Letupan besar bom trak cederakan berpuluh orang di Selatan Thailand

Pihak berkuasa menyalahkan pemberontak bagi kejadian letupan di Narathiwat, yang turut menyebabkan seorang pegawai polis terbunuh.
Matahari Ismail & Mariyam Ahmad
2022.11.22
Narathiwat & Pattani, Thailand
Letupan besar bom trak cederakan berpuluh orang di Selatan Thailand Anggota bomba memadamkan kebakaran manakala anggota skuad bom polis memeriksa tempat kejadian selepas satu bom trak meletup di sebuah bangunan pangsapuri yang menempatkan kuarters polis di Narathiwat, Selatan Thailand, 22 Nov. 2022.
[BenarNews]

Satu letupan bom trak di luar sebuah pangsapuri yang menempatkan kuarters polis menyebabkan seorang anggota polis terbunuh dan mencederakan lebih 30 orang lain termasuk kanak-kanak berusia setahun di Selatan Thailand yang bergolak pada Selasa, kata pihak berkuasa.

Rakaman kamera litar tertutup mengesan sekurang-kurangnya dua suspek berada di tempat kejadian, beberapa saat sebelum sebuah trak pikap yang dipasang bom meletup berhampiran bangunan yang menempatkan seramai 50 pegawai polis dan keluarga mereka di Mueang Narathiwat, iaitu daerah di wilayah Narathiwat, kata ketua balai polis wilayah tersebut. 

"Lelaki berkemeja kolar kelabu dengan pistol di sarung pinggangnya keluar dari trak pikap itu sebelum membonceng sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki lain dan melarikan diri dari tempat kejadian," kata ketua balai Narathiwat Kolonel Polis Jeffrey Salaimankul. 

Letupan itu adalah yang terbesar menggegarkan Selatan Thailand selepas beberapa siri serangan bom api dan pembakaran pada minggu lalu, dengan pegawai-pegawai Thailand mendakwa pemberontak pemisah di wilayah sempadan bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan. 

Polis mengenal pasti pegawai balai Narathiwat yang terbunuh sebagai Kapten Suthirak Pantaniya. Sekurang-kurangnya 31 orang yang cedera dalam letupan pada Selasa sedang dirawat di Hospital Narathiwat, kata pegawai sambil memberitahu bahawa kecederaan mereka tidak mengancam nyawa. 

Kira-kira 10 trak bomba serta skuad bom dan pekerja penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran, memeriksa lokasi dan membawa mangsa yang cedera ke hospital, kata polis. 

Anggota skuad bom menemui saki baki bom buatan sendiri yang seberat 50 kilogram (110 paun) dalam serpihan letupan trak itu, kata polis sambil memberitahu bahawa serpihan turut ditemukan sejauh 200 meter (656 kaki) dari lokasi letupan.

Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah bersenjata paling berkuasa di Selatan Thailand, enggan mengulas mengenai serangan pada Selasa. Pertubuhan rahsia yang terkenal itu enggan mengaku bertanggungjawab bagi serangan-serangan yang berlaku.

Seorang pegawai keselamatan, yang enggan namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan pemberita, memberitahu BenarNews bahawa pengeboman tersebut menyusuli pembunuhan seorang pemberontak di Nong Chik, sebuah daerah di wilayah Pattani, Selatan Thailand pada dua minggu lalu.

Sementara itu, jurucakap komando tentera wilayah berkata bahawa pengeboman tersebut sepadan dengan satu corak.

“Semua orang tahu puncanya. Pelaku sentiasa cuba melakukan keganasan seperti kes lain yang turut melibatkan kecurian kereta dan pengeboman kereta,” kata Kolonel Kiatisak Neewong, jurucakap ISOC-4 tentera di Selatan Thailand. 

Sejak pemberontakan pemisah tercetus di Selatan Thailand pada Januari 2004, sekurang-kurangnya 7,344 orang terbunuh dan 13,641 cedera dalam keganasan di seluruh wilayah sempadan itu, yang kebanyakannya beragama Islam dan berbahasa Melayu, menurut data yang dikemas kini sehingga Mac 2022 oleh Deep South Watch, iaitu badan pemikir tempatan. 

Kawasan-kawasan berkenaan merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. 

Pegawai Thailand dan BRN memulakan rundingan damai yang diusahakan Malaysia pada awal 2020 – berikutan perbincangan bertahun-tahun antara kerajaan dan MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang menyatukan kumpulan pemberontak Selatan Thailand termasuk BRN. 

Rundingan bersemuka keenam, yang dijadualkan pada bulan ini, telah ditangguhkan kerana pilihan raya umum Malaysia pada hujung minggu lalu, menurut perunding kedua-dua pihak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.