Air mata kegembiraan sambut kepulangan 17 rakyat Thailand yang dibebaskan Hamas
2023.11.30
Bangkok
Tujuh belas rakyat Thailand, yang dibebaskan oleh Hamas, pulang ke tanah air pada Khamis dengan sambutan kegembiraan keluarga mereka, namun meratapi puluhan rakan senegara yang terkorban dalam pertempuran susulan serangan maut Palestin ke atas Israel pada awal Oktober.
Mereka adalah kumpulan pertama tebusan rakyat Thailand yang pulang ke pangkuan keluarga. Enam lagi warga Thailand yang telah dibebaskan masih berada di hospital Israel kerana menjalani pemeriksaan perubatan, manakala sembilan lagi masih ditahan oleh Hamas, yang telah menangkap 240 orang dan membawa mereka ke Gaza sebagai tahanan selepas serangan pada 7 Okt itu.
Kesemua 17 tebusan itu tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok dengan keluarga mereka menunggu penuh sabar di dalam sebuah bilik untuk menyambut kepulangan mereka.
Pornsawan Pinakalo, 30, berlari ke arah bapanya, Kong Panasudlamai, sebaik sahaja beliau melihatnya, dan melutut sebelum kedua-duanya saling berpelukan dan menangis.
“Sekarang adalah saat paling gembira dalam hidup saya. Saya tidak tahu nak cakap apa tetapi saya pasti lebih gembira jika tiada rakan sekerja saya yang terkorban,” kata Pornsawan kepada media yang berhimpun di lapangan terbang itu.
Seorang lagi tebusan yang dibebaskan, Uthai Sangnual, menangis dan bertafakur seketika bagi menghormati 39 warga Thailand yang terbunuh sama ada dalam serangan Hamas atau dalam pertempuran yang berlaku di antara Israel dan kumpulan militan Palestin itu. Seramai 1,200 orang, yang kebanyakannya orang awam Israel, terbunuh dalam serangan 7 Okt.
"Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga 39 rakan senegara kita yang terkorban," kata Uthai, dan sejurus itu semua yang berkumpul bagi menyambut kepulangan tebusan itu, tunduk dan bertafakur selama seminit.
Selepas bertafakur seketika, Uthai berkata: "Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pekerja Thailand yang selamat pulang ke sini."
Rakyat Thailand ditahan di kawasan pertanian di selatan Israel selepas Hamas memecah pagar yang memisahkan Semenanjung Gaza dari negara Yahudi itu.
Kira-kira 30,000 rakyat Thailand dianggarkan bekerja di Israel sebelum konflik itu tercetus, dengan kebanyakannya dalam sektor pertanian. Kira-kira satu pertiga daripada mereka memilih untuk kembali ke Thailand sejak 7 Okt. dan kira-kira 8,500 warga Thailand telah dihantar pulang dari Israel sejak itu.
Rakyat Thailand yang dibebaskan oleh Hamas bertafakur seminit sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Wilayah Samut Prakarn, Thailand, 30 Nov. 2023. [Sakchai Lalit/AP]
Menteri Luar Thailand Parnpree Bahiddha-Nukara, yang ke Israel untuk bertemu dengan tebusan Thailand yang dibebaskan pada awal minggu ini, mengiringi kumpulan pertama bekas tebusan itu dalam perjalanan pulang mereka, dan berkata beliau turut berkongsi perasaan mereka.
“Apabila saya bertemu dengan 17 warga Thailand yang dibebaskan baru-baru ini, saya berasa amat gembira dan pada masa sama, turut berasa lega,” kata Parnpree kepada pemberita.
"Saya berasa lega melihat mereka gembira dan mampu tersenyum... ia adalah saat yang penuh emosi bagi saya."
Beliau menambah dengan berkata "sokongan rakan dan sekutu telah membantu membebaskan tebusan Thailand," dan kerajaan akan meneruskan usaha untuk membebaskan mereka yang masih dalam tawanan, lapor agensi berita Reuters.
Berikutan serangan Hamas pada 7 Okt, Parnpree melawat Qatar dan Mesir serta bertemu rakan sejawatannya dari Iran, Hossein Amir-Abdollahian, untuk mendesak pembebasan warga Thailand itu, yang merupakan kumpulan warga asing terbesar yang diculik oleh militan Palestin.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim turut membantu dalam hal ini, kata Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.
