Malaysia, Thailand, Laos Setuju Lanjutkan Perjanjian Beli Tenaga

Nontarat Phaicharoen
2019.09.05
Bangkok, Thailand
190904-MY-TH-ASEAN-Energy1000.jpg Pekerja memanjat tiang elektrik untuk pemasangan talian elektrik voltan kuasa tinggi yang baru di Kuala Lumpur, Malaysia, 15 Januari 2015.
[AFP]

Malaysia, Thailand dan Laos mengesahkan pada Khamis yang ketiga-tiga negara itu mahu melanjutkan perjanjian trilateral penjualan dan pembelian kuasa hidro sedia ada, termasuk bersetuju menambah kapasiti daripada 100 kepada 300 megawat, demikian kata pegawai Thailand.

Persetujuan mengenai lanjutan perjanjian itu dicapai pada hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Tenaga ke-37 yang berlangsung selama empat hari di Bangkok, di mana Malaysia diwakili Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

"Thailand, Laos dan Malaysia mencapai kata sepakat terhadap perjanjian baru termasuk meningkatkan kapasiti daripada 100 ke 300 megawatt dan ini adalah usaha projek sambungan grid kuasa ASEAN,” kata Sontirat Sontijirawong, Menteri Tenaga Thailand pada Khamis.

Bagaimanapun tiada perjanjian ditandatangani semasa persetujuan dibuat antara Yeo, Sontirat dan Khammany Inthirath, Menteri Tenaga dan Galian Laos di Bangkok itu.

“Kami bersetuju secara rasmi untuk menandatangani perjanjian terkini yang dipersetujui tidak lama lagi," tambah Sontirat lagi.

Fasa pertama perjanjian yang dikenali sebagai Projek Integrasi Kuasa Laos – Thailand –Malaysia (LTM-PIP), yang ditandatangai ketiga-tiga negara pada September 2017 dan dilaksanakan pada awal 2018 di mana Malaysia membeli sehingga 100 megawat kuasa hidro dari Laos menerusi rangkaian penghantaran sedia ada Thailand.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia Maximus Johnity Ongkili pada masa itu berkata, pembelian 100 megawat tenaga hidro berkenaan memberi manfaat kepada Malaysia, kerana harganya yang sangat kompetitif dengan kadar tarif purata 38.53 sen, berbanding sumber konvensional.

Menurut Menteri tenaga Malaysia itu lagi, tambahan 100 megawat yang dibeli berfungsi sebagai tenaga sokongan apabila diperlukan, di samping membolehkan Malaysia meningkatkan bahagian tenaga lestari, yang pada masa itu berjumlah 22.5 peratus berbanding 78 peratus daripada gas dan bahan api.

Perjanjian Pembelian Tenaga itu adalah bagi tempoh dua tahun dan akan dikaji semula selepas 2020.

Sontirat berkata, bermula Januari 2020, ia akan beralih kepada fasa kedua, dengan persetujuan baru itu akan membolehkan Laos meningkatkan jumlah tenaga elektrik yang mahu dijual kepada Malaysia melalui Thailand dari 100 kepada 300 megawat.

"Kerjasama ini akan menjadi batu loncatan untuk sambungan grid lebih lanjut. Sekarang kita ada Laos, Thailand dan Malaysia. Pada masa akan datang dan fasa seterusnya kita mahu Singapura, Myanmar dan Kemboja untuk serta menyertainya," tambah Menteri Tenaga Thailand itu.

Perjanjian trilateral itu adalah sebahagian daripada rancangan Thailand untuk menjadi hub dalam usahanya untuk mewujudkan grid serantau, kata Wattanapong Kurovat, Ketua Pengarah Perancangan dan Polisi Tenaga kerajaan Thailand, bulan lalu kepada Bloomberg News.

"Kami cuba bergerak pantas untuk menjadi pusat grid kuasa rantau ini. Kami sudah mempunyai kapasiti dan infrastruktur untuk menyokong visi menjadi hab serantau," kata Wattanapong kepada Bloomberg.

Untuk melindungi alam sekitar dan mengurangkan pemanasan global, Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Kebangsaan Thailand dan Pusat Tenaga ASEAN pada Khamis telah menandatangani memorandum persefahaman untuk bekerjasama dalam mencari sumber alternatif bagi menghasilkan tenaga elektrik, seperti tenaga suria dan kuasa angin, untuk menggantikan bahan api fosil atau arang batu.

"Majlis menandatangani itu bertujuan untuk mendorong ASEAN menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui, alternatif dari 14 hingga 23 peratus menjelang 2025," kata Sontirat. "ASEAN bergerak ke arah tenaga bersih ... untuk membantu mengurangkan pemanasan global."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.