Follow us

Kesukaran Semakin Meruncing Di Selatan Thailand Akibat COVID-19

Mariyam Ahmad & Nontarat Phaicharoen
Pattani & Bangkok, Thailand
2020-04-16
E-mel
Komen
Share
Seorang wanita menunggu untuk diperiksa oleh pekerja kesihatan di pusat saringan penyakit di Yala, wilayah di Selatan Thailand, 15 April 2020.
Seorang wanita menunggu untuk diperiksa oleh pekerja kesihatan di pusat saringan penyakit di Yala, wilayah di Selatan Thailand, 15 April 2020.
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Koronavirus membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan menjangkiti hampir 300 yang lain setakat ini di Selatan Thailand, yang menimbulkan satu lagi kesukaran buat 2.4 juta penduduk di wilayah ini yang kebanyakannya miskin dan dilanda pergolakan, kata penduduk tempatan.

Kes jangkitan yang disahkan di wilayah sempadan itu kini mencatatkan 11 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan di seluruh negara sejak Januari, walaupun wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang bertutur bahasa Melayu itu merangkumi hanya 3.5 peratus daripada jumlah penduduk Thailand.

Kesan buruk akibat wabak virus itu telah menjejaskan industri perikanan dan pertanian getah di wilayah tersebut, dan penutupan sempadan Thailand-Malaysia menyebabkan ramai yang terkandas di kawasan kedua-dua negara itu.

Sementara itu, jabatan yang memantau hal ehwal umat Islam telah mengeluarkan arahan supaya menutup semua masjid di seluruh negara dan melarang sebarang aktiviti dilakukan sepanjang Ramadan, bulan puasa yang bermula pada minggu terakhir April. Lazimnya aktiviti semasa bulan berkenaan merangkumi bazar juadah, undangan berbuka puasa setiap hari dengan rakan atau teman sepejabat serta solat tarawih yang disertai ramai umat Islam.

"Allah menyuruh kita supaya bersabar dan perbanyakkan bersedekah. Memandangkan kini merebaknya COVID-19, ini adalah masanya bagi semua yang berpuasa untuk mendalami tentang apa yang tidak boleh mereka lakukan,” kata Imrram Waemuso, 52, pemilik restoran di Yala kepada BeritaBenar.

Bersolat dan berbuka puasa di rumah pada tahun ini adalah baik untuk hubungan kekeluargaan, katanya.

Kesan tinggi

Pentadbiran tempatan di wilayah Selatan Thailand yang menempatkan kawalan ketenteraan telah melaksanakan pergerakan terhad di kawasan kampung-kampung untuk mencegah penyebaran virus itu, tetapi ia menyebabkan kesan yang tinggi kepada ekonomi tempatan.

"Kampung saya diarah menjalani perintah berkurung keraan adanya penduduk yang dijangkiti virus sedang dikuarantin dan akibatnya, kami tidak dapat mencari pendapatan. Saya telah mendaftar untuk mendapatkan dana bantuan [kerajaan] tetapi saya belum menerimanya lagi,” kata Aisoh Ngo-tali, yang selalunya menjual ayam di pasar terbuka di Kok Pho, sebuah daerah dalam wilayah Patani.

"Saya hanya dapat memberi susu kepada anak saya. Saya menangis selepas menerima bantuan daripada penyumbang swasta,” kata ibu berusia 32 tahun itu yang mempunyai dua anak kepada BeritaBenar.

Wilayah Selatan Thailand adalah antara kawasan yang paling miskin di negara itu dengan purata pendapatan isirumah adalah antara 15,000 hingga 20,000 baht (AS$459 hingga $612) sebulan berbanding dengan 45,000 baht ($1,377) di Bangkok.

Ekonomi wilayah sempadan itu amat bergantung pada eksport getah, kelapa sawit dan perikanan namun ia merosot akibat wabak koronavirus, kata penduduk tempatan kepada BeritaBenar.

“Yang paling sukar dalam mengendalikan COVID adalah bagaimana untuk menyeimbangkan usaha mengekang penyebaran COVID-19 dan kesannya kepada ekonomi. Sekatan yang terlalu ketat telah menjejaskan ekonomi,” kata Supat Hasuwannakit, seorang doktor di Songkhla.

"Nelayan memberitahu saya bahawa mereka dapat menangkap ikan tetapi tiada siapa yang membelinya," katanya.

Dikaitkan dengan perhimpunan umat Islam

Supat mengetuai Hospital Chana di wilayah Songkhla, yang berjaya merawat enam pesakit Muslim yang sakit selepas menghadiri satu perhimpunan besar di Malaysia yang dianjurkan Jemaah Tabligh iaitu kumpulan pendakwah yang berpusat di India.

