PM Prayuth Arah Pegawai Bantu Rakyat Thailand Terkandas Di Malaysia

Mariyam Ahmad, Wilawan Watcharasakwet & Nisha David
2020.05.07
Pattani & Bangkok Thailand, Kuala Lumpur, Malaysia
200507-TH-border-1000.JPG Pekerja-pekerja Thailand merentasi sempadan Thailand-Malaysia di Sungai Kolok, sebuah daerah di wilayah Narathiwat di Selatan Thailand, 18 April 2020.
[Reuters]

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-Cha pada Khamis mengarahkan pegawai-pegawai untuk membantu puluhan ribu rakyat Thailand yang terkandas di Malaysia kembali ke tanah air setelah sempadan kedua-dua negara ditutup berikutan wabak koronavirus.

Pada hari sama, pihak berkuasa Thailand menarik balik syarat yang mewajibkan rakyatnya yang ingin kembali supaya mengemukakan sijil kesihatan sebelum memasuki negara itu, dengan ramai menyatakan ia sukar dilakukan selain melibatkan kos yang mahal.

Prayuth mengeluarkan arahan itu pada pertemuan dengan pasukan petugas anti-koronavirus nasional, kata Menteri Luar Negeri Don Pramudwinai kepada wartawan.

"Perdana menteri memberitahu Kementerian Luar Negeri supaya mempermudahkan, menjaga [pekerja] di mana kementerian melakukannya dengan cukup baik di semua negeri [Malaysia] dengan bekerjasama dengan para sukarelawan," kata Don.

Pada pertengahan April, pihak berkuasa Thailand membuka semula lima daripada sembilan pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan selatan Thailand bagi membenarkan kepulangan sejumlah pekerja Thailand secara terkawal, setelah terkandas di Malaysia berikutan perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19 di negara itu.

Perdana Menteri Thailand itu mengeluarkan arahannya sehari selepas lima Anggota Parlimen dari wilayah selatan negara berkenaan mendesak beliau supaya menarik balik syarat yang mewajibkan mereka yang mahu pulang untuk menyediakan sijil kesihatan sebelum dibenar merentasi sempadan negara itu.

Seorang daripada Anggota Parlimen itu, Anwar Salaeh, memberitahu wartawan bahawa syarat itu memerlukan mereka yang mahu pulang untuk berbelanja bagi mendapatkan sijil kesihatan menyebabkan ramai daripada mereka "mencari cara lain untuk kembali ke Thailand termasuk dengan memalsukan dokumen atau merentasi sempadan secara haram."

Jurucakap pasukan petugas anti-COVID nasional pada Khamis berkata pihak berkuasa telah mengerahkan pasukan perubatan berada di sempadan negara untuk memeriksa kesihatan pekerja yang tidak dapat memperoleh sijil layak melakukan perjalanan.

"Ada beberapa pekerja yang telah mematuhi prosedur itu. Tetapi, bagi mereka yang tidak dapat melakukannya, kami mengerah pasukan perubatan dari wilayah selatan untuk melakukan pemeriksaan perubatan itu,” kata Dr. Taweesilp Wissanuyothin, jurucakap pasukan petugas tersebut kepada BeritaBenar.

Thailand dan Malaysia bersetuju untuk membenarkan sehingga 350 warganegara Thailand memasuki wilayah Thailand setiap hari melalui lima pusat pemeriksaan bermula pada 18 April. Program kemasukan semula itu bertujuan memudahkan kepulangan kira-kira 4,000 pekerja Thailand yang kebanyakannya bekerja di restoran-restoran di Malaysia.

Tetapi, Thailand menutup satu daripada pusat pemeriksaan sempadan pada 22 April setelah dua pegawainya positif koronavirus dan hampir 70 pegawai lain yang bekerja di situ dikuarantinkan. Pusat pemeriksaan itu dibuka semula setelah ditutup sehingga 29 April selepas proses menyah kuman dilakukan, kata pegawai

Thailand, yang mempunyai kira-kira 70 juta penduduk, telah menutup sementara sempadannya kepada warga asing yang bukan pemastautin sebagai langkah membendung penyebaran virus mudah berjangkit itu daripada menular di negaranya.