Perdana Menteri Thailand itu melahirkan rasa terima kasih kepada Anwar apabila rakan sejawatannya dari Malaysia itu mengadakan lawatan sehari ke Sadao, wilayah Songkhla yang berkongsi sempadan antara kedua-dua negara pada 27 Nov.
"Saya memberitahunya bahawa kami hanya melakukan yang terbaik dalam usaha kami untuk membawa pulang tebusan tetapi kebijaksanaan Hamas dan Mesir yang membuka laluan ini untuk mereka," kata Anwar kepada pemberita.
Reaksi Menteri Luar Thailand Parnpree Bahiddha-Nukara (depan, kanan) selepas tiba di negara itu bersama-sama dengan rakyat Thailand, yang diculik dan dijadikan tebusan oleh Hamas semasa serangan 7 Okt ke atas Israel, di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, 30 Nov. 2023. [Lillian Sunwanrumpha/AFP]
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand memberi sambutan secara maya kepada tebusan yang pulang itu di lapangan terbang berkenaan.
“Sepanjang tempoh sejak 7 Okt, semua rakyat Thailand mengambil berat tentang anda semua, memberi sokongan moral dan cuba melakukan yang terbaik. Saya gembira kerana hari ini anda kembali ke Thailand,” kata Srettha, menurut laman web berita tempatan Khaosod English.
Perdana menteri juga bertanya tentang bagaimana tebusan yang dibebaskan itu dilayan semasa mereka ditahan dan bertanya sama ada mereka tahu di mana kedudukan baki sembilan lagi rakyat Thailand yang masih ditahan oleh Hamas.
"Kami benar-benar tidak tahu di mana mereka berada," kata Uthai.
“[Hamas] melayan kami dengan okay. Agak baik."
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Thailand berkata lanjutan gencatan senjata pada Khamis, yang telah ditetapkan untuk berakhir, adalah "petanda baik" dan menggesa penamatan keganasan sepenuhnya.
Israel dan Hamas pada Khamis bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata satu hari lagi, menurut Kementerian Luar Qatar, yang menjadi pengantara bagi kedua-dua pihak, dalam satu kenyataan.
Pelanjutan itu akan mengikut syarat yang sama seperti gencatan senjata pertama yang bermula pada 24 Nov dan kemudiannya dilanjutkan, "yang merupakan pemberhentian semua kegiatan ketenteraan dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza."
Selain itu, di bawah syarat-syarat tersebut, sekurang-kurangnya 10 warga Israel serta rakyat dari negara lain dibebaskan setiap hari semasa gencatan senjata itu sebagai pertukaran untuk pembebasan sekurang-kurangnya 30 tahanan Palestin dari Israel, lapor Associated Press.
‘Keganasan peneroka’ Tebing Barat dikecam Majlis Keselamatan PBB
Sehari sebelum itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan mesyuarat mengenai krisis Asia Barat dengan diplomat tertinggi China – yang mempengerusikan badan 15 anggota semasa itu - menyeru gencatan senjata segera dilakukan bagi menamatkan pertempuran Israel-Hamas.
“Membiarkan pertempuran berlarutan hanya akan membawa lebih banyak kematian dan kemusnahan,” kata Menteri Luar China Wang Yi dalam kenyataannya kepada Majlis Keselamatan PBB.
"Pertempuran yang berterusan kemungkinan besar akan berubah menjadi malapetaka yang boleh memusnahkan seluruh wilayah itu."
Beliau juga berkata bahawa perlindungan terhadap orang awam "merupakan garisan merah dalam undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dilangkau" dan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa khususnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa "haruslah dikutuk."
Serangan udara dan darat Israel ke atas Gaza selepas serangan Hamas telah menyebabkan lebih 15,000 rakyat Palestin terbunuh, dengan hampir kesemuanya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Serangan Israel juga telah memusnahkan infrastruktur dan melumpuhkan hospital menyebabkan Gaza berada di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang amat buruk, kata pegawai PBB yang menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu.
Diplomat tertinggi negara Arab dan negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam telah bertemu dengan Wang di Beijing pada awal bulan ini sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan global di mana menteri-menteri berkenaan merancang mengadakan kunjungan ke atas lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB itu.
