Lagi Nelayan Laos Ditangkap Memasuki Thailand Secara Haram

Setelah gagal pulang dengan pesawat ke Laos dari Malaysia, mereka sanggup melanggar peraturan sempadan yang ditutup kerana pandemik koronavirus.
Khas untuk BeritaBenar
2020.12.18
Lagi Nelayan Laos Ditangkap Memasuki Thailand Secara Haram Petugas kesihatan awam di daerah Narathiwat memeriksa suhu badan seorang lelaki Laos, yang merupakan antara 20 nelayan ditahan kerana memasuki Thailand secara haram pada Khamis, 17 Disember 2020.
[BeritaBenar]

Beberapa lagi nelayan Laos ditangkap di selatan Thailand kerana memasuki negara itu secara haram dalam usaha mereka pulang ke tanah air dari Malaysia, di mana mereka bekerja dalam industri perikanan selama bertahun-tahun lamanya, kata nelayan berkenaan dan pegawai tempatan.

Seperti kumpulan lain yang ditahan pada 8 Disember, nelayan Laos tersebut menyatakan bahawa mereka terkandas di negeri Pahang di semenanjung timur Malaysia setelah kerja-kerja penangkapan ikan terhenti pada November.

Penerbangan sewa khas yang dijanjikan oleh kedutaan mereka di Kuala Lumpur telah ditunda berulang kali, dan sempadan Thailand-Malaysia pula ditutup kerana COVID-19.

"Kami menahan 20 pekerja Laos dan mendakwa mereka kerana memasuki negara ini secara haram. Kami akan mengusir mereka pulang ke Laos,” kata Kolonel Polis Chamrus Rungreung, ketua polis di Su-ngai Kolok, Narathiwat, kepada wartawan pada Khamis.

Menurut seorang pegawai polis lain, sebanyak 53 pekerja Laos sedang ditahan polis.

"Kami menahan 53 pekerja Laos di beberapa balai polis di Su-ngai Kolok dan daerah lain untuk mengelakkan kesesakan. Mereka sedang dikuarantin dan biasanya mereka tidak akan didenda kerana masuk secara haram tetapi akan diusir ke negara asal mereka," kata pegawa itu, yang meminta namanya tidak disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Sivay Chareunsouk, 34, seorang daripada nelayan yang ditangkap pada Khamis, menyatakan bahawa dia dan rakan-rakannya telah membayar orang tengah kkira-kira 8,000 baht (AS$226) untuk membawa mereka ke selatan Thailand.

"Kami bekerja sebagai nelayan di Pahang selama lebih 17 tahun dengan menggunakan bot nelayan 10 tan," katanya kepada BeritaBenar pada sidang media yang diadakan oleh polis imigresen untuk mengumumkan penangkapan itu. "Majikan memberhentikan kami, dan kami mengalami kesukaran dan simpanan pula semakin berkurangan.

"Kami memutuskan untuk membayarnya (orang tengah) dan melakukan perjalanan secara haram dengan menyelinap masuk ke Thailand kerana kami rindukan kampung halaman," kata Sivay pada Khamis.

Perjalanan pulang yang jauh

Awal bulan ini, kira-kira 20 rakyat Laos yang meninggalkan Pahang untuk pulang ke tanah air ditangkap di wilayah Songkhla di selatan Thailand, berhampiran sempadan Malaysia.

Pada Khamis, mereka sudah tiba di Laos, kata seorang daripada nelayan itu kepada Perkhidmatan Laos Radio Free Asia, iaitu entiti BeritaBenar.

Kumpulan itu meninggalkan Pahang pada 7 Disember dan tiba di Songkhla sehari kemudian di mana mereka ditangkap di sebuah stesen bas dan ditahan sehingga 15 Disember.

"Kami masing-masing membayar 8,000 baht kepada pihak berkuasa Thailand yang membawa kami ke Nong Khai sehari kemudian," kata seorang nelayan dari kumpulan itu kepada RFA, yang merujuk kepada sebuah wilayah timur laut di Thailand yang bersempadan dengan Laos.

“Kemudian pada 17 Disember, kami dibenarkan menyeberang ke Laos. Sekarang, kami berada di pusat kuaratin di ibu kota Vientiane. "

Seorang pegawai dari Kementerian Luar di Laos memberitahu RFA pada Jumaat bahawa kementerian belum dimaklumkan mengenai penangkapan nelayan Laos di Thailand.

"Kami belum menerima laporan mengenai kes ini. Biasanya, pihak berkuasa Thailand akan melaporkan penangkapan itu ke Kedutaan Laos di Bangkok, dan kemudian kedutaan akan secara rasmi melaporkan kepada kami, ”kata pegawai itu.

'Menakutkan dan berisiko buat kami'

Sementara itu, lebih 300 nelayan Laos masih terkandas di Pahang, kata mereka kepada RFA.

Seorang pegawai Kedutaan Laos di Malaysia memberitahu BeritaBenar minggu ini bahawa tiada tarikh baru ditetapkan untuk menghantar nelayan berkenaan pulang, dan meminta mereka untuk bersabar.

"Kami sedang menunggu kelulusan kerajaan kami, dan berlaku penundaan kerana jumlah kes COVID-19 masih tinggi di Laos, dan pusat-pusat kuarantin masih penuh," kata Sanexay Sadettan, kuasa usaha di kedutaan itu.

Seorang daripada nelayan yang dapat pulang ke Laos - melalui Thailand - tanpa ditangkap, memberitahu RFA mengapa dia dan beberapa yang lain sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi melakukan perjalanan itu.

"Terlalu banyak penangguhan, kami tidak sabar lagi. Kami memutuskan untuk melarikan diri ke Thailand dan kemudian ke Laos. Sudah tentu, perjalanan kami sukar, berbahaya, menakutkan dan berisiko kerana kami mungkin ditembak oleh tentera Thailand dan Malaysia, ”katanya.

Bagi Sivay, yang ditangkap di Thailand pada Khamis, pengalaman itu tidak menakutkannya.

"Pada masa depan, selepas berakhirnya COVID-19, kami mungkin kembali ke tempat yang sama [Pahang] kerana di negara kami tidak ada pekerjaan dan upah pula terlalu rendah," katanya.

"Kami akan mengambil risiko untuk kembali ke sana lagi kerana di Malaysia kami dapat memperoleh sekurang-kurangnya antara 15,000 baht ($500) dan 20,000 baht ($ 666) sebulan."

Seorang pegawai lain di Kedutaan Laos di Kuala Lumpur memberitahu RFA bahawa beliau mendengar beberapa nelayan negaranya melakukan perjalanan pulang dengan memasuki Thailand secara haram.

"Sejujurnya, saya tidak mahu mereka mengambil sebarang risiko," katanya.

Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.