Rundingan Thailand-BRN: Malaysia Jangka Masalah Selatan Thailand Dapat Diselesaikan Dalam Masa 2 Tahun
2022.01.12
Kuala Lumpur
Selepas dua hari pegawai Thailand dan pemberontak pemisah BRN mengadakan rundingan secara bersemuka, fasilitator Malaysia bagi dialog damai itu pada Rabu berkata bahawa pemberontakan di Selatan Thailand, yang majoriti penduduknya adalah Muslim, akan dapat diselesaikan dalam masa sekurang-kurangnya dua tahun.
Namun, kedua-dua pihak yang buat kali pertamanya bertemu sejak 2020, bersetuju dengan rancangan tiga perkara termasuk langkah mengurangkan keganasan sebagai asas untuk rundingan seterusnya bagi menamatkan pemberontakan sejak berdekad lalu yang diterajui oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN), kata seorang pegawai Thailand.
Fasilitator Malaysia, Abdul Rahim Noor, yang mewakili kerajaannya dan menerajui rundingan itu, berkata perbincangan pada Rabu telah dijalankan dengan lancar dan aman.
"Kedua-dua pihak akhirnya bertemu secara bersemuka selepas tidak dapat berbuat demikian selama hampir dua tahun," kata Abdul Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara Malaysia, kepada BenarNews dalam satu temu bual eksklusif.
“Perbincangan dilakukan secara aman dan dikendalikan dalam tiga bahasa - Thai, Inggeris dan Melayu. Saya bercakap dalam bahasa Inggeris, yang diterjemahkan ke bahasa Thai untuk kerajaan Thailand dan bahasa Melayu untuk wakil BRN kerana mereka lebih selesa bercakap dalam bahasa Melayu."
Rahim Noor enggan memberi butiran lanjut mengenai rundingan itu, yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
“Saya tidak boleh berkongsi perkara itu. Tetapi, saya boleh memberitahu anda bahawa kedua-dua pihak berminat untuk mencari penyelesaian bagi keadaan di Selatan Thailand," katanya.
“Hanya penyelesaian politik boleh menyelesaikan keadaan di Selatan Thailand, tetapi mencari penyelesaian yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak akan mengambil. Sekurang-kurangnya dua tahun lagi."
Di pihak kerajaan Thailand, seorang pegawai tentera yang rapat dengan panel rundingan damai itu, berkata bahawa delegasi Thailand dan wakil BRN telah bersetuju dengan "rangka kerja tiga perkara yang akan digunakan sebagai pelan tindakan bagi perbincangan selanjutnya."
"Rangka kerja itu merangkumi langkah mengurangkan keganasan, penyertaan politik dan mekanisme perbincangan di wilayah [Selatan Thailand]," menurut satu kenyataan daripada sumber berkenaan, yang enggan namanya disiarkan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan media.
BenarNews cuba mendapatkan komen Anas Abdulrahman (alias Hipni Mareh) dari BRN selepas mesyuarat itu berakhir tetapi beliau enggan mengulas.
Dialog kali ini, yang bermula pada petang Selasa, selesai diadakan pada petang Rabu selepas lapan jam perbincangan, kata seorang pegawai keselamatan Malaysia yang terlibat dalam mesyuarat itu kepada BenarNews. Beliau enggan namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.
Selatan Thailand merangkumi wilayah Patani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terkorban dan 13,500 yang lain pula cedera dalam keganasan di seluruh wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Gerakan pemisah bersenjata itu menentang kerajaan Thailand, yang majoriti penduduknya adalah Buddha, sejak 1960-an. Tuntutan utama gerakan itu ialah mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah tersebut.
Proses damai secara rasmi untuk menyelesaikan isu itu diadakan mulai 2013 namun, ia tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
Para pegawai forensik memeriksa kawasan di mana suspek pemisah melemparkan bom ke pangkalan sukarelawan pertahanan awam di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 23 April 2021. [AFP]
Cadangan ‘Patani Darussalam’
Jeneral Wanlop Rugsanaoh merupakan ketua panel rundingan damai yang mengetuai delegasi 10 anggota Thailand termasuk pegawai dari Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur. Pasukan BRN yang dianggotai tujuh ahli pula diketuai oleh Anas.
"Wakil dari majlis keselamatan negara Thailand serta Pejabat Peguam Negara Thailand juga berada di sini," kata fasilitator Malaysia Rahim Noor.
Fasilitator berkenaan adalah antara 10 pegawai dari Cawangan Khas, agensi perisikan Polis Diraja Malaysia yang turut menyertai rundingan damai itu.
Dua sidang media berasingan dijadual diadakan pada Khamis oleh Malaysia dan pemberontak BRN. Sumber kerajaan Thailand berkata panel itu akan mengadakan sidang media pada Sabtu, 15 Jan.
Rahim Noor berkata kedua-dua pihak itu juga membincangkan cadangan BRN mengenai pembentukan sebuah autonomi "Patani Darussalam".
Satu laporan yang diterbitkan minggu lalu oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura menyatakan bahawa BRN telah "mencadangkan penubuhan 'Patani Darussalam' yang berautonomi.' Cadangan itu menyatakan bahawa di wilayah Selatan Thailand itu, masyarakat Patani berhak untuk membentuk sistem pendidikan dan ekonomi mereka selain bahasa dan identiti Melayu masyarakat itu akan diiktiraf dan dipelihara secara rasmi.
Rahim Noor pada Rabu berkata bahawa Bangkok perlu berunding dengan banyak pihak sebelum ia boleh bersetuju dengan cadangan kumpulan pemberontak itu.
“Kerajaan Thailand adalah satu-satunya entiti yang boleh menyelesaikan keadaan di Selatan Thailand,” katanya.
Mariyam Ahmad di Pattani turut menyumbang kepada laporan ini.