Follow us

Selatan Thailand: Ideologi Pemberontak BRN, Negara Islam Tidak Secocok, kata Pakar

Amy Chew
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-28
E-mel
Komen
Share
Anggota Angkatan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish yang disokong Amerika Syarikat membawa seorang lelaki yang disyaki menjadi pejuang Negara Islam (IS) selepas meninggalkan kubu terakhir kumpulan ekstremis itu di timur Syria, 5 Mac 2019.
Anggota Angkatan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish yang disokong Amerika Syarikat membawa seorang lelaki yang disyaki menjadi pejuang Negara Islam (IS) selepas meninggalkan kubu terakhir kumpulan ekstremis itu di timur Syria, 5 Mac 2019.
[AFP]

Ketika rantau Asia Tenggara yang majoriti penduduknya beragama Islam bergelut dalam menangani isu golongan ekstremis yang kembali ke tanah air masing-masing selepas kejatuhan kerajaan khalifah kumpulan Negara Islam di Timur Tengah, selatan Thailand mampu menarik nafas lega kerana tidak berdepan dilema itu memandangkan tidak ada rakyatnya yang berhijrah untuk berjihad di Syria dan Iraq.

Menurut aktivis Islam dari kawasan sempadan  selatan Thailand, pemberontakan bersenjata yang berterusan oleh etnik Melayu bagi menentang kerajaan majoriti Buddha dalam usaha mendapatkan autonomi lebih besar, telah menjadi benteng terhadap pengaruh IS.

“Tidak seorangpun dari penduduk di selatan Thailand yang menyertai Negara Islam,” kata Suhaimee Dulasadari The Pattani, sebuah kumpulan aktivis sosial yang berpangkalan di Pattani, antara wilayah bergolak di kawasan selatan Thailand, kepada BeritaBenar semasa berkunjung ke Kuala Lumpur minggu ini.

“Tidak perlu menyertai IS untuk berjihad. Sesiapa yang ingin berjihad untuk Islam boleh menganggap diri mereka memenuhi tuntutan itu dengan menyertai Barisan Revolusi Nasional (BRN),” kata Suhaimee.

BRN merupakan kumpulan pemberontak terbesaar di selatan Thailand. Ia memiliki keupayaan ketenteraan terkuat dan  menguasai hampir semua pejuang di medan peperangan. Sejak 2004, keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan di kawasan selatan Thailand  telah meragut hampir 7,000 nyawa.

“BRN telah menjadi benteng terhadap pengaruh IS di selatan Thailand,” kata Suhaimee.

Pada 23 Mac, Angkatan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish yang disokong Amerika Syarikat telah mengisytiharkan bahawa pemerintahan khalifah IS selama lima tahun telah berakhir selepas tewas di Syria.

Beribu-ribu pejuang asing telah menyerah diri kepada SDF semasa sesetengah kerajaan menimbangkan untuk melucutkan hak kewarganegaraan mereka, menurut laporan berita dari Timur Tengah dan di tempat lain.

Penduduk Asia Tenggara dari Malaysia, Indonesia dan selatan Filipina adalah antara beratus-ratus pejuang asing yang berhijrah ke Syria dan Iraq  untuk berjihad demi IS, kata para pegawai.

“Kami di Pattani tidak berpegang kepada jihad Salafi. Kami adalah umat Islam yang mengikuti fahaman mazhab Syafie. Kami percaya kepada Wasatiyah, iaitu Jalan Tengah,” kata Asmadee Bueheng, juga dari The Pattani, kepada BeritaBenar.

Sementara itu, para penganalisis dan pegawai Thailand berkata sebelum ini tiada bukti mengenai kewujudan IS di kawasan selatan Thailand namun ini tidak bermakna tiada percubaan untuk berbuat demikian.

Pada Disember 2015, para penyokong Negara Islam di Thailand telah memuat naik secara online video-video propaganda IS dengan sari kata bahasa Thai. Ia merupakan usaha pertama untuk merekrut pejuang tempatan bagi memperjuangkan ideologi ganasnya, kata seorang pegawai keselamatan kanan Thailand.

