Follow us

Pemimpin Dedahkan Zon Keselamatan Baru Di Selatan Thailand

Mariyam Ahmad & Nani Yusof
Pattani, Thailand & Washington
2018-04-18
E-mel
Komen
Share
Anggota-anggota Tentera Thai yang ditugaskan ke Rejimen Infantri ke-152 menjalani latihan di Fort Sirindhorn di wilayah selatan Pattani, 19 Mac, 2018.
Anggota-anggota Tentera Thai yang ditugaskan ke Rejimen Infantri ke-152 menjalani latihan di Fort Sirindhorn di wilayah selatan Pattani, 19 Mac, 2018.
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha pada Selasa mengumumkan nama lokasi daerah di Selatan Thailand, yang sedang disediakan kerajaan dan pemberontak pemisah yang fasih berbahasa Melayu untuk dijadikan sebagai zon keselamatan atau gencatan senjata terhad, dalam usaha meneruskan perbincangan damai tiga tahun itu.

Prayuth memberitahu wartawan di Bangkok bahawa zon keselamatan yang akan diwujudkan itu ialah di Cho I-rong, sebuah daerah di wilayah Narathiwat, di mana keganasan bermula pada Januari 2004 selepas pemberontak menyerang sebuah kem tentera dan mencuri lebih daripada 400 laras senapang tempur.

"Jika ditanya sama ada saya meletakkan harapan dalam pengumuman (tidak lama lagi mengenai) zon keselamatan itu, seperti semua warganegara lain, mestilah saya juga berharap. Tiada siapa yang mahu melihat perbincangan damai itu gagal. Saya menjangka proses mewujudkan zon keselamatan itu boleh melahirkan rasa percaya antara satu sama lain," kata Prayuth kepada pemberita selepas satu mesyuarat kabinet. "Setakat yang saya tahu, mereka akan mewujudkannya di daerah Cho I-rong di wilayah Narathiwat dahulu."

Sementara itu, jurucakap Mara Patani, Abu Hafiz, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Prayuth berkata, pada masa ini, mana-mana daerah yang dinamakan hanyalah spekulasi sahaja.

"Cho I-Rong adalah satu daripada lima daerah yang dipilih untuk pelaksanaan Zon Keselamatan dan selepas pembinaan Rumah Selamat, satu daerah akan dikenal pasti sebagai zon perintis sebelum diumumkan secara rasmi," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington pada Rabu.

Tambah beliau, pengumuman rasmi mengenai lokasi daerah itu hanya akan dibuat oleh Kumpulan Kerja Bersama-Kumpulan Kerja Rundingan Damai (JWG-PDP), sebuah badan yang terdiri daripada kedua-dua pasukan rundingan, kakitangan sokongan teknikal mereka, pegawai-pegawai tempatan dan pihak berkepentingan yang lain.

"Pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh JWG-PDP dan bukan oleh Perdana Menteri, " tambah Abu Hafiz.

Prayuth tidak menyatakan tempoh masa bagi pelaksanaan projek itu di sidang media di Bangkok, tetapi beliau berharap kedua-dua pihak akan bekerjasama.

"Sekiranya pihak yang menentang dapat berhenti menyerang, para pegawai tidak perlu menggunakan kekerasan sekiranya tiada pertempuran, dan dengan itu, keganasan pun akan berkurangan," katanya.

Kira-kira 7,000 orang telah terbunuh sejak pemberontak pemisah mencetuskan keganasan 14 tahun yang lalu di wilayah selatan negara itu, yang kebanyakan penduduknya beragama Islam.

Dalam tempoh tiga tahun ini, kerajaan tentera Thailand telah mengambil bahagian dalam perbincangan damai yang diusahakan oleh Malaysia dengan MARA Patani, organisasi payung yang merangkumi enam kumpulan pemberontak dari tiga wilayah sempadan Selatan, dalam usaha untuk mewujudkan gencatan senjata terhad yang telah lama dinanti-nantikan.

Pada Januari, ketua perunding kerajaan Jeneral Aksara Kerdpol mengumumkan bahawa perunding Thailand dan MARA Patani telah bersetuju untuk memilih satu daerah di mana gencatan senjata akan dilaksanakan. Beliau tidak mendedahkan lokasinya, namun, menyatakan bahawa beliau bimbangĀ  pengumuman itu akan menarik lebih banyak serangan daripada kumpulan pemberontak tegar yang menentang proses damai itu.

Aksara, yang tidak dapat dihubungi untuk memberi komen berhubung pengumuman Prayuth, sebelum ini berkata beliau akan mengambil masa enam bulan bagi mewujudkan zon keselamatan itu.

Pada pertengahan Mac, pengerusi Jawatankuasa Islam Pattani Waedueramae Mamingji memberitahu BeritaBenar bahawa beliau sedang mengubah suai bahagian pejabat jawatankuasa itu untuk dijadikan pusat penyelarasan bagi pasukan teknikal. Pejabat itu akan disesuaikan sebagai "rumah selamat" di mana tiga pemberontak yang dipenjarakan akan diberi parol, dan akan mengambil bahagian dalam usaha untuk mewujudkan zon keselamatan itu.

"Kami menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melaksanakan kedua-dua isu ini dengan harapan ia dapat menjadikan projek kerajaan ini suatu kejayaan damai yang berkekalan," kata Waedueramae kepada BeritaBenar.

Pengumuman mengejutkan

Perunding berkata, pusat itu, kira-kira 100 km (62 batu) dari daerah Cho I-rong, akan menempatkan kakitangan teknikal yang mewakili kerajaan, kumpulan penentang dan orang awam. Kakitangan berkenaan akan melakukan tinjauan di kalangan penduduk bagi menentukan apa yang mereka harapkan daripada zon keselamatan pertama itu.

Bulan lalu, penganalisis Selatan Thailand, Don Pathan, berkata, para pemberontak mengancam untuk tidak meneruskan inisiatif zon keselamatan itu melainkan jika kerajaan membebaskan ketiga-tiga banduan itu.

Rukchart Suwan, pengerusi kumpulan Buddha untuk Keamanan, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau terkejut dengan pengumuman perdana menteri, dan khuatir ia boleh menjejaskan usaha tersebut.

"Orang ramai mungkin rasa tidak selesa. Mereka mungkin terdedah kepada risiko tinggi kerana kumpulan yang tidak bersetuju dengan proses itu mungkin akan meningkatkan usaha mereka untuk menyerang, "katanya.

Lihat Laman Penuh