Ketua Rundingan Damai Thailand Batal Pertemuan, Fasilitator Malaysia Terkejut

Zam Yusa & Mariyam Ahmad
2019.02.04
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
190204-TH-MY-peace-talk-1000.jpg Abdul Rahim Noor (kiri), fasilitator Malaysia dalam rundingan damai Selatan Thailand, berjabat tangan dengan Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat, ketua delegasi Thailand ke rundingan itu, selepas pertemuan di sebuah hotel di Bangkok, Thailand, 4 Jan, 2019.
[Pimuk Rakkanam/BeritaBenar]

Kegagalan ketua perunding baru Thailand untuk menghadiri pertemuan berkenalan dengan rakan dialog kumpulan pemberontak pada hujung minggu dengan tujuan untuk mengakhiri konflik di Selatan Thailand, mengakibatkan kumpulan berkenaan mendesak supaya beliau disingkir.

Fasilitator baru Malaysia, Rahim Noor memberitahu BeritaBenar pada Isnin bahawa beliau terkejut dengan “perangai aneh” Udomchai Thammasarorat, manakala perunding Thailand pula mendakwa bahawa beliau sepatutnya tidak perlu hadir perbincangan teknikal tersebut.

Abdul Rahim Noor yang dilantik kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk menjadi fasilitator dalam rundingan itu berkata kedua-dua pihak telahpun tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu untuk mengadakan pertemuan pengenalan antara pasukan Thailand yang diketuai oleh Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat dan pasukan MARA Patani yang diketuai oleh Shukri Hari.

"Tetapi pada malam Sabtu, Udomchai memberitahu saya sebagai fasilitator bahawa beliau hanya mahu bertemu dengan ketua panel puak pemberontak, Shukri, walaupun anggota kumpulan dari MARA Patani yang lain telah bersedia untuk bertemu," kata Abdul Rahim kepada BeritaBenar pada Isnin. Udomchai kembali ke Thailand pada Ahad tanpa mengadakan sebarang perbincangan.

"Udomchai juga memberitahu Malaysia bahawa wakil pasukannya akan bertemu dengan puak pemisah dari panel Shukri. Permintaan ini dianggap aneh oleh kumpulan pemisah dan bagi saya, ia adalah satu kelakuan aneh oleh Udomchai. Saya terkejut," tambah Abdul Rahim.

MARA Patani, panel yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak Selatan Thailand termasuk wakil dari Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN), yang merupakan kumpulan pemisah bersenjata terbesar, dan dianggap sebagai paling berkuasa mengawal pejuang di lapangan.

Sebagai pemudah cara rundingan damai yang dipelopori Malaysia antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Polis Malaysia berkata, adalah menjadi perkara biasa bagi semua yang terlibat untuk bertemu serentak.

Udomchai yang mempertahankan keputusan pulang ke Bangkok tanpa mengadakan sebarang pertemuan pada Ahad, mengatakan pihaknya sudah bersedia untuk bertemu dan berbincang, tetapi perjalanan ke Kuala Lumpur bertujuan untuk berjumpa dengan Abdul Rahim sahaja dan bukannya untuk bertemu dengan kumpulan tertentu.

Mengenai MARA Patani, kedua-dua pihak dijadualkan bertemu di peringkat teknikal. Pasukan kami diketuai oleh Mej Jeneral Kriangkrai Srisak, setiausaha-agung bagi rundingan damai," kata Udomchai kepada BeritaBenar sambil menambah

"Tetapi pihak fasilitator memberitahu kami bahawa MARA Patani ingin bertemu kami sebagai delegasi penuh ketika semua berada di sana walaupun kami tidak dijadualkan untuk bertemu."

Udomchai menambah dengan berkata yang beliau sanggup mengadakan mesyuarat yang lebih kecil.

Untuk menjaga hubungan itu, ketua panel rundingan damai MARA Patani Shukri Hari dibenarkan bertemu hanya dengan saya terlebih dahulu, tetapi MARA Patani tidak dapat menerimanya dan mengeluarkan kenyataan," katanya. "Rundingan rasmi mesti melalui peringkat teknikal, untuk membetulkan agenda supaya kami tidak membuang masa dan dengan ini mungkin dapat mencapai persetujuan dalam hal yang boleh dimulakan dengan segera."

Bagaiamanpun jurucakap MARA Patani Abu Hafez mencabar kenyataan Udomchai.

"Semua itu hanyalah alasan," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Pilihan Raya ditangguhkan

Berikutan pembatalan itu, Shukri mengeluarkan sebuah video mengumumkan delegasi pemisah telah memutuskan untuk menggantung rundingan damai sehingga selepas pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan pada 24 Mac dengan kumpulan itu berkata Udomchai hanya mahu bertemu dengan pemimpin delegasi sahaja.

"MARA Patani tidak dapat diterima sikap tersebut dan kami mengesyaki agenda tersembunyi ketika beliau hanya mahu bertemu dengan saya," kata Shukri sambil menambah pasukannya mencadangkan kerajaan Thailand menggantikan Udomchai dengan orang yang mempunyai kredibiliti.

Rahim berkata ini terpulang kepada kedua-dua pihak untuk menentukan bila mereka akan bertemu semula, sambil menambah beliau hanya memainkan peranan sebagai fasilitator. Beliau juga berkata keputusan untuk membatalkan pertemuan tersebut hanya boleh diarahkan oleh pihak tertinggi kerajaan.

"Udomchai memberitahu pasukan Malaysia bahawa beliau mengambil pendirian itu kerana Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha mengarahkan beliau berbuat demikian," kata Rahim.

Rahim juga mengulas mengenai rancangan Udomchai hanya untuk bertemu dengannya sahaja dan tidak puak pemisah.

"Sekiranya Udomchai sepatutnya bertemu hanya dengan saya sahaja, mengapa membawa delegasi hanya untuk satu malam di Kuala Lumpur," kata Abdul Rahim kepada BeritaBenar.

Penganalisa kanan dengan Institute of Strategic and International Studies, yang berpangkalan di Kuala Lumpur Shahriman Lockman berkata keputusan delegasi Thailand itu hanyalah untuk melambat-lambatkan rundingan.

"Dan ini hanya boleh dilakukan dengan arahan dari pihak atasan. Sebilangan sebab boleh berada di belakangnya, termasuk pilihan raya umum akan datang," kata Shahriman kepada BeritaBenar.

"Dalam apa jua keadaan, Malaysia perlu menghantar isyarat jelas kepada Thailand bahawa Kuala Lumpur akan terus menjadi pemudah cara rundingan damai ini jika Thailand benar-benar serius dan tidak hanya mahu membazirkan masa pada masa depan."

Shahriman berkata, pemimpin Thailand mungkin berfikir bahawa mereka boleh mengabaikan pemberontakan kerana tahap keganasan adalah rendah dan masih terkawal di wilayah sempadan selatan.

Selatan Thailand, dengan majoriti penduduk beragama Islam, bersempadan dengan Malaysia, dan meliputi wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di rantau itu sejak pemberontakan meningkat pada awal tahun 2004.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.