Mahkamah Thailand perintah ahli perniagaan Malaysia dalam buruan diekstradisi ke China

Teow Wooi Huat telah dituduh oleh ekspatriat Cina di Kuala Lumpur melakukan penipuan dalam skim pelaburan.
Wilawan Watcharasakwet
2023.01.18
Bangkok, Thailand
Mahkamah Thailand perintah ahli perniagaan Malaysia dalam buruan diekstradisi ke China Seorang pegawai penjara menunggang basikalnya di luar Penjara Reman Bangkok, 6 Julai 2016. Sebuah mahkamah di Bangkok memerintahkan ahli perniagaan Malaysia Teow Wooi Huat, yang ditahan di penjara itu sejak Julai 2022, diekstradisi ke China.
[Chaiwat Subprasom/Reuters]

Sebuah mahkamah jenayah Bangkok pada Rabu mengarahkan pihak berkuasa Thailand mengekstradisi seorang ahli perniagaan dalam buruan ke China kerana didakwa menipu pelabur negara itu di Malaysia.

Ahli perniagaan itu, Teow Wooi Huat, yang melarikan diri dari Malaysia, telah diberkas pada Julai 2022 di wilayah Songkhla di selatan Thailand atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram, menurut laporan media. Dua bulan kemudian, China meminta Thailand mengekstradisi beliau ke negara itu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Jeneral Surachate Hakparn.

Panel tiga hakim memaklumkan Teow, yang hadir pada prosiding itu secara telesidang video dari Penjara Reman Bangkok, bahawa China mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Thailand sejak 7 Mac 1999.

“Perbuatan yang dilakukan oleh tertuduh adalah terjumlah dalam jenayah penipuan iaitu secara curang meminjam wang daripada mangsa dengan menipu mereka supaya melabur dalam perniagaan jualan langsung,” kata panel itu.

“Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan untuk ekstradisi ke China.”

Malaysia turut mengemukakan permintaan untuk mengekstradisi Teow namun ia hanya dibuat pada 3 Jan iaitu selepas China.

Sekumpulan ekspatriat China yang tinggal di Kuala Lumpur pada 2019 telah membuat aduan kepada polis mendakwa Teow telah menipu mereka. Mereka telah berhimpun di luar Kedutaan China dan menuduh beliau melakukan penipuan dalam skim pelaburan pelbagai peringkat, kata pegawai polis dan mahkamah.

Peguam Teow, Juti Suanraksa, pula berhujah anak guamnya telah dituduh secara palsu oleh sebuah parti politik Thailand dan beberapa ahli politik China.

Teow mempunyai 30 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap perintah itu – jika tidak berbuat demikian atau rayuannya gagal, beliau berdepan risiko dihantar ke China dalam tempoh 90 hari. Jika rayuannya diterima, beliau mungkin dibebaskan.

Di China, Teow mungkin berdepan hukuman penjara lima tahun atau lebih jika sabit kesalahan, demikian menurut Pejabat Peguam Negara Thailand yang memohon perintah ekstradisi itu atas permintaan China.

Para pegawai China dan Malaysia hadir semasa prosiding itu pada Rabu bersama-sama pegawai keselamatan Thailand.

Teow, juga dikenali sebagai Tedy Teow atau Zhang, merupakan pengasas pelbagai perniagaan MBI International Sdn Bhd, menurut media Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.