Selain China, matlamat negara Arab dan negara Islam adalah untuk meyakinkan ahli tetap Majlis Keselamatan itu - Amerika Syarikat, Rusia, Perancis dan Britain - untuk memujuk Israel supaya menamatkan pertempuran di Gaza.
Amerika Syarikat, sekutu paling rapat Israel, telah mengetuai blok negara Barat dalam menentang gesaan antarabangsa dan PBB supaya dilaksanakan gencatan senjata, di mana utusan Washington ke badan dunia itu telah memberi undi veto atau mengundi menentang resolusi rasmi berhubung persoalan itu.
Rakyat Thailand, Nattawaree Moolkan, yang diculik dan dijadikan tebusan oleh Hamas semasa serangan 7 Okt ke atas Israel, semasa bercakap pada sidang berita selepas tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok pada 30 Nov. , 2023. [Lillian Sunwanrumpha/AFP]
Di Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, duta Amerika Syarikat ke PBB Linda Thomas-Greenfieled, tidak membuat sebarang perubahan kepada kedudukan itu.
"Kami mahu melihat jeda kemanusiaan ini dilanjutkan," katanya dalam kenyataannya.
Tetapi, Amerika Syarikat dan Israel tidak mahu gencatan senjata dilaksanakan kerana mendakwa ia akan membolehkan Hamas kembali berhimpun dan melakukan lebih banyak serangan.
Keengganan beberapa anggota Majlis Keselamatan mengutuk serangan 7 Okt itu adalah "keterlaluan" dan "tidak boleh diterima," kata Thomas-Greenfield.
Beliau juga menyebut bahawa Amerika Syarikat "sangat bimbang dengan peningkatan mendadak keganasan yang dilakukan oleh peneroka ekstremis Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat."
Perancis bersetuju bahawa Majlis Keselamatan mesti mengutuk serangan 7 Okt itu namun ia pergi lebih jauh mengenai isu Tebing Barat.
“Perancis mengutuk keganasan di Tebing Barat oleh para peneroka terhadap penduduk Palestin. Ini telah meragut nyawa ramai orang awam Palestin,” kata Duta Besar Perancis ke PBB Nicolas de Rivière.
Namun, tidak seperti Amerika Syarikat, beliau menyeru Israel untuk "segera menghentikan keganasan ini" sambil menambah bahawa gencatan senjata mesti dilaksanakan.
Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir bercakap pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, 29 Nov. 2023. [Pejabat Menteri Luar Malaysia]
Diplomat tertinggi negara-negara Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Malaysia – kedua-duanya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak mengutuk Hamas – turut menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan di New York sebagai sebahagian daripada desakan negara Islam dan Arab supaya dilaksanakan gencatan senjata di Gaza.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata jeda kemanusiaan itu "terlalu sempit dan rapuh" serta tidak mampu membawa keadaan yang lebih baik di Gaza.
“Indonesia semakin bimbang dengan situasi perkembangan di Tebing Barat di mana adanya peningkatan serangan ke atas rakyat Palestin termasuk di kem-kem pelarian.... Saya ingin mengulangi apa yang saya katakan bulan lepas di bilik ini bahawa UNSC (Majlis Keselamatan PBB) mempunyai tanggungjawab besar untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya kepada badan itu.
"Majlis Keselamatan mesti memastikan bahawa permusuhan tidak berterusan menjadi dendam dan perlu bekerjasama untuk melangkaui jeda kemanusiaan kepada gencatan senjata yang lebih lama."
Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir dalam nada serupa juga berkata negaranya menyeru majlis itu supaya "mendengar gema laungan rakyat dunia yang prihatin" yang menuntut gencatan senjata.
“Terlalu banyak masa telah terbuang dan terlalu banyak nyawa tidak berdosa telah terkorban. Seluruh dunia melihat dan bergantung kepada PBB, terutamanya Majlis Keselamatan,” katanya kepada 15 anggota kumpulan tertinggi PBB itu.
“Sudah banyak kali dan sudah terlalu lama badan ini mengecewakan rakyat Palestin. Kini tiba masanya untuk badan ini melaksanakan tugasnya.”
Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur serta Nani Yusof dan Ika Inggas di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.