Serangan bom api, letupan di 17 lokasi di Selatan Thailand

Sekurang-kurangnya tujuh individu cedera dalam letupan yang berlaku di pusat jualan di wilayah sempadan itu, kata pihak berkuasa.
Subel Rai Bhandari & Mariyam Ahmad
2022.08.17
Bangkok & Pattani, Thailand
Serangan bom api, letupan di 17 lokasi di Selatan Thailand Pihak berkuasa Thailand memeriksa bangkai sebuah trak yang musnah dalam serangan bom di stesen minyak Bang Chak di Nong Chik, Pattani, Thailand pada 17 Ogos 2022.
[BenarNews]

Beberapa individu dipercayai anggota kumpulan pemberontak telah menyerang sekurang-kurangnya 17 lokasi di Selatan Thailand menggunakan bom api serta bahan letupan lain yang mencederakan sekurang-kurangnya tujuh individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, dalam kejadian waktu malam yang kelihatan seperti serangan terancang, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Seorang pegawai kanan tentera berkata lokasi yang menjadi sasaran ialah kedai runcit serta stesen minyak di Pattani, Narathiwat dan Yala. Beberapa serangan awal dilaporkan berlaku pada lewat malam Selasa diikuti letupan yang berlarutan sehingga pagi Rabu.

"Mereka yang melakukan serangan ini telah memakai hijab ketika memasuki kedai-kedai yang disasarkan. Mereka menggunakan bom buatan sendiri serta molotov cocktail (bom petrol) untuk menyerang 17 lokasi seperti 7-Eleven, Mini Big C dan hartanah di stesen minyak Bang Chak," kata Pramote Prom-in, Timbalan Pengarah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 yang merupakan pusat pemerintahan tentera untuk bahagian sempadan di Selatan Thailand.

Serangan terancang itu adalah yang minggu ini dan keempat sejak pasukan perunding kerajaan Thailand serta wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak terkuat di Selatan Thailand, mengadakan rundingan secara bersemuka di Kuala Lumpur dua minggu lepas.

Lewat malam Rabu, polis menemukan mayat rentung milik seorang lelaki berusia 21 tahun yang telah dikenal pasti sebagai Masarish Mama di 7-Eleven yang terletak di dalam sebuah stesen minyak di Narathiwat. Pegawai kerajaan berkata kedai serbaneka itu adalah antara lokasi yang diserang menggunakan bom api.

Kejadian serangan bom api dan letupan itu adalah yang terbesar setakat ini di wilayah bergolak tersebut dalam tempoh empat tahun serta merupakan perbuatan ganas yang paling meluas pernah berlaku di Selatan Thailand sejak awal April apabila perunding kerajaan Thailand dan wakil BRN bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata sempena bulan Ramadan.

Ia juga adalah serangan keempat yang disyaki didalangi kumpulan pemberontak sejak kedua-dua pihak mengadakan pertemuan bersemuka di Malaysia pada awal Ogos. Dalam rundingan yang dikendalikan Kuala Lumpur itu, wakil kerajaan Thailand telah meminta BRN bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama 108 hari sempena upacara keagamaan Khao Pansa atau Buddhist Lent, yang sedang berlangsung.

Pada Isnin, dua letupan periuk api membunuh seorang askar dan mencederakan enam pegawai polis serta empat orang awam di sebuah ladang getah di Narathiwat. Mangsa yang tercedera termasuk seorang wanita yang kehilangan kedua-dua kakinya.

"Ini adalah satu lagi usaha pemberontak untuk membuat kacau-bilau," kata Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak, pemerintah tentera di wilayah selatan. "Kita masih belum tahu motif sebenar tetapi tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk ia berkaitan rundingan damai."

Pada Mei 2018, pegawai kerajaan Thailand turut menuding jari kepada kumpulan pemberontak selepas 16 bom paip meledak di beberapa lokasi di Selatan Thailand dalam satu serangan terancang. Pihak berkuasa Thailand berkata letupan itu berniat untuk mengganggu rundingan damai yang sedang berlangsung serta bulan Ramadan.

Pada Ogos 2019 pula, dua lelaki dari wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbangsa Melayu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan letupan sembilan bom di Bangkok pada bulan sama ketika Thailand menganjurkan Forum ASEAN, satu mesyuarat keselamatan antarabangsa peringkat tinggi. Empat individu cedera dalam serangan itu.

Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha menyifatkan serangan yang berlaku sebagai keterlaluan dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan serta menahan semua suspek secepat mungkin, menurut jurucakap beliau.

"Semua pelaku serangan ini mesti diheret ke muka pengadilan bagi menghadapi tindakan undang-undang yang paling berat," kata Thanakorn Wangboonkongchana.

"Beliau juga menasihati semua pegawai supaya mengamalkan sikap lebih berhati-hati ketika menjalankan siasatan dan mengutamakan keselamatan nyawa serta harta benda penduduk tempatan, dan meningkatkan tahap keselamatan sekiranya perlu," katanya kepada wartawan di Bangkok.

220817-TH-inside-DeepSouth.jpg

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran akibat bom api di kedai serbaneka 7-Eleven di Yaha, sebuah daerah di Yala, Selatan Thailand, 17 Ogos 2022. [BenarNews]

Sehingga malam Rabu, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbaru di Selatan Thailand itu. BRN belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen segera daripada mereka. PULO, sebuah lagi kumpulan pemberontak yang dipersalah atas beberapa siri serangan sebelum ini, pula menafikan penglibatan mereka dalam serangan terbaharu itu.

"Saya tidak tahu siapa yang melakukan serangan tersebut. Mengenai laporan bahawa pihak berkuasa Thailand telah menangkap anggota PULO, saya perlu melakukan semakan mengenai perkara itu," kata Kasturi Mahkota, ketua PULO, kepada BenarNews.

Menurut Pramote, dua daripada serangan terbaharu itu berlaku di Pattani, enam di Yala dan sembilan di Narathiwat. Serangan terburuk berlaku di stesen minyak Bang Chak di daerah Nong Chik, Pattani, yang hangus terbakar, kata beliau.

"Adalah jelas bahawa pemberontak kekal komited menggunakan kekerasan terhadap orang awam, merosakkan keyakinan terhadap ekonomi, mewujudkan ketidaktentuan dan melemahkan sistem kerajaan," katanya.

Kumpulan pemisah telah melancarkan serangan bersenjata di Selatan Thailand sejak seabad lepas bagi melawan kerajaan Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Selatan Thailand adalah wilayah yang bersempadan dengan Malaysia dan meliputi Pattani, Narathiwat, beberapa kawasan di Yala serta empat daerah di Songkhla.

Kawasan itu merupakan antara lokasi termiskin di Thailand.

Selepas serangan pada Rabu, seorang aktivis hak asasi penganut agama Buddha menggesa agar kumpulan pemberontak dan pihak kerajaan Thailand menjalin kerjasama dengan penduduk tempatan dalam usaha mencapai kedamaian.

"Kami menyeru Thailand dan BRN supaya mencapai persetujuan untuk mengurangkan keganasan di wilayah tersebut secepat mungkin," kata wakil kumpulan Buddhist for Peace di Yala, Rukchart Suwan kepada BenarNews.

Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam insiden keganasan di serata wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.