Thailand Umum Tangkap Tujuh Lagi Suspek Terlibat Letupan Bom
2019.08.06
Bangkok & Pattani, Thailand
Pihak berkuasa Thailand pada Selasa mengumumkan penahanan tujuh lagi suspek yang mempunyai kaitan siri pengeboman di sekitar Bangkok minggu lepas dengan sebuah badan pemikir tempatannya, Deep South Watch berkata, kumpulan militan terbesar selatan berkemungkinan bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Penahanan tujuh suspek itu menjadikan kesemuanya sembilan orang ditangkap, dengan dua lelaki telah ditahan beberapa jam sebelum tercetusnya siri letupan itu, semasa mereka dalam perjalanan ke selatan dari Bangkok, pada Jumaat lalu.
Sembilan peranti kecil meletup di lima lokasi di sekitar ibu kota Thailand, di mana para pegawai mengatakan ianya adalah cubaan untuk menggangu sidang kemuncak Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Mesyuarat Menteri-Menteri dan Mesyuarat Berkaitan, semasa Bangkok menjadi tuan rumah.
Empat kecederaan dilaporkan tetapi tiada kemalangan jiwa akibat daripada kejadian siri letupan itu, demikian menurut pegawai kerajaan.
"Jumlah bilangan suspek yang ditahan adalah sembilan orang pada hari ini. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut dan akan membawa mereka ke muka pengadilan melalui proses penghakiman," kata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha kepada pemberita pada Selasa.
Pada Isnin, Prayuth berkata lebih daripada 10 orang dipercayai terlibat dalam siri pengeboman itu.
Prayuth dan jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat tidak menamakan ketujuh-tujuh suspek yang ditahan itu atau memberi maklumat sebab kenapa mereka ditahan.
"Kerjasama pegawai antara agensi telah membantu kepada kejayaan menahan dua suspek dalam tempoh 24 jam, dan mereka kemudiannya dapat menangkap tujuh lagi. Kesemua suspek yang disyaki terlibat itu kini sedang disiasat," kata jurucakap wanita kerajaan Thailand itu, Narumon Pinyosinwat kepada pemberita.
‘Kita tidak boleh menolak motif politik’
Pegawai sebelum ini mengumumkan bahawa mereka telah mengambil sampel DNA dari dua suspek pertama dan sedang menjalankan ujian untuk dipadankan dengan DNA ditempat kejadian.
Dua lelaki dikenali sebagai Wildar Maha, 29, dan Lu-Ai Sae Ngae, 23, telah ditahan di wilayah Chum Phon di selatan Thailand pada lewat Khamis lalu, kata pihak berkuasa negara itu.
Polis mendakwa kedua-dua mereka telah dilihat cuba menanam kotak yang mengandungi litar elektrik dan bebola galas tetapi tiada bahan letupan di luar bangunan Biro Polis Negara di Bangkok oleh kamera pengawasan pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Deep South Watch, sebuah badan pemikir di universiti terkemuka di selatan Thailand, memberitahu BeritaBenar bahawa kumpulan militan terbesar di wilayah itu, Barisan Revolusi Nasional (BRN), bermungkinan bertanggungjawab terhadap serangan tu.
"1 Ogos adalah hari lahir BRN dan terdapat keganasan di selatan Thailand sepanjang hari. Ia mungkin telah merebak ke Bangkok untuk menujukkan potensi kumpulan itu dalam menarik perhatian kerajaan dan orang ramai beralih kepada isu selatan," kata Srisompob Jitpiromsri.
"Tetapi kita juga tidak boleh menolak motif politik," tambahnya.
Jumaat lalu, Zachary Abuza, seorang penganalisa keselamatan Amerika yang pakar mengenai Asia Tenggara, berkata beliau tidak percaya terdapat kaitan antara pemberontak selatan Thailand dengan pengeboman di Bangkok.
Letupan "tidak mempunyai hubungan dengan pemberontak di #DeepSouth, yang mempunyai pengebom sendiri," katanya dalam catatan Twitter.
Pemberontak selatan jarang melancarkan serangan di luar wilayah selatan negara itu, di mana mereka hanya melakukan serangan kecil-kecilan tetapi berterusan sejak 2004.
Selatan Thailand terletak bersempadan dengan Malaysia dan meliputi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu, sejak pemberontakan tercetus kembali pada awal 2004.