekutu mereka,” kata Adilan kepada Benar. “Hari ini, ada sesuatu yang membuatkan warga tempatan berasa simpati (kepada pemberontak) atau pemberontakan. Penguatkuasaan undang-undang yang tidak adil akan membuatkan mereka menyertai pihak sebelah sana.”

Walaubagaimanapun tidak semua menyokong kenyataan yang dikeluarkan Areepen.

Personaliti yang menyerahkan surat perletakan jawatannya bulan lepas sebagai ketua perundingan bagi MARA Patani menyatakan keraguan dengan cadangan memasukkan ahli parlimen dalam proses rundingan damai.

“Saya tidak berapa setuju dengan cadangan itu…ia cuma akan membenarkan ahli parlimen  membina kerjaya politik mereka,” kata Shukri Hari kepada BeritaBenar.

Shukri merupakan salah seorang dari tiga ahli Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani yang terlibat dengan MARA Patani. Pemimpin tegar BRN yang merupakan kumpulan pemberontak terbesar dan yang paling berpengaruh di Selatan Thailand mengelak untuk turut dalam proses rundingan damai.

Anggota Parlimen beri nasihat kepada ketua tentera

Sebelum perlantikan beliau, Adilan pernah berada dalam jawatankuasa tempatan yang menyokong usaha rundingan damai.

Beliau sekarang ini dilantik sebagai penasihat kepada jawatankuasa tempatan yang diketuai oleh komander tentera negara. Beliau amat menghargai kenyataan oleh Komander, Lt. Jen. Pornsak Poolsawat, yang berkata bahawa beliau mahu berbincang mengenai isu hak asasi manusia dengan anggota parlimen tempatan.

Tetapi, Adilan berkata, pihak tentera masih belum mewujudkan satu mekanisma bagi rakyat untuk mengikuti rundingan damai. Pada pandangan beliau, rakyat tempatan dan anggota parliamen sepatutnya menjadi ahli jawatankuasa yang terlibat dalam rundingan damai itu.

Rundingan damai di antara MARA Patani dan kerajaan tentara Prayuth bermula pada 2015, tetapi ianya masih belum membuahkan sebarang hasil. Rundingan damai ditunda pada Februari apabila pemimpin MARA Patani mengumumkan bahawa mereka tidak akan ikut serta dalam rundingan damai sehingga selepas pilihanraya umum pada Mac.

Pada tahun 2015, pihak junta telah menubuhkan tiga jawatankuasa untuk memantau rundingan damai. Jawatankuasa pemandu diketuai oleh Perdana Menteri dan bertanggungjawab untuk mencartakan pelan polisi kerajaan untuk Selatan Thailand.

Panel rundingan damai yang turut melihat perlantikan Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat pada akhir 2018 sebagai ketua perunding, yang bertanggungjawab untuk berunding dengan wakil pemberontak.

Kordinasi antara agensi dalam kumpulan kerja yang diketuai oleh Pornsak termasuk warga tempatan dan sekurang-kurangnya seorang anggota parlimen. Ia bertanggungjawab untuk mewujudkan muhibah dalam rantau itu dalam membantu proses rundingan damai.

Selatan Thailand terletak bersempadan dengan Malaysia dan meliputi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di wilayah itu sejak pemberontakan tercetus kembali pada awal 2004.

Lihat Laman Penuh