Pihak berkuasa kesihatan Thailand pada Khamis melaporkan tiga jangkitan koronavirus baru menjadikan jumlah kes kumulatif nasional adalah 2,992 orang tanpa kematian baru. Sebanyak 55 kematian dicatatkan sejak Januari, tetapi pihak berkuasa menyatakan ia sedang  mempertimbang untuk melonggarkan sekatan termasuk membenarkan perniagaan kembali dibuka minggu depan selepas menarik balik sekatan terhadap beberapa perniagaan dan aktiviti minggu ini.

Berikutan kes baru menyusut kepada satu angka, negara itu dapat memperluaskan saringan coronavirus yang berpotensi mencapai sehingga 400.000 ujian iaitu hampir dua kali ganda daripada tahap sekarang, menurut Taweesin yang merupakan jurucakap pasukan petugas berkenaan.

Di wilayah sempadan selatan, kemudahan disediakan di kawasan sempadan Thailand bagi melaksanakan kuarantin terhadap mereka yang baru pulang.

Lebih daripada 7,200 rakyat Thailand yang terkandas di Malaysia sudah pulang ke negara itu melalui sempadan pada 6 Mei, menurut Kementerian Luar Negeri Thailand. Angka itu merangkumi lebih daripada 2,100 yang pulang secara haram dengan berjalan kaki atau menaiki bot kecil, katanya.

Mereka yang menggunakan laluan haram telah didenda dan dikuarantinkan di kawasan sempadan Thailand, kata para pegawai.

Ahli akademik dan diplomat Thailand di Kuala Lumpur yang ditemu bual oleh BeritaBenar, menganggarkan bahawa kira-kira 100,000 orang rakyat Thailand bekerja di Malaysia.

Persatuan Perubatan Islam Thailand (TIMA) yang berpusat di Yala, yang bekerjasama dengan diplomat Thailand untuk menyelaraskan kepulangan pekerja Thailand dengan selamat, memberitahu BeritaBenar bahawa 40,000 orang telah menyuarakan hasrat untuk pulang namun hanya 11,000 orang yang mendaftar dengan Kedutaan Thailand di Kuala Kuala Lumpur.

Pekerja Thailand merungut kekeliruan mengenai syarat


Semasa ditemu bual BeritaBenar, para pekerja Thailand yang berada di kawasan sempadan Malaysia membangkitkan isu berkaitan pendaftaran dalam talian, dan mendakwa bahawa kerajaan Thailand mengenakan syarat yang menyukarkan mereka untuk pulang.

"Saya tidak dapat pulang kerana kerajaan Thailand menyatakan hanya 300 orang yang boleh mendaftar setiap hari. Masalahnya adalah tentang pendaftaran," kata Azmi Mohamad, seorang tukang masak berusia 42 tahun dari Narathiwat.

"Setiap hari, saya cuba mendaftar tetapi gagal. Sukar untuk melepasi pendaftaran dalam talian,” katanya. "Kerajaan Malaysia telah mempermudahkan banyak perkara tetapi kerajaan Thailand menyukarkan kami untuk pulang."

Nujarin Pong, 35, tukang urut dari Yala, berkata dia juga sukar memahami borang yang disediakan dalam talian.

"Saya mahu pulang tetapi saya tidak tahu bagaimana mengisi borang perjalanan dalam talian. Ramai rakan saya di sini yang buta huruf, ”kata Nujarin. "Ramai rakan saya terkandas di sini kerana perkara itu."

Ramuna Ali, 19, turut menyuarakan tentang masalah mematuhi syarat mendaftar dalam talian.

"Saya cuba mendaftar dalam talian beberapa kali, tetapi saya gagal berbuat demikian," kata Ramuna, yang bekerja di sebuah restoran di negeri Selangor yang terletak di pantai barat Malaysia.

"Kami berasal dari Yala dan kami mahu pulang, tetapi kami langsung tidak boleh keluar untuk mendapatkan sijil kesihatan selain kami tidak mempunyai banyak wang," katanya kepada BeritaBenar. "Saya harap Prayuth dapat mendengar rintihan kami."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.