“Terdapat kaitan antara golongan yang bersimpati dengan IS di dalam dan di luar Thailand,” kata sumber tersebut kepada Berita Benar ketika itu.

Bagaimanapun, Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, seorang pegawai atasan tentera darat yang menggunakan nama lain bagi IS, berkata ketika itu tiada “laporan bahawa penduduk asal di pedalaman selatan Thailand menyertai ISIS.”  

Pada November 2017 pula, Kumpulan Krisis Antarabangsa yang berpangkalan di Brussels telah menerbitkan satu kajian yang merumuskan bahawa kumpulan pengganas Timur Tengah itu tidak berjaya menembusi kawasan selatan Thailand. Pergerakan pemisah bersenjata Melayu-Islam di sana iaitu ICG berkata perjuangan mereka amat berbeza daripada ideologi ektremis yang dipelopori IS.

‘Bukan pergerakan jihad antarabangsa’

Tidak seperti selatan Filipina yang menyaksikan beberapa kumpulan pemberontak yang berikrar untuk taat setia kepada IS semasa pemerintahan khalifahnya, kumpulan pemberontak terbesar di selatan Thailand, BRN, menolak trend itu.

“Ini adalah pergerakan etno-nasionalistik, bukan pergerakan jihad antarabangsa. Mereka tidak percaya pada khalifah global. Perjuangan mereka bersifat tempatan,” kata Don Pathan, seorang penganalisis bebas dan kolumnis BeritaBenar.

Selain perjuangan BRN dan ciri kesederhanaan Islam yang diamalkan penganut agama itu di selatan Thailand, naratif budaya turut menjadi satu lagi faktor penting, jelas beliau.

“Saya akan meletakkan kepentingan yang sama ke atas naratif budaya dan sejarah penduduk Patani yang menjadi benteng asli terhadap idea-idea ektremis atau idea yang condong kepada fahaman Salafi daripada menembusi minda mereka,” kata Pathan kepada BeritaBenar.

“Pada asasnya naratif itu ialah – Pattani adalah tanah air penduduk Melayu, mereka mempunyai sejarah, mitos dan kisah dongeng sendiri yang membezakan mereka daripada naratif yang dibina oleh negara Thailand,” kata Pathan.

Percubaan lampau oleh kumpulan ektremis lain termasuk Jemaah Islamiyah (JI), yang merupakan sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara, untuk merekrut orang Melayu Pattani juga berdepan kegagalan, katanya.

“Ketika JI begitu terkenal di Asia Tenggara selepas pengeboman Bali pada 2002, meeka (orang Melayu Pattani) boleh menyertai JI namun mereka tidak berbuat demikian,” kata Pathan.

Dikehendaki di Malaysia

Meskipun tidak ada orang Melayu Pattani yang diketahui berhijrah ke Syria, sekurang-kurangnya seorang dipercayai telah berjaya dipengaruhi IS, menurut para pegawai di Malaysia, yang berkongsi sempadan dengan selatan Thailand.

Pada April tahun lepas, polis Malaysia telah meletakkan seorang rakyat Thai yang berasal dari selatan negara itu, Awae Wae-Eya, 37, dalam senarai dikehendaki atas dakwaan merancang serangan ganas di negeri Johor, Malaysia. Dia dipercayai mempunyai hubungan dengan IS di Syria ketika itu.

Polis Malaysia berkata Awae dan tiga lagi suspek yang dikaitkan dengan IS terlibat dalam satu plot untuk menculik dan membunuh anggota polis selain menyerang tempat ibadat bukan Islam.

Pihak berkuasa Thailand, yang menahan Awae sebelum membebaskannya selepas disoal siasat pada April 2018, bagaimanapun menolak dakwaan Malaysia bahawa dia mempunyai hubungan dengan IS.

Lihat Laman Penuh