Ma-sae Useng, Antara Pemimpin BRN, Meninggal Dunia di Malaysia
2016.05.11
Pattani, Thailand

Seorang pemimpin de facto kumpulan pemisah selatan Thailand dari Barisan Revolusi Nasional (BRN) Ma-sae Useng telah meninggal dunia di sebuah hospital di Malaysia pada hujung April, demikian disahkan oleh pihak berkuasa Thailand pada Rabu.
Ma-sae, 57, merupakan pencetus idea tujuh langkah Pembebasan Patani, kumpulan yang merancang melakukan revolusi dari cengkaman kerajaan negara itu dipercayai meninggal dunia akibat batuk kering dan kencing manis di Hospital Kuala Lumpur pada 30 April, kata pihak keselamatan Thailand.
Beliau yang dilahirkan di Cho-Irang, wilayah Narathiwat, adalah antara dua pemimpin de-facto BRN yang pernah dikeluarkan waran tangkap dengan tawaran ganjaran 10 juta baht oleh kerajaan negara itu selepas menyerbu rumahnya pada tahun 2004.
Ma-sea juga pernah memimpin sekumpulan lelaki dan merompak 413 senjata dari Kem Tentera Pileng di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada tahun yang sama, pernah menjadi Presiden Pentadbiran Tambon [wilayah kecil] Bukit Kecamatan di daerah Cho-Irong. Ma-sae kemudian melarikan diri ke Malaysia dengan kematiannya itu disahkan oleh pegawai keselamatan di selatan Thailand dan juga saudaranya.
Jurucakap Mara Patani, Abu Hafiz Al-Hakim semasa dihubungi hanya menjawab ringkas kepada soalan BeritaBenar mengenai kematian pemimpin itu – “Ya, betul [tentang kematiannya] tetapi tidak mengetahui maklumat lanjut mengenainya, ini adalah hal dalaman BRN, dan saya tidak boleh komen… Hal Mara Patani saya boleh komen”.
Ma-sae yang juga seorang guru agama, pernah berkhidmat sebagai draf tentera di Kem Tentera Senanaronng di Haadyai, dan pernah terlibat dalam memerangi kumpulan komunis China antara tahun 1979 dan1982 sebelum menjadi pejuang pemisah selatan Thailand.
Beliau dipercayai mempunyai kemahiran dalam ketenteraan kerana pernah terlibat dalam latihan gerila daripada sebuah akademi polis di Libya dan juga menjadi pemimpin teras kumpulan pemberontak di selatan Thailand yang mengawal operasi di kawasan Narathiwat.
Kerajaan Thailand dan beberapa saudaranya telah cuba memujuknya untuk pulang dan menghabiskan hari terakhir beliau di negara kelahirannya, tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong semasa masih memegang jawatan setiausaha proses rundingan damai selatan thailand memberitahu BeritaBenar, pihak tentera telah menghantar dua jemputan atas nama Ma-sae Useng dan Spa-ing Baso (bekas pengetua sekolah Yayasan Thammawittaya di wilayah Yala) untuk proses rundingan damai yang diusahakan oleh Malaysia, dengan mengharapkan penyertaan mereka yang mempunyai pengaruh ideologi Melayu-Thai tetapi tidak pernah menghadirinya.
Pihak tentera hanya memaklumkan yang jenazah Ma-sae disemadikan di Malaysia, dengan tidak menamakan tempatnya.
Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.