Follow us

Thailand Nafi Dakwaan Bantu Jho Low Elak Tangkapan

Nontarat Phaicharoen & Wilawan Watcharasakwet
Bangkok, Thailand
2020-02-24
E-mel
Komen
Share
Jurucakap Future Forward Party, Pannika Wanich, bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti politik Thailand itu di Bangkok, 21 Feb, 2020.
Jurucakap Future Forward Party, Pannika Wanich, bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti politik Thailand itu di Bangkok, 21 Feb, 2020.
(AFP)

Pihak berkuasa Thailand sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap pegawai parti pembangkang yang diharamkan kerana menuduh kerajaan membantu menyembunyikan pembiaya kewangan dalam buruan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB Malaysia, kata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha.

Pannika Wanich, bekas jurucakap Future Forward Party (FFP), pada Ahad menuduh kerajaan Thai membenarkan Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) untuk mengunjungi Thailand walaupun dia tertakluk kepada notis merah Interpol – iaitu permintaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mencari dan menangkap orang yang dinamakan itu.

Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Jumaat mengarahkan pembubaran parti itu, yang memenangi jumlah kerusi ketiga terbesar dalam pilihan raya umum tahun lepas.


"[Sebagai maklum balas kepada] andaian sebegitu berdasarkan perkara yang tidak berkaitan, agensi yang terlibat mempunyai maklumat. Mereka tidak mendedahkannya sekarang tetapi akan menggunakannya dalam pendakwaan," kata Prayuth kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan Pannika.

"Berhati-hatilah, ini melibatkan soal hubungan luar," katanya.

Jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat turut mengulangi kata-kata perdana menteri.

"[Saya] mengesahkan bahawa [tuduhan] itu palsu," kata Narumon dalam catatan Facebook. "Agensi-agensi yang terlibat sedang mempertimbang untuk memfailkan tindakan undang-undang dan agensi utama akan memperjelaskan tentang perkara itu."

Pannika berdiri teguh dengan kenyataannya pada Isnin.

"Adalah mengecewakan apabila kerajaan tidak cuba untuk mendedahkan maklumat tetapi memilih untuk mengancam dengan pendakwaan," katanya kepada pemberita.

Pannika dan pegawai lain FFP termasuk pemimpinnya Thanathorn Juangroongruangkit dipecat daripada Parlimen dan perintah mahkamah pula mengharamkan mereka daripada berpolitik selama 10 tahun.

Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan bahawa Thanathorn, yang menjadi jutawan hasil daripada perniagaan alat ganti kenderaan, telah secara haram meminjamkan wang kepada partinya menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Lebih daripada 60 anggota FFP yang dipilih ke Parlimen boleh mengekalkan kerusi mereka jika mereka menyertai parti lain dalam masa dua bulan, lapor Associated Press.

Jho Low, yang melarikan diri dari Malaysia dan menjadi sasaran buruan antarabangsa, menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia dan Amerika Syarikat bagi peranannya dalam penyelewengan 1MDB menerusi hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Najib menubuhkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 untuk merangsang pembangunan ekonomi Malaysia, tetapi sebaliknya dana itu terjebak dengan hutang berjumlah berbilion ringgit.

Pada 2016, Jabatan Kehakiman AS menuduh "Pegawai Malaysia 1" - yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Najib - dan sekutu-sekutunya melakukan penyelewengan dan pengubahan wang lebih US$4.5 bilion (RM18.8 bilion) yang berkaitan 1MDB antara 2009 dan 2014. Sejak Najib ditumbangkan dalam pilihan raya umum 2018, beliau telah didakwa bagi 42 pertuduhan berkaitan rasuah yang berpunca daripada skandal itu, dan kini menghadapi perbicaraan bagi beberapa pertuduhan tersebut.

Kes Justo

Pannika telah membandingkan tindakan Thailand terhadap Jho Low, yang didakwa dibenarkan memasuki dan meninggalkan negara itu, dengan seorang lelaki yang dikatakannya sebagai tidak bersalah tetapi menghabiskan berbulan-bulan masanya di balik tirai besi.

"Pada 7 Okt 2016, Singapura meminta Interpol mengeluarkan notis merah untuk menangkap Jho Low kerana melakukan pengubahan wang haram. Tetapi dari 7 Okt 2016 hingga 13 Mei 2018, Jho Low mempunyai rekod Imigresen sebanyak lima kali, dengan menaiki pesawat jet persendirian, "katanya.

"Thailand boleh menafikan ketibaannya tetapi ia tidak berbuat demikian," katanya. "Tidak ada bukti bahawa Thailand cuba menafikan ketibaannya atau memaklumkan Singapura mengenai pengubah wang yang amat dikehendaki itu."

Beliau membandingkan Jho Low dengan Xavier Andre Justo, bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd., yang mendedahkan perjanjian antara PetroSaudi dan 1MDB. Lelaki itu mendakwa Najib telah menyelewengkan jutaan dolar daripada 1MBD.

Justo dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada 2015 di penjara Thailand atas pertuduhan memeras ugut wang dari PetroSaudi, kata peguamnya kepada BeritaBenar pada Isnin. Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan kembali ke Malaysia pada 2018 untuk membantu dalam siasatan 1MDB.

Tahun lepas, pengerusi kumpulan The Edge Media dilaporkan memberi penghargaan sebanyak RM8.2 juta (AS$2 juta) kepada Justo kerana membantu mendedahkan skandal itu.

Pengakuan tidak bersalah

Dalam perkembangan lain yang berkaitan dengan 1MDB pada Isnin, Goldman Sachs mengaku tidak bersalah di mahkamah tinggi Malaysia atas pertuduhan berkaitan dengan terbitan bon berjumlah RM27.2 bilion ($ 6.43 bilion) pada 2012 dan 2013, lapor agensi berita Malaysia Bernama.

Ketika pertuduhan itu difailkan pada Disember 2018, Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas mendakwa bahawa bank pelaburan Wall Street perlu dipertanggungjawabkan kerana memperoleh manfaat daripada RM2.5 bilion ($ 600 juta) sebagai penanggung jamin bon tersebut.

"Penipuan mereka menembus masuk pasaran modal kita, dan jika tiada prosiding jenayah dikenakan terhadap tertuduh, tindakan mereka memandang rendah terhadap sistem kewangan dan integriti pasaran kita akan terlepas tanpa hukuman," katanya pada masa itu.

Pada Oktober 2018, kerajaan AS menuduh bekas pengarah Goldman Sachs Ng Chong Hwa (juga dikenali sebagai Roger Ng) dan Tim Leissner dengan mendakwa mereka menyembunyikan hasil perkongsian dengan Jho Low daripada majikan mereka.

"Lebih daripada $2.7 bilion (RM11.28 bilion) telah disalahgunakan daripada 1MDB dan Jho Low, Ng, Leissner dan lain-lain bersekongkol untuk mengubah wang ini melalui sistem kewangan AS bagi membayar rasuah kepada pegawai asing selain untuk faedah peribadi diri mereka dan sanak saudara mereka," kata kerajaan AS pada masa itu.

Leissner mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang berkaitan dengan pengubahan wang haram manakala Ng ditangkap di Malaysia dan menghadapi pertuduhan jenayah di negara itu dan di AS.

Lihat Laman Penuh