Sekurang-kurangnya 13 orang Muslim Thailand menghadiri perhimpunan itu pada Februari lalu manakala hampir 60 lagi  yang mengunjungi Sulawesi, Indonesia untuk menghadiri perhimpunan serupa pada Mac lalu juga dijangkiti coronavirus, kata para pegawai.

Penduduk Narathiwat, Maseng Awae-gueji, 49, yang pertama meninggal dunia akibat COVID-19 di Selatan Thailand, adalah antara ribuan yang menghadiri perhimpunan Jemaah Tabligh di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada akhir Februari. Dia meninggal dunia pada 27 Mac.

Seorang lelaki lain dari wilayah Songkhla juga meninggal dunia akibat koronavirus setelah menjangkiti penyakit itu daripada anak lelakinya yang  menyertai perhimpunan itu di ibu negara Malaysia, kata pihak berkuasa.

Namun, Supat memberitahu bahawa hospital di wilayah selatan itu masih mampu mengatasi wabak itu selagi jumlah pesakit masih pada kadar rendah.

"Kecualilah jika kami menerima sejumlah besar pesakit yang mengalami radang paru-paru, pada masa ini kami mempunyai alat bantuan pernafasan dan ruang ICU yang mencukupi untuk melakukan rawatan. Kami mempunyai kira-kira 50 pesakit yang berada dalam keadaan teruk di 77 wilayah di seluruh negara, ”katanya kepada BeritaBenar.

Menurut jurucakap Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) – nama yang diberikan kepada pasukan petugas koronavirus nasional - hospital dan klinik kesihatan di 14 wilayah di bahagian selatan negara itu mempunyai 568 alat bantuan pernafasan ketika ini.

Data khusus mengenai jumlah alat bantuan pernafasan dan katil hospital di Selatan Thailand tidak dapat diperoleh.

Gencatan senjata yang belum pernah berlaku

Berikutan jumlah kes koronavirus di Malaysia meningkat susulan perhimpunan Jemaah Tabligh, Malaysia mengambil langkah menutup sempadan antarabangsa dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung penyebaran wabak virus tersebut. Thailand segera mengikut langkah itu.

Ini menyebabkan hampir 100,000 warganeagra Thailand yang bekerja di seberang sempadan - kebanyakannya dari Selatan Thailand – terkandas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia.

Namun, pihak berkuasa baru-baru ini memberi kelonggaran dan mengumumkan bahawa mulai 18 April, pintu sempadan dibuka lima kali sehari untuk membolehkan maksimum 350 warganegara Thailand pulang dari Malaysia setiap hari.

Jurucakap pemerintah tentera yang meliputi wilayah Selatan Thailand berkata pihaknya menyediakan hampir 2,500 bilik untuk mengkuarantin mereka yang pulang sebagai langkah mencegah jangkitan virus tersebut.

Selatan Thailand merupakan satu-satunya kawasan yang masih bergolak di negara itu berikutan kegiatan pemberontakan pihak pemisah sejak beberapa dekad lalu.

Pada 17 Mac, dua pengeboman berlaku di luar pejabat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) di bandar Yala yang menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang cedera, dengan serangan itu dipercayai dilakukan oleh Barisan Revolusi Nasional atau BRN, kumpulan pemberontak terbesar dan paling kuat di Selatan Thailand.

Ketika serangan dilakukan, para pegawai SBPAC sedang bermesyuarat untuk membincangkan keputusan Malaysia menutup sempadannya dengan Thailand kerana wabak virus itu.

Lebih dua minggu kemudian, BRN membuat pengumuman yang belum pernah berlaku sebelum ini: ia mengisytiharkan gencatan senjata dan menghentikan "semua kegiatan" buat sementara waktu atas alasan kemanusiaan kerana, menurut kumpulan itu, "kami menyedari bahawa musuh utama bagi seluruh manusia adalah COVID-19."

BRN membuat perisytiharan itu pada hari sama Setiausaha Agung PBB mengulangi seruannya meminta pihak-pihak yang bertelagah di seluruh dunia supaya "meletakkan senjata" untuk membantu memerangi wabak tersebut.

Belum ada laporan mengenai pertempuran antara pemberontak Selatan dan pasukan keselamatan Thailand.

Namun, pihak tentera tidak menyakini pengisytiharan gencatan senjata BRN.

"Pengiystiharan gencatan senjata oleh BRN adalah tidak relevan," kata Mejar Jeneral Pramote Prom-in, jurucakap Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Ke-4 yang merupakan pemerintah tentera wilayah itu kepada BeritaBenar.

"Selama ini, pihak berkuasa menjaga keamanan dalam negeri dengan sewajarnya mengikut peraturan undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang hanya terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap pegawai dan orang yang tidak bersalah."

Lebih 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di Selatan Thailand sejak konflik itu tercetus pada Januari 2004.

Lihat Laman Penuh