Follow us

Sempena Ulang Tahun Penubuhannya, BRN Gesa Antarabangsa Beri Sokongan

Staf BeritaBenar
Bangkok, Thailand
2019-03-13
E-mel
Komen
Share
Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong, melutut di hadapan patung Raja Chulalongkorn pada satu upacara mengangkat sumpah di ibu pejabat tentera di Bangkok menjelang pilihan raya umum 24 Mac ini, 7 Mac 2019.
Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong, melutut di hadapan patung Raja Chulalongkorn pada satu upacara mengangkat sumpah di ibu pejabat tentera di Bangkok menjelang pilihan raya umum 24 Mac ini, 7 Mac 2019.
[AFP]

Kumpulan pemberontak terbesar dan paling aktif di Selatan Thailand menyambut ulang tahun ke-59 penubuhannya pada Rabu dengan mengutus pesanan menerusi video yang meminta komuniti antarabangsa membantu menyelesaikan konflik berpanjangan sejak sekian lama itu dan berikrar untuk meneruskan perjuangan pemisahnya.

Pada hari yang sama Barisan Revolusi Nasional (BRN) memuat naik video dalam talian yang berdurasi enam minit itu, Panglima Tentera Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong, mengunjungi wilayah Patani di Selatan Thailand untuk meminta pasukannya supaya menyediakan perancangan luar jangka menjelang pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac ini.

Video BRN itu menampilkan seorang jurucakap sama, yang memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Karim Khalib dalam video-video yang dikeluarkan oleh kumpulan itu pada 2013. Dia bercakap dalam bahasa Melayu dan video itu turut mempunyai sari kata dalam bahasa Inggeris dan Thai.

Sempena ulang tahun penubuhan pertubuhan itu, Abdul Karim berkata, "Di tengah-tengah kesukaran dan harapan untuk menyatupadukan rakyat, BRN ditubuhkan pada 13 Mac 1960 sebagai sebuah pertubuhan bagi meneruskan tuntutan rakyat dan mendapatkan semula hak pemilikan rakyat," menurut sari kata dalam Bahasa Inggeris itu.

"Penubuhan BRN adalah bertujuan untuk menyatukan semua penduduk Patani dalam satu barisan," katanya. "BRN akan menyatupadukan dan mendapatkan kebebasan untuk rakyat, semua kebebasan itu adalah berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diusahakan oleh kerajaan kita yang adil."

Abdul Karim juga meminta bantuan dunia untuk menamatkan konflik itu sambil meminta para penduduk di Selatan Thailand bersabar.

"Keadaan sebenar di Patani pada masa ini adalah berkaitan dengan isu rundingan. Ia bukan tentang proses perundingan kerana Thailand selalunya menafikan dan menolak apabila adanya permintaan yang mengikut cara antarabangsa," kata Abdul Karim.

Komennya dilihat mengulangi tuntutan BRN sebelum ini supaya pertubuhan itu dibenarkan untuk berunding secara langsung dengan kerajaan Thailand dalam rundingan damai yang turut melibatkan komuniti antarabangsa.

Para pemimpin tegar BRN telah menjauhkan diri daripada usaha damai yang diadakan sejak 2015 antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani, sebuah panel yang mendakwa ia mewakili pelbagai kumpulan dan puak pemberontak selatan termasuk BRN.

"Oleh itu, kepada semua rakyat Patani, marilah kita meneruskan perjuangan ini sehingga ke penghujungnya," kata Abdul Karim, semasa mengakhiri kenyataannya dalam video itu. "Bersabarlah dengan kesengsaraan ini, bersabarlah dengan semua kesukaran. Damai yang kekal sedang menanti kita."

Zachary Abuza, penganalisis keselamatan berpejabat di Washington dan penyumbang artikel kepada BeritaBenar, mengulas tentang kemunculan video terkini itu yang disebarkan dalam talian oleh "Jabatan Penerangan" BRN sempena ulang tahun ke-59 penubuhan kumpulan pemberontak itu.

"Ia tidak kedengaran seperti mereka dalam keadaan tertekan dan bersedia untuk berunding, tidak kira apa yang diperkatakan oleh kerajaan #Thai," kata Abuza dalam catatan Twitter pada Rabu.

Berwaspada


Sementara itu, Apirat memberitahu tentera di Patani supaya sentiasa berwaspada kerana pilihan raya umum sudah semakin hampir.

"Kami akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan untuk melindungi sasaran seperti kuil, masjid dan tempat awam yang kelihatan berisiko diserang, sebelum dan selepas pilihan raya," katanya.

Beliau berjanji bahawa pihak tentera akan melindungi para pegawai pilihan raya di stesen-stesen pengundian dan para pengundi semasa mereka ke stesen-stesen berkenaan untuk mengundi.

"Kami juga akan menubuhkan pasukan penempatan pantas untuk menangani situasi dan menguruskan helikopter bagi membawa kertas undi sekiranya pihak suruhanjaya pilihan raya meminta bantuan kami apabila berlakunya kecemasan," katanya.

Kunjungan Apirat ke kem tentera itu dibuat beberapa hari selepas seorang jurucakap tentera memberitahu bahawa pasukan keselamatan di Selatan Thailand kini dalam keadaan kewaspadaan sepenuhnya susulan catatan grafiti ‘Patani 110’, merujuk kepada ulang tahun Perjanjian Inggeris-Siam 1909, yang mula muncul di wilayah ini.

Siam, nama lama bagi Thailand, telah menandatangani perjanjian dengan pihak Britain, yang turut merangkumi pemindahan semua hak perlindungan, pentadbiran dan kawalan ke atas negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan pulau-pulau berdekatan, kepada pihak British.

Selatan Thailand dan dua wilayah berhampiran digegarkan oleh beberapa ledakan bom kecil pada Sabtu dan Ahad ketika wilayah itu meraikan ulang tahun perjanjian itu. Pegawai melaporkan tiada siapa yang cedera akibat letupan itu, tetapi menuduh pemberontak melakukan perbuatan itu, sambil memberitahu bahawa ia tidak berkaitan dengan pilihan raya yang bakal diadakan.

Wilayah sempadan selatan Thailand telah dicemari dengan keganasan pemberontakan yang didakwa menyebabkan hampir 7,000 orang terkorban sejak 2004.

Lihat Laman Penuh