Follow us

Malaysia Ekstradisi Wanita Thailand Yang Dikehendaki Berkaitan Aktiviti Anti-Monarki

Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-14
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menunjukkan tanda bagus semasa sidang media di Putrajaya, ibu kota pentadbiran negara, 9 Mei  2019.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menunjukkan tanda bagus semasa sidang media di Putrajaya, ibu kota pentadbiran negara, 9 Mei 2019.
[AP]

Malaysia mengekstradisi seorang wanita yang dikehendaki oleh Thailand berkaitan aktiviti anti-monarki selepas Bangkok meminta beliau dihantar pulang ke negara asal, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa, namun satu kumpulan hak asasi manusia terkemuka berkata langkah itu melanggar obligasi perundangan kerana wanita itu telah memohon perlindungan suaka di luar negara.

Praphan Pipithnamporn, yang mendaftar sebagai seorang pemohon suaka dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), telah dihantar pulang ke Thailand pada 10 Mei selepas polis Malaysia menahan bulan selepas atas permintaan Bangkok, kata Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York.

“Jika ada permintaan, kami akan menghantar pulang,” kata Mahathir pada satu sidang media. “(Kami adalah) jiran yang baik.”

Praphan telah dihantar pulang berdasarkan satu waran tangkap pada Januari yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand, yang mendakwa beliau melakukan hasutan kerana terlibat dengan Organization for Thai Federation, sebuah kumpulan anti-monarki yang aman, menurut HRW dalam satu kenyataan.

“Pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Malaysia telah meletakkan seorang aktivis Thailand di bawah penahanan sewenang-wenangnya serta satu pendakwaan  yang tidak adil di Thailand,” kata Brad Adams, pengarah Asia di Human Rights Watch.

“Pihak berkuasa Malaysia mempunyai kewajipan untuk melindungi pemohon suaka seperti Praphan daripada dihantar pulang secara paksa untuk berdepan risiko dianiaya kerana pandangan politik mereka yang aman,” katanya.

Penghantaran pulang Praphan dibuat pada hari yang sama pihak berkuasa Thailand menafikan mempunyai pengetahuan mengenai kemungkinan terdapat ekstradisi tiga pengkritik monarki Thailand dan tentera junta dari Vietnam.

Kerajaan Vietnam telah menghantar pulang rakyat Thailand iaitu Chucheep Chivasut, Siam Theerawut dan Kritsana Thapthai pada 8 Mei, kata HRW dan Amnesty International (AI) dalam kenyataan berasingan pada Jumaat. Kedua-dua kumpulan mendapat maklumat mereka daripada media Thailand dan sebuah NGO tempatan iaitu Thai Alliance for Human Rights.

‘Orang yang berkenaan’

Sebelum melarikan diri ke Malaysia, Praphan telah ditahan beberapa kali antara September dan Disember 2018, serta diletakkan di bawah tahanan ketenteraan secara incommunicado atau tanpa hubungan, kata HRW.

Ancaman terhadap wanita itu semakin meningkat selepas beliau mengambil bahagian dalam aktiviti anti-monarki secara aman semasa upacara memperingati ulang tahun keputeraan mendiang Raja Rama IX pada 5 Dis, dakwanya dalam satu temu bual dengan HRW. Pada hari itu, beliau memakai kemeja T hitam dengan logo kumpulannya dan mengedarkan risalah yang mengkritik monarki di sebuah pusat beli-belah di Bangkok, menurut kumpulan hak asasi itu.

Praphan melarikan diri ke Malaysia pada Januari dan memohon status pelarian dengan UNHCR di Kuala Lumpur. Pada 2 April, agensi pelarian itu mendaftarkan tuntutan beliau sebagai seorang pemohon suaka dan meletakkan beliau sebagai “orang yang berkenaan,” kata HRW.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia, sebuah parti pembangkang meluahkan kebimbangan pada Selasa berhubung penghantaran pulang Praphan. Ia menyelar kerajaan Mahathir kerana “bertindak seperti sekutu junta tentera Thailand dalam menekan perbezaan pendapat dan mengehadkan ruang demokrasi.”

“Perdana Menteri Mahathir Mohamad sepatutnya menyedari bahawa membantu sebuah rejim yang tidak demokratik dalam menganiaya aktivis politik pro-demokrasi bukanlah sesuatu yang harus dilakukan oleh jiran yang baik,” kata Choo Chon Kai, penyelaras biro antarabangsa parti itu.

Diusir dari Vietnam

Tiga aktivis Thailand yang dihantar pulang oleh Vietnam – Chucheep, Siam dan Kritsana – telah ditahan di Hanoi kerana masuk secara haram dan menggunakan dokumen perjalanan palsu semasa mereka cuba melarikan diri daripada penganiayaan oleh pihak berkuasa Thailand, kata HRW. Kumpulan hak asasi berkata ketiga-tiga lelaki kini ditahan di Bangkok.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan memberitahu pemberita minggu lepas bahawa beliau hanya mengetahui tentang ekstradisi ketiga-tiga lelaki dari laman sesawang berita. “Pengesahan mengenai perkara itu perlu dibuat oleh Kementerian Luar dan polis cawangan khas,” katanya.

Pihak berkuasa Thailand telah menuduh ketiga-tiga lelaki menyiarkan program radio anti-monarki di internet yang melanggar undang-undang ketat Lese-Majeste kerajaan negara itu, menurut HRW. Undang-undang itu menjenayahkan fitnah terhadap keluarga diraja dan membawa hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun.

“Negara jiran tidak seharusnya menyumbang kepada situasi hak asasi manusia yang semakin buruk di Thailand dengan menghantar pemohon suaka kepada bahaya,” kata Adams dalam kenyataannya.

Ekstadisi ketiga-tiga penentang rakyat Thailand itu berlaku selepas Truong Duy Nhat, seorang blogger yang bertugas dengan Perkhidmatan Vietnam bagi Radio Free Asia (RFA), yang merupakan anak syarikat BeritaBenar, hilang dari sebuah pusat beli-belah berhampiran Bangkok pada Januari. Beliau telah melarikan diri dari Vietnam pada 2017 untuk mengelak ditahan berhubung aktivismenya.

Pada akhir Mac, Perkhidmatan Vietnam RFA mengesahkan bahawa ejen dari Hanoi telah membawa Nhat pulang ke Vietnam dengan kerjasama daripada pihak berkuasa Thailand. Blogger itu kini berada dalam sel penjara di ibu kota Vietnam, kata anak perempuan Nhat kepada RFA.

Lihat Laman Penuh