Follow us

Pemimpin Malaysia, Thailand Dijangka Hidupkan Semula Rundingan Damai, Kata Panglima Tentera Thailand

Mariyam Ahmad & Araya Pocha
Pattani & Bangkok, Thailand
2018-10-22
E-mel
Komen
Share
anglima tentera Thailand Jeneral Apirat Kongsompong sedang berucap semasa pertemuannya dengan penduduk daerah Khok Po, Pattani di pedalaman selatan negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam, 22 Okt 2014.
anglima tentera Thailand Jeneral Apirat Kongsompong sedang berucap semasa pertemuannya dengan penduduk daerah Khok Po, Pattani di pedalaman selatan negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam, 22 Okt 2014.
[Araya Pocha/BeritaBenar]

Panglima tentera baharu Thailand berpandangan positif menjelang lawatan dua hari Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad yang bermula pada Rabu, dan berkata pertemuan pemimpin itu dengan ketua junta Thailand Prayuth Chan-o-cha mampu melicinkan perjalanan rundingan damai dengan pemberontak di pedalaman selatan negara itu.

Jeneral Apirat Kongsompong, yang mengambil alih jawatan sebagai komander Tentera Diraja Thailand pada 1 Okt, berkata demikian dalam satu sidang berita pada Ahad semasa beliau berkunjung ke pendalaman selatan negara itu yang terjejas akibat pemberontakan, di mana beliau berkata beliau melawat masjid dan kuil untuk mempromosi keharmonian dalam kalangan rakyat Thailand yang beragama Buddha dan Islam.

“Kami perlu mengadakan rundingan damai kerana isu ini amat rumit,” kata Apirat. “Saya percaya situasi ini akan bertambah baik tidak lama lagi kerana kedua-dua pemimpin telah menunjukkan tanda-tanda kerjasama penuh dalam rundingan damai.”

Lawatan Mahathir akan berlangsung selepas Malaysia dan Thailand mengambil langkah untuk menstruktur semula rundingan damai yang telah menemui jalan buntu.

Minggu lepas, Prayuth mengesahkan bahawa Thailand telah menamakan Udomchai Thammasarorat, bekas komander divisyen tentera yang memantau selatan Thailand, sebagai ketua perunding baharu dalam rundingan damai bagi menyelesaikan konflik pemisah yang telah meragut beribu-ribu nyawa.  

Jurucakap panel perunding bagi puak pemberontak di selatan Thailand, MARA Patani, juga berkata minggu lepas bahawa ia telah diperluas untuk melibatkan tiga kumpulan baharu dan bercadang mengemukakan satu cadangan baharu selepas pengundian dijalankan di seluruh negara tahun depan.

Hasil peluasan itu, badan penaung tersebut telah menjenamakan dirinya semula sebagai MARA Patani Plus, kata jurucakapnya, Abu Hafez Al-Hakim kepada BeritaBenar di Malaysia.

Udomchai menggantikan Jeneral Aksara Kerdpol, yag mengetuai delegasi Thailand dalam rundingan dengan MARA Patani sejak ia bermula.

Dua bulan lepas, Malaysia turut melantik bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator dalam rundingan damai yang dipelopori Kuala Lumpur.

Hampir 7,000 orang terbunuh dalam keganasan yang melanda seluruh wilayah itu, yang bersempadan dengan Malaysia, sejak pemberontakan dinyalakan semula pada 2004. Kawasan pedalaman selatan terdiri daripada wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat serta empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Thailand mahupun Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kunjungan Mahathir itu, yang merupakan lawatan pertamanya ke Bangkok sejak kemenangan beliau yang menakjubkan dalam pilihan raya umum pada Mei.
Bagaimanapun, Prayuth dipetik sebagai berkata bulan lepas bahawa kehadiran Mahathir ke negara itu akan membolehkan kedua-dua negara jiran membincangkan rundingan damai yang telah menemui jalan buntu itu.

"Kerajaan Malaysia menegaskan perkara ini dan rundingan damai telah diteruskan,” kata Prayuth kepada pemberita dengan merujuk kepada rundingan damai itu, menurut agensi berita rasmi Malaysia, Bernama. “Perdana Menteri baharu Malaysia juga mahukan misi Malaysia sebagai fasilitator mencapai kejayaan.”

Mahathir, 93, akan mengetuai satu delegasi penuh menteri kabinet dalam satu lawatan rasmi yang membabitkan pertemuan dengan Prayuth, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand pada Isnin.

Mahathir dijadual tiba di Pangkalan Tentera Udara Sayap 6 Bangkok sebelum tengah hari pada pagi Rabu. Beliau akan mengadakan pertemuan selama 30 minit dengan Prayuth di Rumah Kerjaan pada sebelah petang, menurut para pegawai Thailand.

Pada hari berikutnya, Mahathir akan melakukan kunjungan hormat ke atas Jeneral Prem Tinsulanonda, seorang pegawai tentera bersara berusia 98 tahun yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Thailand dari 1980 hingga 1988. Mahathir juga dijangka menghadiri satu majlis makan tengah hari bersama komuniti Malaysia di Thailand, kata pegawai.  

Sementara itu, dalam satu temu bual dengan BBC Thai, jurucakap BRN Abdul Karim Khalid berkata rundingan damai itu hanya akan berjaya jika kerajaan Thailand berunding secara terus dengan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani, yang lebih dikenali sebagai BRN dalam singkatan bahasa Melayunya.

“Kami perlu memaklumkan kepada mereka hari ini, kedua-dua PM, bahawa mereka perlu mengiktiraf bahawa kami adalah penting," kata beliau merujuk kepada kumpulan diwakilinya, yang secara umum diiktiraf sebagai yang terbesar dan memiliki senjata terbaik ketika ini.

“Jika kedua-dua pihak tidak berminat atau bersikap dogmatik untuk melakukan perkara yang sama, saya boleh katakana bahawa rundingan ini tidak akan membawa sebarang makna,” katanya.

Wilawan Watcharasakwet di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh