Follow us

Thailand 'Tidak Punya Kesungguhan' Berunding Dengan Pemberontak Selatan, Kata Pemimpin BRN

Oleh Nani Yusof
Narathiwat, Thailand & utara Malaysia
2019-07-17
E-mel
Komen
Share
Shukri Hari semasa bergambar di sebuah kafe di bahagian utara Malaysia, 9 Jun, 2019.
Shukri Hari semasa bergambar di sebuah kafe di bahagian utara Malaysia, 9 Jun, 2019.
[Nani Yusof/BeritaBenar]

Perunding utama bagi pemberontak Islam yang berjuang untuk mendapatkan sebuah negeri berasingan di Selatan Thailand, telah mengecam kerajaan negara itu dengan menuduhnya sebagai tidak ikhlas dan berbeza pendapat dalam rundingan damai yang diusahakan sejak empat tahun lalu.

Shukri Hari mengetuai delegasi pemberontak dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand sejak 2015 hingga Mei, sebelum beliau menarik diri atas faktor kesihatan. Beliau adalah antara tiga individu yang menyertai rundingan itu bagi pihak BRN [Barisan Revolusi Nasional], yang dikatakan sebagai kumpulan pemberontak paling besar dan berkuasa yang berjuang di Selatan Thailand.

"Kerajaan Thailand tidak ada kesungguhan dalam menyelesaikan konflik di Patani. Rundingan yang telah diadakan itu adalah satu taktik untuk membuang masa orang Patani Melayu," kata Shukri, yang merujuk kepada tiga wilayah di selatan Thailand dan etnik Melayu yang menduduki kawasan itu.

"Apa yang telah dipersetujui bersama di meja rundingan, pihak Thailand tidak sanggup menandatanganinya, dan itu adalah bukti jelas bahawa pihak Thailand berpura-pura dalam rundingan itu, dan mempermainkan masa," katanya dalam satu temu bual di sebuah lokasi di utara Malaysia baru-baru ini. Beliau enggan lokasi itu dinyatakan.

MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan dan puak pemisah dalam rundingan yang diusahakan Malaysia itu, belum lagi menamakan pengganti Shukri, kata jurucakapnya.

"Kami perlu menunggu nama-nama yang dicadangkan oleh BRN. Shukri Hari perlu menghadiri mesyuarat yang akan datang dan menyatakan pandangannya... sekiranya beliau tekad untuk tidak lagi mengetuai panel dialog Mara, BRN perlu menamakan penggantinya," kata Abu Hafez Al-Hakim kepada BeritaBenar dalam satu mesej teks.

Perubahan wakil dalam rundingan damai itu adalah yang terbaharu selepas Thailand menggantikan perundingnya pada Oktober 2018, dan Malaysia menamakan fasilitator baru pada Ogos tahun itu.

Rundingan itu, yang dimulakan pada 2015 semasa di bawah pemerintahan junta yang mentadbir Thailand sehingga awal bulan ini, telah ditangguhkan dan satu-satunya hasil yang diputuskan - gencatan senjata yang dicadangkan di satu wilayah atau dikenali sebagai "zon keselamatan" - tidak pernah dilaksanakan.

Rundingan itu terpalit dengan dakwaan bahawa pemimpin pemberontak yang berhubung dengan pejuang di lapangan tidak terlibat dalam rundingan itu dan tidak menyokong usaha itu. Namun, Shukri menafikan dakwaan itu.

"BRN adalah BRN ... isu yang mengatakan BRN yang sebenar atau tidak adalah hanya bertujuan untuk memecahbelahkan BRN di mata rakyat Patani supaya mereka hilang keyakinan terhadap BRN," katanya.

'BRN tidak pernah menonjolkan dirinya'

Shukri enggan menjawab apabila ditanya sama ada BRN bertanggungjawab bagi serangan yang berlaku di Selatan sejak beberapa tahun ini, yang sehingga kini belum ada kumpulan yang mengaku melakukannya tetapi, kebiasaannya, pasukan keselamatan Thailand meletakkan kesalahan itu di bahu pihak "penentang". Wilayah itu berada di bawah undang-undang tentera hampir berterusan sejak 2004.

Dalam serangan terbaru pada Rabu, tiga anggota tentera yang melakukan rondaan di jalan raya di daerah Bacho, wilayah Narathiwat, cedera parah apabila mereka yang disyaki pemberontak meletupkan sebutir bom, kata pihak berkuasa.

"Penyerang itu yang bersembunyi di kawasan tersebut telah meletupkan bom dengan peranti radio," kata Kapten Polis Paiboon Keudam kepada BeritaBenar. "Kami percaya, suspek pemberontak mahu mencetuskan ketegangan di kawasan itu."

Pada Isnin, tiga anggota marin cedera dalam serangan bom tepi jalan di daerah yang sama ketika dalam perjalanan menaiki kenderaan berperisai ringan.

Penganalisis berkata BRN adalah sebuah kumpulan rahsia di mana sel-sel beroperasi secara bebas dan pemimpin kumpulan itu hanya tahu tentang sesuatu serangan selepas ia dilakukan.

"Itulah cara ia berstruktur. Sangat mudah. Thailand boleh menumpaskan satu sel tetapi tidak dapat menemui sel yang lain," penganalisis keselamatan Don Pathan, seorang pakar tentang Selatan Thailand, memberitahu wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa dalam satu wawancara mengenai konflik pada tahun lalu.

"Pemberontak adalah sebahagian daripada masyarakat... mereka berada di mana-mana sahaja dan bukannya setempat. Dan mereka mempunyai banyak peranan. Pada satu ketika, dia sedang menoreh getah atau memberi ayam makan, dan pada ketika seterusnya dia meletupkan bom di tepi jalan dan kemudian melakukan serangan senjata," katanya.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, BeritaBenar bertanya kepada Areepen Utarasint, seorang bekas Ahli Parlimen selama sembilan penggal yang mewakili wilayah Narathiwat di Selatan Thailand, sekiranya penduduk di sana menyokong BRN. "Bagaimana mereka tahu dan menyokong BRN? Ini kerana BRN tidak pernah pun menonjolkan dirinya," katanya.

'Kami masih jalankan rundingan damai'


Sementara itu, pegawai-pegawai Thailand menegaskan bahawa perbincangan masih dijalankan di pelbagai peringkat walaupun mesyuarat dengan MARA Patani yang diumumkan secara rasmi diadakan pada 2017.

"Pada masa ini, kami masih menjalankan rundingan damai mengikut strategi negara. Kerajaan Thailand sentiasa memberi peluang kepada semua golongan penentang untuk bersuara, tanpa perlu memaksa sesiapa pun," kata Jeneral Bersara Udomchai Thammasarorat, perunding utama Thailand, kepada BeritaBenar.

"Pada masa ini, rundingan masih dijalankan. Terdapat beberapa kemajuan dengan beberapa kumpulan. Sebaik sahaja rundingan itu selesai, ia akan menjadi rasmi," katanya tanpa mengulas lanjut.

Mejar Jeneral Tira Daewa, pengarah Pusat Operasi Keamanan Pemerintah Keselamatan Wilayah Tentera Keempat (ISOC-4), menyatakan ramai pemberontak tertarik untuk menyerahkan diri melalui rundingan itu dan hanya "sepuluh peratus daripada mereka mahu terus berjuang menggunakan senjata."

“Mengenai Shukri Hari, anda perlu tahu siapa dia. Dia tidak mahu bercakap dengan kami, begitu juga dengan kami. Ada 90 peratus daripada mereka yang mahu berbincang dengan kami," katanya.

Abdul Rahim Noor, fasilitator Malaysia bagi rundinga itu, berkata pada 14 Jun lalu bahawa rundingan akan diteruskan "dalam masa dua minggu" tetapi ia tidak diadakan.

"Nampaknya, segala-galanya masih di awang-awangan; tiada siapa tahu apa yang akan dibincangkan,” kata Pathan, yang juga seorang kolumnis BeritaBenar.

Menurutnya Shukri telah meminta kerajaan Thailand untuk menggugurkan Udomchai sebagai perunding selepas beliau mengetepikan cadangan zon keselamatan dan berhubung dengan jawatankuasa pusat BRN.

"Beberapa minggu yang lalu, Shukri memutuskan untuk meletak jawatan. Pada pandangan saya, kini ada peluang untuk kedua-dua pihak untuk bersepakat setelah Shukri 'penjejas keadaan' tiada lagi di meja rundingan," katanya. "Pendapat kalangan pemimpin MARA Patani dan Thailand adalah, proses damai yang teruk adalah lebih baik daripada tiada langsung proses damai."


Mariyam Ahmad di Patani, Thailand dan Kate Beddall di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh