Pemberontak Tegar BRN Mungkin Sertai Rundingan Damai Selatan Thailand, Kata Pegawai Malaysia

Noah Lee & Nisha David
2019.12.02
Kuala Lumpur, Malaysia
191202-TH-talks-620.jpg Polis memeriksa pusat pemeriksaan keselamatan selepas berlakunya serangan tembakan maut di Yala, sebuah wilayah bergolak di Selatan Thailand, 6 November, 2019.
(AP)

Pemberontak tegar dari Selatan Thailand yang enggan mengambil bahagian dalam usaha baru rundingan damai telah mengadakan perbincangan ‘pintu belakang’ dengan para pegawai Thailand dan mungkin sedia tampil ke meja rundingan, kata sumber kerajaan Malaysia dan seorang jurucakap pemberontak kepada BeritaBenar.

Seorang pegawai kerajaan Malaysia, yang terlibat dengan usaha memudahkan rundingan damai itu sejak 2015, berkata para pegawai difahamkan pada minggu lalu tentang satu pertemuan di Berlin antara perunding kerajaan Thailand dan wakil dari Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN), kumpulan pemberontak pemisah terbesar dan paling kuat di wilayah sempadan Selatan Thailand.

"Kami menerima maklumat mengenai pertemuan ini daripada pihak kerajaan Thailand minggu lepas,” kata ahli Majlis Keselamatan Negara Malaysia Mohd Fadli Jamaludin kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beliau berkata pertemuan di ibu negara Jerman itu menyusuli beberapa perbincangan di antara kedua-dua kumpulan itu yang diusahakan oleh pihak ketiga, yang merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa, tetapi Malaysia tidak pernah dirujuk berhubung mesyuarat Berlin sebelum ini.

"Fasilitator kerajaan Malaysia sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai wujudnya saluran pintu belakang ini," kata Mohd Fadli, yang turut berkhidmat dalam kumpulan kerja bersama proses dialog damai di Selatan Thailand.

Kuala Lumpur "tidak mengiktiraf penglibatan" pihak antarabangsa lain "dalam proses dialog damai rasmi," katanya.

Kerajaan Thailand terlibat secara rasmi sejak Ogos 2015 dalam rudingan dengan MARA Patani, sebuah panel yang mewakili pelbagai kumpulan dan puak pemberontak wilayah selatan dalam perbincangan itu, termasuk sayap politik BRN. Hampir 7,000 orang terbunuh dalam keganasan di sekitar wilayah Selatan Thailand yang diduduki oleh majoriti orang Islam dan berbahasa Melayu sejak pemberontakan pihak pemisah kembali tercetus pada 2004.

Semasa beliau memperkenalkan diri dan pasukannya pada Jumaat, Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ketua perunding baru Thailand dalam perbincangan dengan MARA, memberitahu sidang berita di Bangkok bahawa beliau melihat kemungkinan berlakunya perubahan dalam  rakan dialog proses damai itu.

Setelah tertangguh berbulan-bulan lamanya, rundingan rasmi itu yang dipermudahkan oleh negara jiran, Malaysia, masih belum mencapai sebarang kejayaan dan terikat dengan dakwaan bahawa para pemimpin tegar BRN, yang mengetuai gerila di lapangan, tidak mahu mengambil bahagian dan menyokong usaha damai itu.

Pada Isnin, BeritaBenar menghubungi fasilitator Malaysia bagi rundingan damai itu, Abdul Rahim Noor, untuk meminta beliau mengesahkan sama ada sayap ketenteraan BRN akan mengambil bahagian dalam rundingan damai itu selepas lebih empat tahun memerhati dari luar.

"Begitulah nampaknya," jawab Abdul Rahim semasa dihubungi melalui telefon. "Saya tahu dan saya telah dimaklumkan. Ini adalah langkah yang baik. "

Awal bulan ini, dua sumber Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa sayap tentera kumpulan pemberontak itu bersetuju untuk mengambil bahagian dalam perbincangan dengan Wanlop dan Abdul Rahim. Pelantikan Wanlop sebagai ketua delegasi kerajaan Thailand telah diumumkan pada September manakala Abdul Rahim dilantik pada Ogos 2018.

"Apabila tiadanya komitmen daripada sayap tentera dan hanya sayap politik yang terlibat, oleh itu keganasan dan apa yang dibincangkan di  meja rundingan tidak dapat diselaraskan," kata seorang pegawai kerajaan Malaysia yang tahu tentang perkara itu, namun enggan  namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap secara terbuka mengenainya.

"Bagaimanapun, kali ini, ia akan dipimpin oleh apa yang kita boleh panggil sebagai tegar BRN, iaitu sayap tentera yang mempunyai kuasa di lapangan dan bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku," kata sumber kepada BeritaBenar.

Sumber itu berkata pemimpin BRN mungkin menyertai rundingan berkenaan kerana mereka memilih Wanlop dan Abdul Rahim berbanding mereka yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

"Mungkin kerana ia berkaitan kewibawaan Abdul Rahim sebagai bekas ketua polis negara dan pendekatan yang digunakannya semasa beliau menjadi ketua utama polis Malaysia," kata pegawai itu.

"Dan kedua, pelantikan Jeneral Wanlop sebagai ketua perunding - para pejuang kemerdekaan merasa lega apabila mendengar bahawa Udomchai telah dikeluarkan daripada perbincangan itu," kata pegawai tersebut. Beliau merujuk kepada Jeneral Bersara Udomchai Thammasarorat, yang mengetuai rundingan itu bermula pada Oktober 2018 tetapi meletak jawatan pada awal tahun ini selepas dilantik sebagai senator.

Sementara itu, MARA Patani tidak diketuai oleh perunding utama berikutan peletakan jawatan Shukri Hari pada Mei lalu.

Abdul Rahim berkata beliau tidak tahu siapa yang akan mengambil alih peranan Shukri dalam rundingan itu.

"Ya, kita tahu tentang Sukree tetapi saya tidak tahu siapa yang akan menggantikannya. Ini sebahagian daripada politik dalaman mereka," katanya kepada BeritaBenar. "Saya yakin mereka telah memilih seseorang untuk menggantikannya."

Walaupun kekurangan pemimpin yang diumumkan, MARA Patani akan terlibat dalam rundingan itu dan kehadiran BRN yang lebih kuat pastinya dialu-alukan, kata jurucakap bagi panel itu.

"MARA Patani telah pun berada di meja rundingan dan kami menjangka BRN utama untuk menyertai kami," kata jurucakap Abu Hafez Al-Hakim kepada BeritaBenar. "Usaha penggabungan kami sedang dibincangkan dan apabila ia selesai dilakukan, kami akan mengumumkannya kepada semua."


Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur dan Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.