Follow us

Perunding Thailand Minta Malaysia Bantu Bawa Pemimpin Pemberontak BRN Ke Meja Rundingan Damai

Mariyam Ahmad
Pattani, Thailand
2018-11-27
E-mel
Komen
Share
Unit forensik polis Thailand memeriksa tapak pengeboman yang menyebabkan kebakaran di sebuah pasar di wilayah Narathiwat selatan, 24 Feb, 2018.
Unit forensik polis Thailand memeriksa tapak pengeboman yang menyebabkan kebakaran di sebuah pasar di wilayah Narathiwat selatan, 24 Feb, 2018.
(AFP)

Ketua perunding baru Thailand dalam rundingan damai Selatan Thailand pada Selasa berkata, beliau telah meminta fasilitator Malaysia untuk menjemput pemimpin kumpulan pemberontak paling berkuasa ke meja rundingansupaya semua pertubuhan pemisah bersenjata dapat diwakili.

Pihak Thailand mahu Doonloh Wae-mano (alias Abdullah Wan Mat Noor), pengerusi Majlis Tertinggi Barisan Revolusi Nasional atau BRN menyertai rundingan yang diusahakan oleh Malaysia itu, kata ketua delegasi Thailand Udomchai Thammasarorat.

"Kami sedang menyusun semula pasukan rundingan damai. Pendekatannya adalah kami mahu bercakap dengan wakil umum semua kumpulan penentang dan MARA Patani," katanya kepada BeritaBenar dalam satu temu bual menerusi telefon. "Penentang" adalah istilah yang digunakan oleh pegawai-pegawai kerajaan tentera Thailand bagi menggambarkan pemberontak selatan.

MARA Patani adalah kumpulan induk yang mendakwa melakukan rundingan bagi pihak semua kumpulan pemberontak di Selatan Thailand. Ia turut memasukkan wakil BRN di dalam panelnya.

"Sama ada beliau akan menyertainya atau tidak, atau menerima jemputan ini atau tidak, saya tidak boleh terlibat,” kata Udomchai, yang merujuk kepada Doonloh. "Sebelum ini, beliau berkata MARA Patani bukan kumpulannya. Kami mahu berbincang dengan kumpulan di bawah kawalannya, jadi kami meminta fasilitator untuk membantu dalam perkara ini. "

Udomchai, jeneral bersara yang pernah berkhidmat sebagai komander wilayah Tentera Keempat yang mengawasi Selatan Thailand, baru-baru ini  menggantikan Aksara Kerdpol sebagai ketua perunding damai Selatan Thailand. Abdul Rahim Noor pula dilantik sebagai fasilitator oleh kerajaan baru Malaysia pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

"Setiap kumpulan mesti menyertai rundingan damai supaya kita boleh berbincang untuk semua," kata Udomchai. "Kami tidak memaksa sesiapa sahaja menyertainya tetapi kami meminta fasilitator untuk membantu."

Pada 2004, tahun di mana pemberontakan kembali tercetus di wilayah sempadan Selatan Thailand, Doonloh merupakan guru besar di Sekolah Jihad Witaya di wilayah Patani. Beliau kemudian dituduh melatih militan di kubu di Cho I-rong, daerah dalam wilayah jiran Narathiwat, pada tahun tersebut.

Doonloh menggantikan Spae-ing Baso, yang meninggal dunia pada Januari 2017, sebagai ketua majlis tertinggi BRN.

Tahun lalu, selepas serangan bom di pasar raya besar Patani yang menyebabkan kira-kira 80 orang cedera, Panglima  Angkatan Tentera Thailand ketika itu Jeneral Chalermchai Sitthisart secara terbuka mengutuk Doonloh berhubung serangan ekstremis.

Pegawai-pegawai Thailand, yang menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta baht (AS$302,000) bagi mendapatkan Doonloh, melaporkan bahawa beliau telah melarikan diri dan tinggal di Malaysia.

'Kami tidak akan cadangkan gencatan senjata'

Sejak siri perbincangan baru dimulakan antara kumpulan pemberontak dan junta Thailand pada pertengahan 2015, perunding berkenaan berusaha mewujudkan kawasan gencatan senjata terhad di Selatan Thailand, yang dinamakan sebagai zon keselamatan. Tahun lalu, pegawai-pegawai Thailand mendakwa bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menubuhkan zon itu di daerah Cho I-rong.

Tetapi, dalam maklum balasnya kepada BeritaBenar, Udomchai nampaknya mahu menarik balik cadangan itu, namun masih belum jelas sama ada beliau telah pun membatalkan perkara itu.

"Kami tidak akan mencadangkan gencatan senjata, ia tidak berguna kerana keganasan adalah alat mereka," kata Udomchai. "Semakin banyak perbincangan gencatan senjata diadakan, semakin banyak keganasan berlaku ketika mereka menggunakannya sebagai alat tawar-menawar."

"Kami akan membincangkan tentang bagaimana untuk membangunkan bersama kawasan itu, menjadikannya sebagai zon perdagangan, bukan zon perang," katanya.

Beberapa hari selepas kedua-dua pihak mengumumkan pada Februari 2017 bahawa mereka akan bekerjasama untuk mewujudkan zon keselamatan, lapan orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan yang dipersalahkan terhadap pemberontak.

Pada Selasa, selepas mesyuarat bulanan majlis pertahanan negara, Timbalan Perdana Menteri Thai Prawit Wongsuwan menjawab pertanyaan pemberita mengenai Doonloh.

"Sudah tiga kali beliau enggan tampil ke depan," kata Prawit. "Saya tidak tahu  apa yang meragukannya. Saya akan serahkan kepada fasilitator untuk berbincang dengannya. "

Di Malaysia, Abdul Rahim tidak mahu mengulas banyak apabila ditanya tentang status rundingan itu.

"Saya tidak boleh mengulas tentang isu itu pada masa ini," katanya kepada BeritaBenar. "Kerajaan Thailand meminta agar proses damai itu tidak didedahkan, kecuali jika ada perubahan dalam dasar tersebut, saya tidak boleh dedahkannya kepada umum."

Pegawai-pegawai MARA Patani di Malaysia juga tidak memberi maklum balas semasa diminta mengulas perkara itu.

Selatan Thailand, yang didiami penduduk Melayu yang beragama Islam, terletak bersempadan dengan Malaysia dan merangkumi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di wilayah itu sejak pemberontakan kembali tercetus 14 tahun lalu.

Wilawan Watcharasakvet di Bangkok dan Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh